Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Ye Kung: Perbelanjaan sektor kesihatan mungkin cecah $30b setahun jelang 2030

Turut beri jaminan keperluan asas jagaan kesihatan rakyat akan kekal dimampui
Apr 10, 2025 | 4:14 PM
Pada 2025, pemerintah memperuntukkan $20.9 bilion untuk sektor kesihatan – jumlah perbelanjaan kedua terbesar selepas pertahanan, yang menerima $23.4 bilion.
Pada 2025, pemerintah memperuntukkan $20.9 bilion untuk sektor kesihatan – jumlah perbelanjaan kedua terbesar selepas pertahanan, yang menerima $23.4 bilion. - Foto ST

Perbelanjaan dalam sektor penjagaan kesihatan di Singapura mungkin menjadi perbelanjaan terbesar dalam belanjawan pemerintah tidak lama lagi, kata Menteri Kesihatan, Encik Ong Ye Kung.

Beliau juga memberi jaminan bahawa keperluan asas penjagaan kesihatan rakyat akan kekal dimampui.

Pada 2025, pemerintah memperuntukkan $20.9 bilion untuk sektor kesihatan – jumlah perbelanjaan kedua terbesar selepas sektor pertahanan, yang menerima $23.4 bilion, lapor The Straits Times (ST).

Berdasarkan trend perbelanjaan pemerintah untuk sektor kesihatan – daripada $9 bilion pada 2015, iaitu tahun beliau menyertai politik, kepada $18 bilion pada 2024 – Encik Ong menjangkakan jumlah itu mencecah hampir $30 bilion setahun menjelang 2030.

Sebahagian besar dana akan digunakan untuk membina lebih banyak kemudahan, termasuk hospital baru, rumah penjagaan, pusat penjagaan masyarakat, serta membiayai kos tenaga kerja.

Namun, sebahagian besar dana juga akan diperuntukkan untuk memberi subsidi kepada pesakit bagi mengurangkan kos perubatan mereka.

“Kami dapat menjadikannya mampu ditanggung untuk pesakit, tetapi tidak dapat dinafikan bahawa dengan populasi yang semakin menua, perbelanjaan penjagaan kesihatan, sama ada oleh pemerintah atau negara, akan terus meningkat,” kata Encik Ong dalam wawancara eksklusif bersama ST.

Golongan warga emas bukan sahaja lebih kerap jatuh sakit, bahkan penyakit yang mereka alami juga lebih serius dan mereka perlu tinggal lebih lama di hospital kerana kebanyakan daripada mereka menghidap lebih daripada satu penyakit, jelas Encik Ong.

“Anda akan melihat lebih ramai pesakit warga emas yang datang masuk (ke hospital), bukan kerana penyakit yang sangat serius, tetapi kerana jangkitan. Disebabkan usia mereka, (ramai yang) mengalami penyakit lain selepas (menghidapi) Covid-19. Mereka lebih lemah, dan satu jangkitan sahaja sudah cukup untuk membawa mereka ke Unit Jagaan Rapi (ICU),” tambah Encik Ong.

Justeru, tempoh purata pesakit dimasukkan ke hospital awam telah meningkat, daripada 6.1 hari pada 2019 kepada 7 hari menjelang 2022.

Ini menunjukkan peningkatan 15 peratus dalam jumlah pesakit, tambah beliau.

Meski trend itu membimbangkan, Encik Ong yakin mutu penjagaan kesihatan untuk pesakit pada masa depan tidak akan terjejas dek permintaan lebih tinggi.

Walaupun mutu penjagaan kesihatan di sini semakin baik dengan kemajuan dalam sains dan teknologi perubatan, Encik Ong berkata pemerintah akan terus memperluaskan skop penjagaan kesihatan asas yang dijanjikan akan kekal mampu ditanggung oleh rakyat.

Encik Ong memberi contoh pengumuman bahawa MediShield Hayat akan menanggung rawatan yang menggunakan produk sel, tisu dan terapi gen mulai Oktober.

Rawatan itu disesuaikan mengikut masalah perubatan individu, termasuk penyakit yang sebelum ini tidak dapat diubati.

Oleh kerana setiap rawatan direka dan dihasilkan khas untuk seorang pesakit, kosnya sangat tinggi.

Langkah itu menandakan satu “titik perubahan” untuk penjagaan kesihatan asas di sini, kata Encik Ong. 

Meski menelan kos yang tinggi, “kami memutuskan bahawa ini adalah hala tuju yang perlu diambil” kerana pada masa kini, jika ada rawatan yang tersedia, orang ramai berharap dapat mengaksesnya.

“Pada masa tertentu, (rawatan sebegitu) itu akan menjadi harapan orang ramai. Jadi, kita perlu mula menerima perubahan ini,” tambahnya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg