Brunei dan Singapura berkongsi hubungan istimewa yang mencerminkan kepercayaan mendalam dan ikatan erat antara pemimpin kededua negara sejak beberapa generasi, kata Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong.
Dalam satu hantaran di Facebook pada 3 November, Encik Wong berkongsi bahawa beliau telah bertemu Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah, dalam satu jamuan makan tengah hari, di Brunei Darussalam.
Encik Wong sedang mengetuai delegasi pemegang jawatan politik Singapura dari 3 hingga 4 November bagi Program Pemimpin Muda (YLP) ke-11.
“Brunei dan Singapura berkongsi hubungan yang benar-benar istimewa. Ia mencerminkan kepercayaan mendalam serta ikatan peribadi erat yang telah terjalin antara pemimpin kededua negara sejak beberapa generasi.
“Saya amat berbesar hati kerana berpeluang menghadap dan menikmati santapan tengah hari bersama Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah dari Brunei awal hari ini (3 November).
“Kami mengadakan perbualan mesra dan bermakna yang mengesahkan perkongsian kami yang lama bertahan,” kata Encik Wong.
Dalam lawatannya, beliau diiringi Menteri Pembangunan Negara, Encik Chee Hong Tat; Menteri Negara Kanan (Tenaga Manusia merangkap Kesihatan), Dr Koh Poh Koon; dan Menteri Negara (Penerangan dan Pembangunan Digital merangkap Pendidikan), Cik Jasmin Lau.
Turut serta ialah Setiausaha Parlimen Kanan (Kebudayaan, Masyarakat dan Belia merangkap Kemampanan dan Sekitaran), Cik Goh Hanyan; dan Setiausaha Parlimen Kanan (Pendidikan merangkap Pembangunan Negara), Dr Syed Harun Alhabsyi; serta pegawai Pejabat Perdana Menteri (PMO) dan agensi berkaitan.
Sepanjang ketiadaan Encik Wong, Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Perdagangan dan Perusahaan, Encik Gan Kim Yong, menggalas tugas sebagai Pemangku Perdana Menteri.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg