Masyarakat
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

PM Wong: Masyarakat S’pura ialah satu keluarga meski beza budaya, agama

Turut puji rakyat S’pura yang sama-sama dapat raikan perayaan berbeza
Apr 20, 2025 | 6:46 PM
Menteri Kesihatan, Encik Ong Ye Kung (dua dari kiri), berkata Kampung Admiralty kini menjadi antara destinasi pilihan delegasi antarabangsa yang ingin pelajari model penjagaan kesihatan. Bersama beliau ialah Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong (dua dari kanan); Anggota Parlimen (AP) GRC Sembawang, Cik Mariam Jaafar (kanan) dan Cik Poh Li San (kiri).
Menteri Kesihatan, Encik Ong Ye Kung (dua dari kiri), berkata Kampung Admiralty kini menjadi antara destinasi pilihan delegasi antarabangsa yang ingin pelajari model penjagaan kesihatan. Bersama beliau ialah Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong (dua dari kanan); Anggota Parlimen (AP) GRC Sembawang, Cik Mariam Jaafar (kanan) dan Cik Poh Li San (kiri). - Foto ST

Walaupun masyarakat Singapura berbilang budaya dan agama, semua rakyatnya ialah satu keluarga, kata Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, pada 20 April.

Beliau berkata demikian ketika memberi kejutan manis kepada penduduk yang hadir di Karnival Kesihatan GRC Sembawang 2025, yang diadakan di Pavilion Sukan Woodlands, bersebelahan Kelab Masyarakat Woodlands Galaxy, yang tidak sangka beliau bakal hadir di situ.

“Sesuatu yang unik di Singapura adalah kita mempunyai rakan beragama Islam yang menyambut Hari Raya; rakan India kita yang baru meraikan permulaan Tahun Baru Tamil mereka (Puthandu).

“Hari ini adalah sambutan ‘Easter Sunday’ bagi penganut agama Kristian. Di Singapura, keadaan sebegini sangat berharga.

“Masyarakat yang berbeza, kepercayaan yang berlainan, agama yang berbeza diraikan bersama sebagai sebuah keluarga Singapura.

“Jadi, marilah kita teruskan... tanpa mengira bangsa, bahasa atau agama sebab kita semua rakyat Singapura secara bersama,” jelas Encik Wong.

Beliau menambah, selagi rakyat Singapura terus bekerjasama, negara akan terus maju.

Ketibaan Encik Wong mengejutkan lebih 1,000 penduduk yang menghadiri Karnival Kesihatan, yang menyediakan ruang bagi mereka bermain pelbagai permainan yang tersedia, mendapat nasihat kesihatan dan menikmati persembahan oleh murid tadika dan penari zumba.

Menteri Kesihatan, Encik Ong Ye Kung menjelaskan mahu menjadikan GRC Sembawang “hab kesihatan Singapura, pusat kesihatan Singapura dan pusat kesejahteraan Singapura”.

Kata Encik Ong: “Sejujurnya, saya sangat gembira apabila mereka kata begitu. Ini bermakna Kementerian Kesihatan (MOH) sedang menjalankan tugasnya. Kerana MOH melakukan kerja kita, kita menyokong seluruh negara. Setiap kawasan boleh menjadi hab kesihatan di Singapura.”

Beliau menambah dalam beberapa tahun kebelakangan ini, MOH telah menjadikan kos penjagaan kesihatan lebih dimampui dengan menawarkan subsidi penjagaan kesihatan dan pergigian yang lebih tinggi untuk lebih ramai rakyat Singapura dan pemeriksaan kesihatan percuma, serta menurunkan kos vaksinasi kayap untuk warga emas.

Beliau menegaskan kemampuan dalam menikmati penjagaan kesihatan pada harga berpatutan kekal sebagai keutamaan penduduk Singapura.

Antara langkah yang diambil termasuk perubahan kriteria subsidi pada 2024 yang membolehkan lagi 1.1 juta rakyat Singapura menerima subsidi penjagaan kesihatan yang lebih tinggi.

Selain itu, jaringan Pusat Penuaan Aktif (AAC) juga terus diperluas di seluruh Singapura bagi menyokong golongan warga emas menjalani gaya hidup sihat, tambah Encik Ong.

Dalam hal ini, Kampung Admiralty diketengahkan sebagai contoh unggul pelaksanaan ekosistem penjagaan kesihatan masyarakat yang berkesan.

Menyifatkannya sebagai “sangat istimewa”, Encik Ong berkata Kampung Admiralty memainkan peranan penting dalam ekosistem penjagaan kesihatan masyarakat.

“Setiap kali Menteri Kesihatan dari luar negara melawat Singapura, mereka bukan sahaja menyatakan minat untuk ke Hospital Besar Singapura (SGH) atau Hospital Universiti Nasional (NUH), malah ramai yang mahu melawat Kampung Admiralty,” tambah beliau yang turut memuji komitmen dua ‘ketua kampung’ iaitu Cik Mariam Jaafar dan Cik Poh Li San, dalam menjayakan Kampung Admiralty.

Kededuanya yang berada dalam pasukan GRC Sembawang selepas GE2020 turut hadir pada acara tahunan Karnival Kesihatan itu.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg