Masyarakat
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

PM Wong: Syed Isa Semait tonggak masyarakat, pejuang keharmonian sosial S’pura

Jul 8, 2025 | 6:13 PM
Allahyarham Ustaz Syed Isa Semait, mufti
Mantan Mufti, Allahyarham Ustaz Syed Isa Semait, meninggal dunia pada 7 Julai pada usia 87 tahun. - Foto fail

Mantan Mufti, Allahyarham Ustaz Syed Isa Semait, merupakan tonggak masyarakat Islam dan Singapura yang mengiktiraf keperluan bagi asatizah mengajar mengikut konteks masyarakat kosmopolitan dan berbilang agama negara ini, kata Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong.

Melahirkan takziah dalam surat yang diutus kepada balu Allahyarham, Sharifah Muznah Mohammad Alhaddad, Encik Wong turut berkata mantan Mufti itu telah memperjuangkan pembangunan profesional asatizah, peningkatan madrasah dan usaha memperkukuh sistem pendidikan Islam Singapura.

Allahyarham juga seorang pejuang keharmonian sosial di negara ini, tambah beliau.

“Sepanjang tempoh tugasnya sebagai Mufti yang paling lama berkhidmat di Singapura dari 1972 hingga 2010, beliau telah meletakkan asas bagi banyak institusi yang terus berkhidmat kepada masyarakat hari ini.

“Ini termasuk pembentukan Dana Pembinaan Masjid dan pembangunan sistem pengumpulan dan pengagihan zakat,” tulis Encik Wong dalam surat itu, yang dimuat naik di laman Pejabat Perdana Menteri (PMO) pada 8 Julai.

“Lebih penting, Shaikh Syed Isa akan dikenang atas kebaikan, kebijaksanaan dan dedikasinya yang teguh kepada masyarakat.

“Warisannya akan terus hidup melalui banyak generasi guru agama, ulama dan rakyat Singapura yang beliau bimbing,” tambah Encik Wong.

Allahyarham Ustaz Syed Isa meninggal dunia pada 7 Julai, meninggalkan legasi besar dalam pembangunan keagamaan dan sosial masyarakat.

Beliau berusia 87 tahun.

Allahyarham meninggalkan seorang balu, empat anak perempuan dan 13 cucu.

Berita Harian sebelum ini melaporkan bahawa menurut menantu Allahyarham, Ustaz Syed Mustafa Alsagoff, 50 tahun, Allahyarham meninggal dunia di rumah akibat sakit tua.

Sebagai Mufti, Allahyarham Ustaz Syed Isa telah mengetuai Jawatankuasa Fatwa untuk mencari penyelesaian bagi isu-isu mencabar dan berkembang.

Menurut Encik Wong, Allahyarham bekerja rapat dengan masyarakat dan pemerintah untuk mencapai huraian unik dalam merangkumkan masyarakat Islam Singapura sebagai potensi penderma di bawah Akta Pemindahan Organ Manusia (Hota).

Selain itu, Allahyarham turut memainkan peranan penting dalam penubuhan Kumpulan Pemulihan Keagamaan (RRG) menyusuli penangkapan anggota Jemaah Islamiyah (JI).

Selain menggalas tugas sebagai Mufti, Allahyarham memainkan pelbagai peranan sepanjang hayatnya.

Beliau merupakan anggota seumur hidup dan mantan Presiden Pertubuhan Antara Agama (IRO) Singapura, tulis Encik Wong.

Allahyarham juga pernah berkhidmat dalam kedua-dua Majlis Presiden bagi Keharmonian Agama dan Majlis Presiden bagi Hak Kaum Minoriti.

“Beliau secara aktif menggalak pendekatan antara agama dan berusaha membina perpaduan dan kepercayaan dalam kalangan rakyat Singapura berbilang kaum dan agama,” kata Encik Wong.

“Bagi pihak pemerintah Singapura, sila terima ucapan takziah kami.

“Ingatan kami bersama anda dan keluarga anda semasa waktu sukar ini,” akhiri Encik Wong dalam suratnya itu. – IRMA KAMARUDIN

Sepanjang tempoh tugasnya sebagai Mufti yang paling lama berkhidmat di Singapura dari 1972 hingga 2010, beliau telah meletakkan asas bagi banyak institusi yang terus berkhidmat kepada masyarakat hari ini. ... Lebih penting, Shaikh Syed Isa akan dikenang atas kebaikan, kebijaksanaan dan dedikasinya yang teguh kepada masyarakat. Warisannya akan terus hidup melalui banyak generasi guru agama, ulama dan rakyat Singapura yang beliau bimbing. ... Beliau secara aktif menggalak pendekatan antara agama dan berusaha membina perpaduan dan kepercayaan dalam kalangan rakyat Singapura berbilang kaum dan agama.
Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong.
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg