Dua muka baru yang sebelum ini diperkenalkan sebagai bakal calon Parti Tindakan Rakyat (PAP) yang berkemungkinan bertanding di GRC Sembawang akan mengendalikan divisyen Canberra sebagai penasihat kedua.
Mereka akan membantu Anggota Parlimen kawasan undi itu, Dr Lim Wee Kiak, yang kini bertanggungjawab menjaga Canberra, kata Menteri Kesihatan, Encik Ong Ye Kung.
Dua muka baru itu – pengarah syarikat bateri Powermark Battery, Encik Ng Shi Xuan, 35 tahun, dan ketua pegawai operasi (COO) syarikat khidmat pemindahan Shalom Movers, Encik Gabriel Lam, 42 tahun – diperkenalkan Encik Ong dalam sebuah acara di Canberra pada Mac.
Ditanya media sama ada Dr Lim akan bersara, Encik Ong, yang ditemui di sebuah acara masyarakat di Canberra Park pada 13 April, tidak mengesahkan mahupun menafikan hal itu.
Sebaliknya, beliau berkata Dr Lim meluahkan hasrat ingin bersara pada 2020 sebelum pilihan raya sebelumnya, namun tetap bertanding atas permintaan Encik Ong, yang waktu itu baru menjadi menteri utama di GRC Sembawang.
Semasa berucap di acara masyarakat Canberra Day itu, Encik Ong memberi penghormatan kepada Dr Lim atas sumbangannya kepada pembangunan Canberra.
Merujuk kepada kehadiran Encik Lam dan Encik Ng sebagai muka baru, Encik Ong berkata: “Saya telah meminta dua wajah baru ini berada di bawah divisyen Canberra sebagai penasihat kedua dan ia adalah atas alasan yang baik.
“Ini kerana di seluruh Sembawang, bahagian yang berkembang sangat cepat merupakan divisyen saya (Sembawang Central) dan perkembangannya hampir selesai.
“Kawasan seterusnya yang akan berkembang pesat ialah divisyen Canberra. Bahagian utara Canberra menghala ke Masjid Assyafaah, ke arah Naval Base, anda akan lihat banyak flat BTO baru, dan lebih penting lagi, banyak kemudahan baru dan menyeronokkan akan datang.
“Kami akan memerlukan dua penasihat untuk membantu beliau dalam menjaga kawasan yang berkembang ini.”
Ditanya sama ada langkah ini akan menjejas penjagaan bagi kawasan lain di Sembawang, Encik Ong memberi jaminan bahawa sekiranya pasukan PAP menang dalam pilihan raya akan datang, mereka akan lihat semula sempadan di dalam GRC Sembawang jika perlu untuk memberi tumpuan kepada daerah yang bakal membangun pesat.
GRC Sembawang, yang dibentuk pada 1988, sebelum ini dibahagikan kepada lima divisyen, Woodlands, Admiralty, Canberra, Sembawang Central dan Sembawang West.
Sembawang West, yang sekarang dijaga Anggota Parlimen GRC Sembawang, Cik Poh Li San, kini membentuk Kawasan Undi Perseorangan (SMC) baru.
Setakat ini, pasukan PAP yang bakal bertanding di GRC Sembawang belum lagi pasti.
Encik Ong berkata beliau menjangkakan pertandingan tiga penjuru di GRC Sembawang, tetapi akur ia akan memberi penduduk lebih banyak pilihan untuk menggunakan hak demokratik mereka semasa mengundi.
Parti Demokratik Singapura (SDP) memperkenal pasukannya bagi GRC Sembawang pada 8 April.
Sementara itu, Parti Perpaduan Nasional (NSP) juga mengadakan sesi berinteraksi bersama penduduk di Woodlands.
Kededua parti pembangkang itu telah menyatakan hasrat bertanding di GRC Sembawang.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg