Masyarakat
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

PM Wong, Putera Mahkota Brunei bincang keutamaan kesihatan bagi penduduk menua

Nov 4, 2025 | 4:57 PM
Lawrence Wong, Putera Al-Muhtadee Billah, brunei
Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong (kiri), bertemu Putera Mahkota Brunei, Putera Al-Muhtadee Billah, semasa lawatan beliau ke Brunei dari 3 hingga 4 November. - Foto MDDI

Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, bertemu Putera Mahkota Brunei, Putera Al-Muhtadee Billah, semasa lawatan beliau ke Brunei.

Kededua pemimpin membincangkan keutamaan bersama khususnya dalam bidang kesihatan, yang menjadi keprihatinan utama bagi kedua-dua negara dengan penduduk yang semakin menua.

Encik Wong yang juga Menteri Kewangan, turut melawat Pusat Perubatan Taman Jerudong (JPMC) dan menyaksikan komitmen kukuh Brunei dalam menyediakan perkhidmatan penjagaan kesihatan yang bermutu tinggi kepada pesakit.

Encik Wong berada di Brunei dari 3 hingga 4 November bagi menghadiri Program Pemimpin Muda (YLP) Singapura–Brunei ke-11, yang dipengerusikan bersama Putera Al-Muhtadee Billah.

Pertukaran tahunan itu menjadi wadah penting untuk memperbaharui serta memperkukuh hubungan peribadi dan kerjasama antara generasi pemimpin masa depan kedua-dua negara.

Sepanjang lawatannya, Encik Wong turut bertemu Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah, dalam satu jamuan makan tengah hari.

Menurut Kementerian Ehwal Luar (MFA) dalam kenyataannya pada 3 November, para pemimpin mengadakan perbincangan yang baik mengenai perkembangan di Singapura dan Brunei serta peluang dan cabaran sejagat dan serantau selepas Sidang Kemuncak Asean ke-47 dan Mesyuarat Pemimpin Ekonomi Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (Apec) yang diadakan baru-baru ini.

Kedua-dua pihak turut “menegaskan semula kepentingan hubungan dua hala yang istimewa dalam dunia yang semakin kompleks dan tidak menentu” serta “membincangkan cara membawa hubungan tersebut ke tahap yang lebih tinggi pada tahun-tahun mendatang”.

Kedua-dua negara bersetuju memperkukuh kerjasama dalam bidang strategik seperti keselamatan makanan dan daya tahan rantaian bekalan, serta menantikan penganjuran YLP ke-12 oleh Singapura pada 2026.

Di samping itu, kedua-dua negara turut menandatangani Memorandum Persefahaman (MOU) bagi memperluas kerjasama dalam bidang bandar mampan dan berdaya huni, sejajar dengan komitmen bersama terhadap pembangunan lestari dan perancangan bandar masa depan.

Dalam hantaran Facebook yang mengimbas lawatannya, Encik Wong berkata:

“Kami bersama-sama mempengerusikan Program Pemimpin Muda Brunei-Singapura ke-11 yang memperbaharui dan memperkukuh hubungan erat serta peribadi antara kedua-dua negara.

“Kami berpeluang berbincang mengenai masa depan kerjasama dua hala, sambil menantikan beberapa detik penting seperti ulang tahun ke-50 hubungan pertahanan dan ulang tahun ke-60 Perjanjian Kesalingbolehtukaran Mata Wang.”

Encik Wong turut berkongsi beliau berpeluang “bertemu dengan usahawan Singapura di Brunei untuk mendengar pengalaman mereka serta membincangkan peluang baru bagi memperluas kerjasama”.

“Menjelang pengakhiran YLP ke-11, saya amat menghargai sambutan mesra dan layanan istimewa daripada rakan kami di Brunei.

“Ia benar-benar satu lawatan yang bermakna,” ujar beliau.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg