Masyarakat
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

PM Wong sumbang gitar bagi sokong program amal bantu belia belajar muzik

Apr 8, 2025 | 7:28 PM
Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, telah menyumbangkan sebuah gitar yang ditandatangani beliau sebagai sokongan kepada Gift A Guitar, yang bakal dibuka untuk lelong pada Ogos 2025.
Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, telah menyumbangkan sebuah gitar yang ditandatangani beliau sebagai sokongan kepada Gift A Guitar, yang bakal dibuka untuk lelong pada Ogos 2025. - Foto ST

Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, telah mendermakan sebuah gitar yang ditandatangani beliau sebagai sebahagian inisiatif amal yang bakal membantu sekitar 600 belia.

Dinamakan Gift A Guitar, ia merupakan satu inisiatif baru yang bertujuan menyediakan gitar dan pelajaran muzik kepada belia berumur antara 13 dengan 19 tahun yang kurang berkemampuan.

Permohonan boleh dibuat pada Julai 2025.

Gift A Guitar dilancarkan pertubuhan amal tempatan, The Music Society Singapore (SGMUSO), dengan kerjasama badan seni dan budaya tidak mengaut untung seni, The Rice Company Limited, sempena sambutan ulang tahun ke-60 Singapura (SG60).

Program ini bertujuan memperkasa bakat anak muda tempatan dalam bidang muzik serta memberi mereka alat dan sumber yang diperlukan untuk mengejar aspirasi mereka.

Bagi mengumpul dana bagi inisiatif ini, sebanyak 60 gitar – yang disumbangkan oleh tokoh terkenal termasuk artis tempatan, serantau serta penaja korporat – akan dilelong dalam talian pada Ogos ini (2025).

Gitar yang ditandatangani Encik Wong termasuk dalam koleksi yang bakal dilelong dan terbuka untuk bidaan dari seluruh dunia.

Encik Wong juga dikenali sebagai seorang peminat muzik yang telah bermain gitar selama lebih 40 tahun.

Beliau mula menanam minat terhadap hobi ini sejak kecil, selepas menerima hadiah sebuah gitar daripada bapanya.

Dalam pada itu, Pengerusi SGMUSO serta pengasas syarikat makanan, minuman serta acara muzik tempatan, Timbre Group, Encik Danny Loong, turut dihadiahkan sebuah gitar daripada bapanya ketika beliau berusia 16 tahun.

Menjelaskan sebab beliau memulakan inisiatif amal, Gift A Guitar, beliau berkata dalam satu kenyataan:

“Gitar tersebut telah mencetuskan minat saya terhadap muzik, dan saya tidak kesal meneruskan bakat tersebut.

“Saya menghabiskan banyak masa bermain muzik bersama rakan-rakan di gereja, bawah blok HDB, dan di pantai East Coast, di mana muzik menjadi cara untuk berhubung dan meluahkan rasa.

“Pengalaman awal ini memberi inspirasi kepada saya untuk memulakan Gift A Guitar supaya ia dapat memberi peluang yang sama kepada belia lain untuk menemui muzik dan mencorak suara mereka sendiri,” kata Encik Loong.

Sebelum acara lelongan, gitar-gitar tersebut akan dipamerkan kepada orang ramai.

Butiran mengenai tempat dan tarikh pameran tersebut masih belum diumumkan.

Pertubuhan dan individu yang berminat menyumbangkan gitar bagi lelongan atau membuat sumbangan wang tunai untuk inisiatif ini boleh menghubungi danny.loong@timbregroup.asia dan peishan_lim@trcl.sg bagi maklumat lanjut.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg