Wanita yang terjerumus menjadi radikal kini bukan lagi sekadar penyokong atau mangsa, malah telah menjadi penyumbang aktif kepada penyebaran ideologi ekstremis.
Demikian dikongsi Pengerusi Bersama Kumpulan Pemulihan Keagamaan (RRG), Ustaz Dr Mohamed Ali, semasa Rahat RRG ke-20 yang diadakan di Mandai Rainforest Resort, yang baru dibuka, pada 24 Jun.
Ustaz Dr Mohamed menjelaskan bahawa peranan wanita dalam pengganasan telah berkembang, dengan media sosial memainkan peranan utama dalam menarik golongan wanita yang rentan kepada pengaruh golongan pelampau.
Perkembangan itu turut mencerminkan peningkatan jumlah kes melibatkan wanita yang ditangani berkaitan ekstremisme dan radikalisasi.
Acara rahat yang bertema, ‘Peranan Wanita dalam ekstremisme ganas (CVE): Menghargai 20 Tahun Khidmat Ikhlas oleh Ustazah RRG’ itu dihadiri Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim, sebagai tetamu terhormat.
Turut hadir ialah mantan Menteri Kanan, Encik Teo Chee Hean.
Berucap semasa acara, Ustaz Dr Mohamed berkata: “Hari ini, wanita radikal bukan sekadar penyokong dan penggalak bagi perjuangan radikal, malah mereka telah menjadi penyumbang langsung dan aktif.”
Beliau menyifatkan peranan wanita dalam pengganasan sebagai “semakin menonjol dan bersifat langsung”.
Ini disebabkan peranan media sosial yang telah menjadi penyebab utama dalam “menarik wanita yang rentan melalui keadaan psikologi dan emosi mereka yang lemah”.
Pandangan itu turut dikongsi Dr Faishal dalam ucapannya, yang berkata: “Profil individu yang terjerumus dalam radikalisasi kini turut merangkumi golongan wanita, selain peningkatan dalam kalangan belia.”
Memetik penanahan seorang remaja perempuan berusia 15 tahun pada Februari, beliau berkata remaja itu merupakan individu belia wanita pertama yang dikenakan tindakan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dan telah dikenakan Arahan Sekatan (RO).
Perkembangan itu lantas menjadikan sumbangan kaunselor wanita atau ustazah di RRG semakin penting, tambah Ustaz Dr Mohamed.
“Peranan mereka penting pada hari ini, lebih-lebih lagi sejak beberapa tahun kebelakangan ini, yang mana pihak pemerintah telah menahan beberapa individu wanita,” ujar beliau.
Lantaran itu, ia adalah perlu untuk merangka strategi yang lebih berkesan bagi pendekatan RRG dalam kaunseling dan usaha mendekati masyarakat, demi menangani cabaran demikian dengan lebih berkesan.
Ini termasuk pendekatan berasaskan keluarga yang menjadi strategi utama dalam usaha mencegah ekstremisme ganas (CVE).
Ustaz Dr Mohamed menambah, pendekatan tersebut berpotensi menangani faktor-faktor tertentu yang menyumbang kepada radikalisasi, seperti kurang atau lemahnya sokongan daripada keluarga atau masyarakat.
Di samping itu, peranan RRG juga telah berkembang secara dinamik jauh melangkaui kaunseling agama bagi memenuhi pelbagai keperluan masyarakat.
Ini termasuk melibatkan diri dalam jangkauan masyarakat, bimbingan dan tunjuk ajar.
Sejak 2005, kumpulan pertama kaunselor wanita atau ustazah seramai lima orang telah dilantik untuk membantu mendekati isteri serta anak-anak para tahanan.
“Jika usaha ini tidak dilakukan, ia bermaksud bahawa anak-anak itu mungkin membesar dalam keadaan yang mana mereka boleh mendapat satu stigma negatif dalam masyarakat, dan paling teruk, mereka mempunyai risiko untuk menjadi radikal,” jelas Ustaz Dr Mohamed.
Kini, seramai 10 kaunselor wanita dan ustazah memainkan peranan penting dalam menjalankan pemulihan keagamaan, membimbing wanita radikal serta membetulkan salah anggapan yang mereka percayai sebelum ini.
Antara mereka ialah Presiden Persatuan Pemudi Islam Singapura (PPIS), Profesor Madya Dr Razwana Begum Abdul Rahim; dan anggota sekretariat RRG, Ustazah Nur Irfani Saripi.
“Kekuatan pendekatan pemulihan Singapura terletak pada sikap saling mempercayai antara pemerintah dengan sukarelawan masyarakat seperti RRG.
“Bersama, pemerintah dan rakan kongsi masyarakat telah membina ekosistem untuk menerima pakai pendekatan menyeluruh dalam membanteras ancaman ekstremisme dan radikalisasi yang berterusan,” kata Ustaz Dr Mohamed.
“
“Hari ini, wanita radikal bukan sekadar penyokong dan penggalak bagi perjuangan radikal, malah mereka telah menjadi penyumbang langsung dan aktif... Peranan mereka (kaunselor wanita atau ustazah di RRG) penting pada hari ini, lebih-lebih lagi sejak beberapa tahun kebelakangan ini, yang mana pihak pemerintah telah menahan beberapa individu wanita.”Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg