Topik diikuti
Pergi ke BHkuPergas perkenal biasiswa baru, gesa asatizah perluas peranan dalam masyarakat
Pergas perkenal biasiswa baru,
Pergas perkenal biasiswa baru, gesa asatizah perluas peranan dalam masyarakat
Peranan asatizah kekal penting dalam membimbing masyarakat Melayu/Islam, namun sumbangan mereka perlu diperluas melangkaui ruang tradisional bagi memenuhi keperluan masyarakat yang kian berubah, kata Presiden Persatuan Ulama dan Guru-Guru Agama Islam Singapura (Pergas), Ustaz Muhammad Tarmizi Abdul Wahid.
Meskipun tugas mengajar di madrasah, menyampaikan ceramah di masjid dan memimpin solat kekal sebagai aspek penting kepimpinan agama, terdapat keperluan yang semakin meningkat bagi asatizah untuk berkhidmat dalam bidang lain, tambahnya, semasa berucap di Majlis Penyampaian Anugerah Biasiswa Pergas 2026 di Paradise@Pergas, Changi Road, pada 28 November.
Ini termasuk penjagaan warga emas, kaunseling dan sokongan kerohanian, khususnya sedang Singapura berdepan penduduk yang semakin menua serta keperluan kesihatan mental yang kian meningkat.
Usaha memperluas peranan asatizah itu turut dicerminkan menerusi Biasiswa Rangkaian Karyawan dan Sukarelawan Asatizah (APVN) Pergas, yang diperkenalkan buat julung-julung kalinya dan diberikan kepada empat penerima pada majlis tersebut.
Biasiswa berkenaan menyokong asatizah yang melanjutkan pengajian di peringkat pascasiswazah bagi membina kemahiran profesional khusus di samping memperkukuh pengetahuan Islam mereka.
“Sejak kebelakangan ini, rumah jagaan warga emas kerap menghubungi Pergas, bukan untuk membincangkan perbahasan teologi yang abstrak, tetapi untuk mendapatkan jawapan kepada persoalan fiqah yang amat praktikal dan dekat dengan kehidupan penghuninya yang beragama Islam,” ujarnya.
Menurut beliau, antara persoalan yang dibangkitkan termasuk cara bersuci apabila seseorang kehilangan keupayaan bergerak, menunaikan solat apabila daya ingatan merosot, serta memelihara maruah, kesopanan dan ketenangan rohani warga emas pada penghujung hayat.
“Institusi sekular seperti rumah jagaan, pasukan penjagaan klinikal dan agensi sosial kini mendapatkan khidmat kami kerana mereka menyedari bahawa mereka boleh menjaga keperluan seseorang, menguruskan ubat-ubatannya dan mengatur waktu makannya.
“Namun, jika aspek kerohaniannya diabaikan, penjagaan yang diberikan terasa tidak lengkap,” ujar Ustaz Tarmizi.
Antara penerima biasiswa itu adalah Ustazah Siti Raudhah Ramlan, yang melanjutkan pengajian di peringkat sarjana dalam bidang Gerontologi di Universiti Sains Kemasyarakatan Singapura (SUSS).
Merujuk kepada laporan Jawatankuasa Asatizah Masa Depan (COFA) 2020, Ustaz Tarmizi berkata masyarakat mengharapkan graduan yang mempunyai kepakaran dalam pelbagai bidang selain penguasaan ilmu Islam.
“Masyarakat bukan sahaja memerlukan pembimbing di masjid, tetapi juga golongan pemikir dan pengamal yang mempunyai kemahiran untuk menangani isu-isu semasa berlandaskan asas ilmu dan nilai Islam.
“Itulah golongan asatizah yang diperlukan masyarakat hari ini dan Pergas mengambil perhatian terhadap keperluan tersebut,” ujar beliau.
Dalam pada itu, Ustaz Mizi menegaskan bahawa keperluan terhadap asatizah akan terus wujud selagi manusia berdepan pelbagai pengalaman dan cabaran kehidupan, termasuk kelahiran, kematian, kesedihan, proses pemulihan, penuaan dan keresahan.
Ini meskipun teknologi boleh memberikan jawapan segera dan dasar boleh membina sistem serta prasarana, tambahnya.
“Namun, pada saat-saat paling sunyi dan rapuh dalam kehidupan seseorang, ketenangan bukan datang daripada algoritma, tetapi daripada kehadiran rohani, kejelasan moral dan hati penyayang yang berpaksikan Allah.
“Selagi Pergas terus berdiri, kami akan terus mendampingi mereka dengan membuka peluang, memperluas laluan dan memastikan kepimpinan agama kita terus berteraskan asas yang kukuh serta kekal relevan dan berani menghadapi perubahan,” ujar beliau.