Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

PM Wong: S’pura kecewa dengan langkah tarif AS

Ia bukan tindakan yang dilakukan kepada seorang rakan; S’pura punyai defisit perdagangan dengan Amerika
Apr 8, 2025 | 6:35 PM
Perdana Menteri Lawrence Wong (berdiri) yang berucap di Parlimen berkata langkah Amerika Syarikat mengenakan tarif terhadap Singapura adalah langkah yang mengecewakan dan bukanlah tindakan yang dilakukan kepada seorang rakan.
Perdana Menteri Lawrence Wong (berdiri) yang berucap di Parlimen berkata langkah Amerika Syarikat mengenakan tarif terhadap Singapura adalah langkah yang mengecewakan dan bukanlah tindakan yang dilakukan kepada seorang rakan. - Foto MDDI

Langkah Amerika Syarikat mengenakan tarif kepada Singapura bukanlah satu langkah reformasi, malah ia menolak sistem perdagangan yang telah dibinanya sendiri, dan ini “bukanlah tindakan yang dilakukan kepada seorang rakan”, kata Perdana Menteri Encik Lawrence Wong.

Bercakap di Parlimen pada 8 April, Encik Wong berkata Singapura kecewa dengan langkah Amerika mengenakan tarif meskipun kededua negara mempunyai persahabatan yang mendalam dan lama, dan walaupun Singapura mempunyai defisit perdagangan dengan negara tersebut.

“Kita mempunyai FTA (perjanjian perdagangan bebas) dengan Amerika. Kita tidak mengenakan tarif ke atas import Amerika, dan kita sebenarnya mengalami defisit perdagangan dengan Amerika, bermakna kita membeli lebih banyak daripada mereka berbanding apa yang dibeli mereka daripada kita.

“Jika tarif itu benar-benar langkah timbal balik dan jika ia bertujuan menyasarkan hanya mereka yang mempunyai lebihan perdagangan, maka tarif untuk Singapura sepatutnya sifar. Tetapi kita masih dikenakan tarif 10 peratus,” kata Encik Wong.

Memberi kenyataan menteri sebagai respons kepada tarif yang dikenakan oleh Presiden Amerika Donald Trump, Encik Wong berkata pusingan kenaikan tarif oleh Amerika ini mungkin hanya permulaan kepada kenaikan akan datang.

Beliau menggariskan tiga implikasi – bagaimana tarif timbal balik adalah penolakan asas terhadap peraturan sistem Pertubuhan Dagangan Dunia (WTO), kemungkinan perang perdagangan global yang besar, dan peningkatan ‘saya didahulukan’, di mana setiap negara mementingkan dirinya sendiri.

Pada 2 April, Presiden Trump telah mengumumkan satu set tarif sejagat, termasuk tarif asas sebanyak 10 peratus ke atas Singapura. Langkah-langkah itu akan bermula pada 9 April.

Meskipun Amerika bertindak sedemikian, Encik Wong berkata Singapura memutuskan untuk tidak mengenakan tarif balas kerana tindakan itu hanya akan menyebabkan peningkatan kos bagi rakyat Singapura.

Beliau berkata tarif yang dikenakan oleh Amerika akan menjejas ekonomi, perniagaan dan pekerja Singapura.

“Negara-negara lain mungkin tidak dipandu oleh pertimbangan yang sama dan mungkin mempunyai persepsi dan pandangan yang berbeza. China telah pun mengenakan tarif balasan ke atas barangan Amerika. Negara lain, seperti Kesatuan Eropah, sedang mempertimbangkan langkah seterusnya

“Singapura mungkin atau tidak mungkin mengalami kemelesetan tahun ini, tetapi saya tidak ragu-ragu bahawa pertumbuhan kita akan terjejas dengan ketara,” tambahnya.

Beliau menambah walaupun Kementerian Perdagangan dan Perusahaan (MTI) pada asalnya mengunjurkan pertumbuhan Hasil Dalam Negeri Kasar (GDP) sebanyak 1 hingga 3 peratus pada 2025, MTI akan berkemungkinan menyemak semula unjuran pertumbuhan GDP.

Beliau berkata pertumbuhan yang lebih perlahan akan bermakna lebih sedikit peluang pekerjaan dan kenaikan gaji yang lebih kecil bagi pekerja.

Jika lebih banyak syarikat menghadapi kesukaran atau memindahkan operasi mereka kembali ke Amerika, Encik Wong berkata akan berlaku pemberhentian dan kehilangan pekerjaan yang lebih tinggi.

Namun, beliau memberi jaminan bahawa buat masa ini, langkah-langkah yang diumumkan dalam Belanjawan 2025 akan memberikan sokongan jangka pendek kepada sebarang tekanan.

“Kami mempunyai pakej langkah yang menyeluruh untuk isi rumah dan individu.

“Mereka akan menerima baucar CDC, baucar SG60 dan rebat U-Save untuk membantu kos sara hidup mereka, dan terdapat juga langkah yang disasarkan seperti peningkatan bantuan ComCare untuk golongan yang lebih terdedah,” kata Encik Wong.

Beliau menambah walaupun Belanjawan akan membantu Singapura dalam jangka pendek, pemerintah akan terus memantau perkembangan dengan teliti dan bersedia melakukan lebih banyak lagi, jika dan apabila perlu.

Beliau memberi jaminan pemerintah akan melakukan segala yang termampu untuk mengemudi Singapura melalui masa yang mencabar, dan memastikan tiada siapa yang tertinggal. Beliau berkata: “Jangan takut, kami akan tetap teguh dan bersatu.

“Titik merah kecil ini akan terus bersinar. Dalam dunia yang gelap dan bermasalah, Singapura akan mengekalkan pendirian kita sebagai mercu tanda kestabilan, tujuan dan harapan.”

“Kita mempunyai FTA (perjanjian perdagangan bebas) dengan Amerika. Kita tidak mengenakan tarif ke atas import Amerika, dan kita sebenarnya mengalami defisit perdagangan dengan Amerika, bermakna kita membeli lebih banyak daripada mereka berbanding apa yang dibeli mereka daripada kita. Jika tarif itu benar-benar langkah timbal balik dan jika ia bertujuan menyasarkan hanya mereka yang mempunyai lebihan perdagangan, maka tarif untuk Singapura sepatutnya sifar. Tetapi kita masih tertakluk kepada tarif 10 peratus.”
Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong.
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg