Politik
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pemimpin masyarakat, pengamat: Masagos bantu tingkat taraf masyarakat Melayu/Islam, pembangunan agama

May 21, 2025 | 9:38 PM
masagos,lawrence wong
Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad (dua dari kanan) akan melepaskan portfolionya sebagai Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam pada 23 Mei ini selepas tujuh tahun. Gambar menunjukkan Encik Masagos berinteraksi dengan Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong (kiri), semasa majlis ulang tahun kelima M³ pada November 2024. - Foto fail

Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad, telah memainkan peranan besar dalam mempertingkat taraf masyarakat Melayu/Islam di Singapura, terutamanya dalam menggembleng tenaga masyarakat melalui gerakan M Kuasa Tiga (M³) untuk membina sebuah masyarakat yang gemilang, kata pemimpin masyarakat dan penganalisis.

Ini termasuk sumbangannya dalam pembangunan masyarakat dalam bidang agama, melalui pembangunan asatizah dan inisiatif seperti Kolej Pengajian Islam Singapura (SCIS) dan Wakaf Masyarakat Singapura (WMS).

Mereka berkata demikian dalam melahirkan penghargaan kepada Encik Masagos, yang akan melepaskan portfolionya sebagai Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam pada 23 Mei ini.

Beliau akan digantikan oleh Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim, yang akan dilantik sebagai Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam.

Perubahan itu adalah sebahagian daripada pengumuman barisan Kabinet baru oleh Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, pada 21 Mei, menyusuli Pilihan Raya Umum (GE) 2025 pada 3 Mei.

Presiden Persatuan Pemudi Islam Singapura (PPIS), Profesor Madya Razwana Begum, berkata Encik Masagos telah memainkan peranan penting dalam menetapkan hala tuju strategik untuk masyarakat.

“Kepimpinannya menyaksikan pembangunan inisiatif utama, seperti Masyarakat Gemilang, Tunas, dan WMS, dengan tumpuan yang kukuh pada usaha mengukuhkan kepimpinan masyarakat dan membina daya tahan jangka panjang.

“Usaha ini telah meletakkan asas penting, dan kami mengucapkan terima kasih kepada beliau atas dedikasinya,” kata beliau.

Presiden Persatuan Ulama dan Guru-Guru Agama Islam Singapura (Pergas), Ustaz Muhammad Tarmizi Abdul Wahid, berkata Encik Masagos telah memainkan peranan penting dalam memperjuangkan inisiatif yang memperkukuh aspek sosioagama dan daya tahan ekonomi masyarakat.

“Sokongan beliau untuk mempertingkatkan kepimpinan agama, membimbing masyarakat Islam mengharungi pandemik, dengan saya dan pemimpin Islam yang lain terlibat sama, dan usaha memperluaskan akses kepada sistem sokongan keluarga dan sosial telah meninggalkan kesan yang berkekalan,” kata beliau.

Pengerusi bersama Kumpulan Pemulihan Keagamaan (RRG), Ustaz Dr Mohamed Ali, pula berkata semasa Encik Masagos menerajui kepimpinan sebagai menteri, masyarakat telah melihat bagaimana beliau menggerakkan dan mewujudkan beberapa elemen dan platform yang telah membangunkan kebolehan dan kapasiti masyarakat Melayu/Islam di Singapura.

“Di antara platform itu ialah M³, yang menggembleng tenaga Mendaki, Muis dan PA Mesra. Ini menunjukkan kepimpinan beliau telah menghasilkan satu masyarakat Melayu/Islam yang progresif walaupun kita hidup sebagai masyarakat minoriti dalam masyarakat majmuk serta dalam negara yang sekular,” kata beliau.

Presiden Persatuan Persuratan Pemuda Pemudi Melayu (4PM), Encik Nassar Mohamad Zain, pula berkongsi bahawa Encik Masagos merupakan antara individu pertama yang telah mengunjungi badan tersebut apabila beliau menjadi presidennya.

“Bagi saya, untuk mempunyai sikap terbuka dan mendengar antara cabaran yang kami hadapi adalah sangat penting.

“Ia menunjukkan bahawa beliau mengambil berat tentang masyarakat dan juga terlibat dalam perkembangan dunia. Ini amat penting, terutama untuk belia. Ia memberi tanda komitmen yang kukuh terhadap pembangunan masyarakat dan juga dunia,” kata beliau.

Naib Presiden Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC), Encik Abdul Samad Abdul Wahab, pula menceritakan tentang pengalamannya bekerjasama dengan Encik Masagos semasa pandemik Covid-19, dengan beliau diundang untuk menyertai Pasukan Bertindak SGTeguhBersatu.

Pasukan itu dibentuk semasa pandemik demi memastikan bantuan peringkat nasional sampai kepada masyarakat Melayu/Islam, dan menerajui inisiatif khusus untuk masyarakat di tengah-tengah pandemik.

Encik Abdul Samad menyifatkan pengalaman itu sebagai detik penting bagi pemimpin kesatuan Melayu/Islam lebih terlibat dalam masyarakat.

“Beliau (Encik Masagos) mendengar perspektif kami, keprihatinan pekerja dan bagaimana pemimpin kesatuan boleh menyumbang dalam cara kita sendiri.

“Penglibatan pemimpin kesatuan dalam SGTeguhBersatu merupakan satu langkah besar bagi kami dan bukti peranan yang boleh dimainkan pemimpin kesatuan untuk masyarakat,” kata beliau.

Zamil penyelidik kanan di Institut Pengajian Dasar (IPS), Dr Faizal Yahya, berkata gerakan M³ merupakan satu sumbangan berharga dan contoh baik yang menunjukkan bagaimana Encik Masagos berusaha menggembleng tenaga tiga institusi berbeza untuk mempertingkatkan masyarakat Melayu/Islam, terutama golongan berpendapatan rendah.

Usaha ini bukan sesuatu yang mudah, memandangkan terdapat banyak perkara yang perlu diselaraskan dan kerja untuk mengenal pasti dan memberi tumpuan pada bidang-bidang utama untuk membantu masyarakat, tambah beliau.

“Ia mungkin kelihatan tidak begitu banyak usaha yang dilakukan, tetapi saya fikir ia akan mempunyai kesan yang meluas kerana tiga institusi itu meliputi sebahagian besar perkara yang menjejas masyarakat Melayu/Islam, seperti pendidikan, khidmat sosial, agama dan sebagainya.

“Saya rasa mungkin tidak cukup kredit telah diberi, tetapi usaha ini sebenarnya mengambil masa yang lama untuk dirancang dan diselaraskan dari segi kerjasamanya, isu-isu operasi dan sebagainya,” kata beliau.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg