Topik diikuti
Pergi ke BHkuPhoon Huat beku harga sekitar 100 produk pada Jun
Phoon Huat beku harga sekitar 100 produk pada Jun
Phoon Huat beku harga sekitar 100 produk pada Jun
Syarikat pembekal bahan membuat kuih dan kek, Phoon Huat, akan membekukan harga sekurang-kurangnya 100 barang keperluan harian sepanjang Jun bagi membantu rakyat Singapura menangani peningkatan kos.
Pembekuan harga telah dilaksanakan di semua 19 kedai RedMan dan Phoon Huat di seluruh Singapura dan eksklusif untuk anggota program kesetiaan RedMan Rewards, kata syarikat itu.
Keanggotaan adalah percuma.
Tawaran ini meliputi bahan-bahan membakar kek dan pastri, barang keperluan pantri, termasuk tepung, coklat, lelemak, krim, mentega dan susu tepung.
Harga juga akan dikekalkan stabil untuk barangan sarapan pagi termasuk Nutella, kacang dan emping jagung, serta keperluan makanan seperti pasta, sos tomato dan pes kari, kata Phoon Huat.
Menurut The Straits Times, barang-barang di bawah inisiatif ini akan mempunyai tag Pembekuan Harga berwarna biru.
Langkah ini diambil kerana rantaian bekalan di seluruh dunia masih tidak menentu dan kos pengangkutan antarabangsa melonjak lebih 20 peratus, kata syarikat itu.
“Phoon Huat – yang mengimport hampir 90 peratus produknya dari seluruh dunia – terus menghadapi tekanan operasi dan kos yang semakin meningkat.
“Daripada menyalurkan kenaikan ini secara langsung kepada pengguna, pihak syarikat telah memilih untuk menyerap sebahagian daripada impak tersebut bagi membantu isi rumah, pembuat roti di rumah dan keluarga Singapura menguruskan perbelanjaan harian dengan lebih baik,’’ kata syarikat itu lagi.
Pada Mei, Kumpulan FairPrice (FPG) mengumumkan ia akan membekukan harga lebih 500 produk penting di pasar rayanya dari 1 Jun hingga 31 Ogos, memandangkan tekanan ekonomi berlarutan yang disebabkan oleh gangguan rantaian bekalan sejagat di tengah konflik di Timur Tengah.
Pembekuan harga meliputi barangan keperluan pantri seperti beras jenama FairPrice, minyak masak, telur, sayur-sayuran, daging dan susu segar dan beku, serta produk penjagaan warga emas dan bayi.
FPG sebelum ini telah membekukan harga bagi 100 barangan keperluan harian pada April, sebelum memperluaskan langkah pembekuan harga itu kepada 300 produk sehingga 31 Mei.
