Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, telah bertemu dengan Ketua Pengarah Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Dr Tedros Adhanom Ghebreyesus, di Singapura awal minggu ini.
Kededua pemimpin itu saling bertukar pandangan mengenai cabaran kesihatan sejagat yang mendesak pada masa ini, dan cara negara-negara boleh bekerjasama dengan WHO untuk menanganinya.
Encik Wong, dalam hantaran Facebook pada 7 Mei, berkata: “Singapura menyokong usaha penting WHO.
“Sebagai sebuah negara kecil, kami memahami kepentingan bekerjasama dan berkongsi pengalaman bagi membina dunia yang lebih sihat dan selamat untuk semua.”
Perundingan Perjanjian Pandemik WHO baru-baru ini membuktikan betapa pentingnya kerjasama antarabangsa dalam menangani krisis kesihatan sejagat, tambah beliau.
Menyifatkannya sebagai “satu langkah penting ke hadapan”, Encik Wong berkata perjanjian tersebut akan “memastikan dunia lebih bersedia menghadapi pandemik pada masa depan”.
Perjanjian Pandemik merupakan satu perjanjian antarabangsa yang digubal susulan pengalaman dunia menghadapi pandemik Covid-19, dengan tujuan memperkukuh kesiapsiagaan dunia terhadap wabak pada masa hadapan.
Encik Wong akur “perjalanan melangkah ke hadapan tidak mudah”.
Namun, dengan tekad dan usaha bersama, beliau yakin Singapura akan mengatasi cabaran berhubung krisis kesihatan sejagat dan membina masa depan yang lebih berdaya tahan.
Menurut laman web WHO, Perjanjian Pandemik tersebut dimuktamadkan pada 16 April, setelah lebih tiga tahun rundingan yang melibatkan 13 pusingan rasmi dan banyak mesyuarat tidak formal.
Draf itu akan dibentangkan di Perhimpunan Kesihatan Sedunia (WHA) ke-78, yang dijadual dari 19 hingga 27 Mei, untuk dipertimbangkan.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg