Kurang lima tahun selepas pandemik Covid-19 melanda, kini terdapat risiko besar terdapat kemungkinan, pengajaran yang diperoleh telah dilupakan.
Cabaran terbesar kini adalah sikap leka dan senang berpuas hati, angan-angan dan pentingkan diri sendiri, kata Presiden Tharman Shanmugaratnam.
Dunia perlu menghadapi cabaran itu dengan cara kreatif dan menghindari perpecahan yang lebih teruk, tambahnya.
“Kita perlu lakukan ini dengan cara yang menunjukkan kepentingan menjaga negara, dan mengakui bahawa kita hanya boleh mencegah dan bersedia untuk pandemik seterusnya melalui pelaburan dan tindakan bersama di peringkat antarabangsa,” kata Tuan Presiden.
Dalam ucapan pada 6 Mei di majlis makan malam anjuran Yayasan Temasek, Tuan Presiden menegaskan bahawa pandemik besar seterusnya adalah soal bila, bukan jika, dan ia boleh berlaku dalam tempoh 10 tahun atau lebih awal.
Oleh itu, banyak kerja masih perlu dilakukan, lapor The Straits Times (ST).
Dunia perlu memulihkan sistem kesihatan tempatan yang terjejas akibat Covid-19 dan terus melabur lebih banyak dalam pencegahan pandemik serta memperkukuh kerjasama antarabangsa dan serantau, tambahnya.
Majlis makan malam yang diadakan di hotel Pan Pacific Singapore itu bertepatan dengan Sidang Puncak Kedermawanan Asia 2025, yang berlangsung dari 5 hingga 7 Mei.
Sidang itu diadakan untuk meneroka peluang meningkatkan kesihatan dan kesejahteraan di Asia.
Antara penceramah undangan ialah Ketua Pengarah Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Dr Tedros Adhanom Ghebreyesus.
Mengucapkan tahniah kepada Dr Tedros atas kejayaan mencapai persetujuan perjanjian pandemik WHO pada 16 April, Tuan Presiden berkata perjanjian itu meletakkan asas untuk dunia menangani jurang besar dalam ekosistem kesihatan sejagat terutama ketidaksamaan akses kepada vaksin dan terapi yang ketara semasa pandemik Covid-19.
Dalam penyelidikan dan pembangunan, banyak usaha perlu dilakukan demi memastikan vaksin dan rawatan mampu milik serta mudah diakses.
Ini termasuk membangunkan vaksin tanpa jarum bagi mengatasi kekurangan tenaga mahir untuk menyuntik dan yang tidak perlu disimpan pada suhu beku.
Tuan Presiden berkata WHO sedang giat memupuk dan mengembangkan kerjasama dalam bidang itu dan lain-lain.
Di Singapura, Institut Kesihatan Alam Sekitar Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA), yang berperanan sebagai Pusat Kerjasama WHO, menyokong kapasiti serantau bagi pemantauan dan kawalan penyakit arbovirus, yang disebarkan oleh serangga dan kutu.
“Berkurangnya perbelanjaan untuk pembangunan antarabangsa dan kesihatan sejagat kini menjadi realiti bagi institusi seperti WHO,” kata Tuan Presiden.
Tuan Presiden menegaskan pentingnya membangunkan ekosistem pembiayaan kukuh untuk kesihatan sejagat walaupun dengan kekangan ini.
“Kita tidak boleh menunggu struktur ideal pelbagai hala dibina semula, kita perlu bekerjasama dengan gabungan luas yang bersedia,” tambahnya.
Gabungan itu melibatkan pemerintah, badan yang terdiri daripada pelbagai pihak, badan kedermawanan dan perniagaan, bersama-sama dengan WHO untuk mencegah pandemik masa depan.
Dr Tedros, dalam ucapannya, berkata Singapura telah berkembang pesat sejak 1965, memiliki jangka hayat tertinggi di dunia dan ekonomi maju.
Beliau turut menekankan keselamatan kesihatan adalah keselamatan ekonomi dan kededuanya perlu diimbangkan.
WHO bekerjasama dengan banyak rakan kongsi, termasuk dermawan yang memberi kesan besar kepada kesihatan sejagat.
Encik Ng Boon Heong, daripada Yayasan Temasek, berkata yayasan tersebut mengikrarkan sehingga AS$10 juta ($13 juta) untuk program yang memberi tumpuan pada kesiapsiagaan pandemik, kesihatan ibu dan kanak-kanak, serta inovasi kesihatan digital.
WHO turut berganding bahu dengan organisasi bukan pemerintah dan institusi akademik bagi memajukan kesihatan global.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg