Topik diikuti
Pergi ke BHkuPenyertaan NDP 2026 diharap semarak minat terhadap bidang kesusasteraan S’pura
Penulis dan pendidik antara 34 rakyat S’pura yang tampil dalam segmen ‘Babak 2: Go Beyond The Ordinary’
Selama hampir sedekad, beliau menumpukan usaha mengetengahkan kisah-kisah Singapura menerusi buku kanak-kanak yang mengangkat budaya, warisan dan kepelbagaian Singapura.
Namun, pada Perbarisan Hari Kebangsaan (NDP) 9 Ogos ini, kisah beliau pula akan menjadi antara yang dirai.
Penulis dwibahasa dan pendidik yang pernah meraih anugerah, Cik Far’ain Jaafar, merupakan antara 34 rakyat Singapura yang ditampilkan dalam NDP 2026, khususnya menerusi Perarakan Rakyat dalam ‘Babak 2: Go Beyond The Ordinary’.
Perarakan Rakyat merupakan perarakan meriah yang didedikasikan untuk meraikan warga biasa Singapura yang melakukan lebih daripada yang dijangkakan untuk memperkaya kehidupan orang lain serta menjadikan Singapura sebuah tempat yang lebih baik untuk didiami.
Ketika ditemui Berita Harian (BH), Cik Far’ain berkata beliau rasa amat berbesar hati kerana diiktiraf atas sumbangannya kepada bidang kesusasteraan di Singapura, sambil menambah bahawa beliau tidak pernah menyangka seorang penulis tempatan akan ditampilkan dalam segmen Perarakan Rakyat itu.
Apatah lagi apabila beliau menerima e-mel daripada Kementerian Pertahanan (Mindef) awal 2026 tentang hasrat mereka untuk menampilkannya pada NDP ini.
“Kita merupakan sebuah negara yang gemar membaca, tetapi kebanyakannya kita membaca karya dari luar. Saya rasa kita tidak begitu banyak membaca karya tempatan.
“Jadi, apabila menerima e-mel itu, saya terus berkata, ‘Oh, masya-Allah’. Saya amat terharu kerana saya berharap pengiktirafan ini dapat meningkatkan lagi kesedaran dan perhatian terhadap bidang kesusasteraan di Singapura,” ujar Cik Far’ain, 38 tahun.
Beliau meluangkan masa menjalani latihan setiap Sabtu dari awal Julai hingga menjelang Hari Kebangsaan selepas menerima tawaran itu.
Pada awalnya, beliau juga tertanya-tanya bagaimana komitmen tersebut dapat diselaraskan dengan tanggungjawab sebagai seorang ibu kepada dua anak kecil berusia lapan dan 12 tahun.
Namun, kebimbangan itu reda apabila suaminya, Encik Syafiq Sunardi, meyakinkannya supaya tabah menyahut cabaran dengan penuh yakin.
“Apabila saya berkongsi perkara ini dengan suami, kata-kata pertamanya ialah ‘anak-anak kita akan sangat bangga dengan awak’. Itulah yang mendorong semangat bahawa saya dapat melakukannya,” ujar Cik Far’ain.
Antara enam karya yang telah diterbitkannya ialah Sate!, sebuah buku bergambar dwibahasa yang mengangkat budaya makanan penjaja Singapura, selaras dengan usahanya untuk mengetengahkan kisah tempatan kepada pembaca muda.
Menurut Cik Far’ain, kisah-kisah tempatan penting kerana ia membolehkan kanak-kanak melihat kehidupan dan pengalaman mereka sendiri tercermin dalam buku yang dibaca.
“Ada satu ungkapan yang mengatakan bahawa cerita merupakan jendela, cermin dan jambatan untuk semua.
“Ia amat penting bagi kita untuk menghasilkan kisah-kisah Singapura kerana ia turut membantu membina asas yang kukuh bagi negara kita,” kongsi beliau.
Perarakan Rakyat akan dilengkapi dengan penampilan 18 pelampung bertemakan enam nilai iaitu Melindungi, Menyediakan, Mencipta, Membina, Prihatin dan Menegakkan Keadilan.
Cik Far’ain akan tampil dalam tema Mencipta semasa Perarakan Rakyat, dan merupakan satu-satunya wanita serta penulis bersama enam peserta lain dalam tema tersebut.
Mengulas lanjut tentang penyertaannya dalam NDP 2026, beliau berharap ia dapat meningkatkan kesedaran orang ramai terhadap kewujudan penulis tempatan serta mendorong mereka untuk mengenali lebih dekat bidang kesusasteraan Singapura.
“Saya berharap penyertaan saya dalam NDP dapat meningkatkan kesedaran tentang kepentingan, atau sekurang-kurangnya membuat orang ramai sedar bahawa terdapat penulis tempatan di Singapura.
“Mudah-mudahan, mereka terdorong untuk mengambil senaskhah buku, sama ada dari perpustakaan atau kedai buku tempatan, dan membaca karya yang ditulis oleh penulis tempatan,” kongsi beliau.
SPH Media ialah rakan kongsi utama untuk Perbarisan Hari Kebangsaan 2026.
