Dari permulaan yang penuh dengan ketidaktentuan, kota Singa ini bukan hanya berjaya menempah tempatnya di persada dunia dan menjadi kediaman istimewa bagi penduduknya yang berbilang bangsa, malah bersinar terang di pentas antarabangsa.
Kemajuan dan kemakmuran yang dinikmati hari ini hasil ‘Semangat Singapura’ yang disifatkan Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, sebagai daya penggerak yang menyatukan rakyat.
Ini, menurut beliau, adalah azam kolektif warga untuk mengatasi segala cabaran, keyakinan kepada masa depan yang dikongsi bersama dan kepercayaan antara satu sama lain.
Dengan semangat inilah, dari dibelenggu ketidakmungkinan, Singapura berjaya menjadi contoh sebuah negara kecil yang cemerlang.
Enam dekad berlalu sudah.
Sebahagian besar warga - terutama generasi muda - tidak mengalami ujian yang sama, tidak mengenali jerit payah dan pengorbanan yang dilalui leluhur kita dalam sama-sama membangunkan titik merah di khatulistiwa ini.
Mereka mungkin mendengar cerita masa lalu, tetapi dengan setiap generasi yang berlalu, cerita itu menjadi “lebih jauh, kurang jelas.”
Encik Wong dalam ucapannya mengakui bahawa sedang cabaran yang dilalui Covid-19 adalah perit, ia tidak dapat dibandingkan dengan perjuangan asas generasi perintis.
Justeru, ini menimbulkan cabaran: bagaimana kita terus menghidupkan ‘Semangat Singapura’ apabila ia tidak lahir daripada kesukaran hidup yang dikongsi bersama?
Jawapannya, adalah dengan menjadikannya sebahagian daripada kehidupan seharian, bukan hanya sesuatu yang muncul semasa krisis.
Seperti yang Perdana Menteri tekankan, untuk memastikan Singapura terus bergerak maju, kita perlu memperkukuh daya fikir “Kita Dahulu” bukan “Saya Dahulu”.
Ini memerlukan setiap individu untuk memiliki sikap sedia menyumbang, berkorban dan mengambil berat antara satu sama lain. Dan negara kita tidak ketandusan orang-orang sedemikian.
Sikap ini dicerminkan Cik Siti Adriana Muhamad Rasip, Encik Yasser Amin dan Encik Koh Seng Choon; tiga individu yang disebut Encik Wong dalam ucapan Rapat Hari Kebangsaan (NDR) 2025 pada 17 Ogos.
Tiga individu ini melihat keperluan dalam masyarakat dan mengambil langkah ke hadapan dengan berusaha mengisi keperluan tersebut.
Usaha yang mereka pelopori atau lakukan - mencerminkan bagaimana ‘Semangat Singapura’ itu mekar hingga ke hari ini.
Ini bukan inisiatif besar yang diterajui pemerintah tetapi usaha dari masyarakat yang didorong oleh individu yang melihat keperluan dan melangkah ke hadapan.
Encik Yaser mula terlibat sebagai relawan bersama kumpulan yang membersihkan pantai. Hari ini, beliau adalah penganjur sesi-sesi sedemikian.
Cik Siti pula terdorong oleh pengalaman bekerja sambil belajar di Kementerian Pembagunan Sosial dan Keluarga (MSF) dan mengasaskan Empowered Families Initiative untuk membantu keluarga kurang berkemampuan dengan memadankan mereka kepada geran-geran pemerintah, pemadanan simpanan dan menyediakan rangkaian sokongan.
Encik Koh pula memulakan Dignity Kitchen yang menyediakan pekerjaan kepada golongan berkeperluan khas.
Kesungguhan tiga individu ini menunjukkan sedang pemerintah boleh menyediakan rangka kerja dan sokongan, kekuatan sebenar sebuah negara terletak kepada kesediaan rakyatnya untuk ‘menyingsing lengan’, bekerjasama dan menyokong satu sama lain.
Dan penglibatan aktif rakyat, bekerjasama dengan pemerintah, amat diperlukan dalam dunia yang semakin tidak menentu.
Ketegangan geopolitik meletakkan tekanan kepada negara-negara seperti Singapura mengemudi landskap ini dengan berprinsip, namun penuh hati-hati.
Perang dagang dan peraturan dunia baru juga memerlukan Singapura berdaya tangkas menyesuaikan diri kepada sekitaran ekonomi baru dan membina serta meluaskan hubungan ekonomi yang lebih pelbagai.
Perkembangan teknologi dan kecerdasan buatan (AI) menuntut pekerja kita untuk bersikap berani meneroka bidang baru dan mendakap sepenuhnya prinsip pembelajaran sepanjang hayat.
Dari sudut sosial pula, dunia yang semakin terhubung mendedahkan penduduk kita kepada pelbagai pengaruh dan pergolakan luar.
Justeru, Singapura harus sentiasa berjaga-jaga, memperkukuh persefahaman dan kepercayaan dalam kalangan warga dan penduduk berbeza bangsa dan agama.
Cabaran di hadapan kita adalah besar.
Banyak perkara yang di luar kawalan Singapura, sebagai sebuah negara kecil dan terbuka.
Namun, ini tidak bermakna kita tidak mampu menentukan masa depan kita bersama.
Seperti enam dekad lalu apabila negara ini mencapai kemerdekaan secara tidak dirancang, rakyat telah bersatu padu untuk mencipta satu masa depan yang gemilang.
Lantaran itulah, hari ini, ‘Semangat Singapura’ bukan hanya perlu, tetapi genting dalam kita mengorak langkah ke hadapan, menyemarak semangat Singapura dalam membuka lembaran baru pembangunan negara.
“
“Kita perlu memperkukuh daya fikir “Kita Dahulu” bukan “Saya Dahulu”. Ini memerlukan setiap individu untuk memiliki sikap sedia menyumbang, berkorban dan mengambil berat antara satu sama lain. Dan negara kita tidak ketandusan orang-orang sedemikian. Sikap ini dicerminkan Cik Siti Adriana Muhamad Rasip, Encik Yasser Amin dan Encik Koh Seng Choon; tiga individu yang disebut Encik Wong dalam ucapan Rapat Hari Kebangsaan (NDR) 2025 pada 17 Ogos. Tiga individu ini melihat keperluan dalam masyarakat dan mengambil langkah ke hadapan dengan berusaha mengisi keperluan tersebut. Usaha yang mereka pelopori atau lakukan - mencerminkan bagaimana ‘Semangat Singapura’ itu mekar hingga ke hari ini. Ini bukan inisiatif besar yang diterajui pemerintah tetapi usaha dari masyarakat yang didorong oleh individu yang melihat keperluan dan melangkah ke hadapan.”Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg