Amalan mesra alam sentiasa menjadi keutamaan di kedai makan, Overrice, sejak 2020 sebagai sebahagian daripada komitmen mereka untuk mengurangkan kesan terhadap alam sekitar.
Kedai makan di Sultan Gate ini, yang turut mempunyai gerai di Bazaar Ramadan Gemilang Kampong Gelam (GKG) 2025, menyajikan hidangan istimewa seperti mangkuk nasi dan taco gaya Bandar New York (NYC) dalam bekas hidangan mudah reput.
Ia menggunakan bekas makanan yang diperbuat daripada bahan seperti pulpa tebu.
Ketika dihubungi Berita Harian (BH), pemilik Overrice, Cik Megan Lim, berkongsi bahawa telah menjadi dasar mereka sejak lima tahun lalu bagi mengurangkan jejak alam sekitar meskipun mereka pengendali makanan berskala kecil.
“Di Overrice, kami hanya menggunakan bekas hidangan mudah reput sebagai langkah ke arah pergerakan kelestarian dalam industri makanan dan minuman (F&B).
“Meskipun kedai kami kecil, kami dapat lihat kesan (yang kami lakukan) terhadap alam sekitar sebagai pengendali makanan (boleh dikatakan) drastik,” kongsi Cik Lim, 35 tahun.
Dalam menyokong usaha kelestarian mereka, beliau mendapatkan bahan pembungkusan daripada Natureware, sebuah syarikat kecil dan sederhana (SME) tempatan yang membekalkan pembungkusan pulpa tebu dan boleh diperbaharui.
Walaupun kos adalah lebih tinggi jika dibandingkan dengan bahan pembungkusan tradisional, Cik Lim menjelaskan bahawa Overrice menanggung sepenuhnya perbelanjaan tambahan itu dan tidak membebankan kos tersebut kepada pelanggan.
“Kami benar-benar menyerap kos sebagai sebahagian daripada kos barangan. Ini bermakna kami mempunyai margin keuntungan yang lebih rendah.
“Namun, bagi saya, saya percaya pada etika. Jika saya meraih keuntungan yang lebih tinggi dengan mengorbankan etika alam sekitar, kami tidak memainkan peranan (dalam memelihara alam sekitar),” jelas Cik Lim.
Selain itu, kelestarian juga diterapkan dalam proses penyediaan makanan.
Dalam hidangan ‘Wagyu Rice Bowl’ yang mengandungi hirisan daging ‘Wagyu’, lebihan potongan daging yang biasanya terbazir digunakan semula sebagai ‘topping’ untuk Wagyu Pizza.
Menurut Cik Lim, pendekatan lebih lestari diambil dengan memanfaatkannya secara kreatif daripada membiarkan lebihan itu terbuang.
“Inisiatif sedemikian mencerminkan komitmen kami dalam mengurangkan pembaziran makanan.
“Dengan memanfaatkan setiap bahagian bahan secara bijak, kami dapat mengurangkan sisa yang tidak perlu,” ujar Cik Lim.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg