Cik Fatin Nasyitah Putri Mohammed Ridwan, 26 tahun, merupakan seorang penduduk GRC Tampines yang bakal mengundi pada Pilihan Raya Umum 2025 (GE2025) buat kali pertama pada 3 Mei.
Tarikh istimewa itu juga merupakan tarikh perkahwinannya, maka beliau merancang untuk memakai baju nikahnya untuk mengundi di stesen undi di Blok 497F Tampines Street 45.
Acara akad nikah beliau diadakan pada 2 Mei, sementara majlis persandingannya diadakan pada 3 Mei di National Service Resort & Country Club (NSRCC).
Cik Fatin sekeluarga juga akan menyambut beberapa keluarga saudara mereka daripada Indonesia.
“Apabila saya dapat tahu Hari Mengundi jatuh pada 3 Mei, saya tidak berapa terkejut, tetapi asyik tertanya apa yang saya harus atur semula?” kata Cik Fatin, dalam temu bual bersama Berita Harian (BH).
Beberapa jam setelah pengumuman tarikh Hari Mengundi, Cik Fatin mula menerima beberapa mesej daripada tetamunya yang bertanya bagaimana majlis perkahwinannya akan berlangsung.
Oleh sebab ia jatuh pada Hari Mengundi, sekitar 20 rakan dan anggota keluarganya tidak dapat hadir sepanjang majlis kerana diperlukan bertugas pada hari itu.
Beberapa rakannya yang menginap jauh daripada NSRCC terpaksa melepaskan peluang bermalam bersamanya di lokasi itu pada malam 2 Mei, kerana stesen undi terlalu jauh dari kawasan Changi.
“Sebenarnya, kerana ini kali pertama saya akan mengundi, kami tidak terfikir bahawa GE (pilihan raya) akan diadakan pada tahun ini,” kata Cik Fatin.
Seluruh urutan upacara pada hari itu terpaksa dilambatkan sekurang-kurangnya 30 minit, demi memastikan setiap orang yang terlibat dapat mengundi dahulu.
“Ibu saya yang suruh saya pakai baju nikah saya, supaya semua orang tahu saya akan kahwin,” kata Cik Fatin sambil ketawa.
Seawal 8 pagi, apabila pengundian bermula, Cik Fatin dan suaminya, Encik Muhammad Haiqal Izdihar Mohamad Izzul Shah, 25 tahun, akan tiba di stesen undi masing-masing, dan cuba sedaya upaya untuk pulang ke NSRCC sejurus selepas itu untuk bersiap selewat-lewatnya pada jam 10 pagi.
Setiap ahli keluarganya turut terlibat pada hari itu untuk memandu kereta, membuat persiapan, dan memastikan pasangan suami isteri itu dapat mengadakan majlis perkahwinan mereka dengan lancar.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg