Satu kejohanan futsal yang bertujuan mengeratkan hubungan antara bapa dengan anak, selain mempromosikan gaya hidup sihat bakal kembali September ini.
Piala Bapa Sepanjang Hayat (BSH) 2025 dijadualkan berlangsung pada 13 September, dari 2 petang hingga 8 malam di gelanggang futsal, The Cage @ Kallang yang terletak di 38 Jln Benaan Kapal.
Acara tersebut bukan sekadar acara sukan biasa.
“Atas permintaan ramai, kejohanan futsal ini kembali. Kali ini, ia diadakan dalam skala lebih besar.
“Kami turut bergandingan dengan akhbar, Berita Harian sebagai rakan media untuk menjayakannya sebagai sokongan kepada semua bapa,” kata BSH dalam catatan Facebook mereka pada 1 Ogos.
Pertandingan tersebut juga sebagai usaha menyambut kebapaan, dengan harapan untuk mengeratkan hubungan antara bapa dengan anak-anak mereka melalui permainan futsal.
Pertandingan tersebut terbuka kepada tiga kategori.
Kategori Belia khusus untuk pemain berusia 13 hingga 17 tahun; kategori Terbuka bagi mereka yang berusia 13 tahun ke atas; dan kategori Veteran bagi pemain berusia 45 tahun ke atas.
Pasukan yang menduduki tiga tempat teratas bagi setiap kategori akan menerima trofi serta membawa pulang pingat untuk setiap pemain pasukan.
Setiap pasukan boleh mendaftar seramai maksimum lapan pemain, memberi pasukan peluang mengatur strategi dan menukar pemain sepanjang permainan.
Bayaran pendaftaran bagi setiap pasukan ialah $150.
Tarikh tutup penyertaan adalah pada 1 September.
Mereka yang berminat boleh mengimbas kod QR yang terdapat pada poster rasmi pertandingan, atau layari laman rasmi pendaftaran di pautan berikut, https://bshsekolahbapa.com/bsh-cup-2025-futsal-5-a-side/.
Setelah mendaftar, mereka akan menerima e-mel dengan arahan untuk melakukan bayaran bagi mengesahkan pendaftaran mereka.
Semua bayaran bagi acara tersebut akan disalurkan kepada program Bapa Sepanjang Hayat, satu inisiatif yang menyokong dan memperkasakan bapa Melayu/Islam dengan kemahiran keibubapaan, dan sokongan masyarakat yang kuat.
Pihak BSH mengalu-alukan agar ramai pemain mendaftar untuk pertandingan tersebut dan menyokong usaha mereka.
“Pihak bapa, ajak ‘kaki bola’ dan anak anda untuk daftar segara,” kata penganjur pertandingan bola sepak itu.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg