PPIS rai ‘Gong Xi Ramadan’, bangkit semangat pertingkat diri 140 penghuni rumah peralihan
PPIS rai ‘Gong Xi Ramadan’, bangkit semangat pertingkat diri 140 penghuni rumah peralihan
Lebih 140 penghuni Rumah Peralihan Rise Above telah dibantu melalui program penyepaduan semula, pekerjaan dan peningkatan kemahiran, dengan 70 peratus daripada mereka kini memperolehi lebih $2,000 sebulan pada 2025.
Perkembangan menggalakkan itu dikongsi oleh Anggota Parlimen (AP) GRC Jalan Besar, Dr Wan Rizal Wan Zakariah, yang hadir sebagai tetamu kehormat pada majlis gabungan perayaan Tahun Baru Cina, Lo Hei dan berbuka puasa Ramadan, Gong Xi Ramadan, anjuran PPIS di restoran Lagun Sari pada 22 Februari.
Sesi berbuka puasa disertakan dengan acara makan malam besar dan upacara Lo Hei bagi penghuni serta alumni Rumah Peralihan Rise Above yang hadir bersama keluarga mereka.
Dalam upacara Lo Hei yang bermaksud ‘melambung tinggi’ dalam bahasa Kantonis, bahan salad ikan mentah dilambung menggunakan penyepit sebagai lambang rezeki melimpah-ruah dalam budaya Cina.
Acara tersebut bukan sahaja meraikan pencapaian penghuni, malah menyatukan tradisi dan nilai bersama seperti kesabaran, ketabahan dan kesyukuran yang ditekankan oleh Presiden PPIS, Profesor Madya Dr Razwana Begum Abdul Rahim.
Beliau berkata: “Kedua-dua puasa dan perayaan Tahun Baru Cina ini membawa makna tersendiri.
“Ia mengajar kita mengawal diri, merenung kembali, serta memberi alasan untuk meraikan kehidupan dan menghargai mereka yang memerlukan sokongan tambahan.”
Dr Wan Rizal pula menambah: “Wanita yang membina semula kehidupan selepas menjalani hukuman menghadapi cabaran unik.
“Justeru, peranan PPIS sangat penting – menyediakan persekitaran selamat dalam menyokong pemulihan dan bertindak mengikut keperluan wanita ini dalam proses penyembuhan dan pembinaan semula diri.”
Rumah Peralihan Rise Above yang terletak di St George’s Lane berhampiran Jalan Besar menyediakan tempat tinggal sementara bagi wanita dalam program pemulihan.
PPIS turut menganjurkan Kempen Derma Rise Above pada Disember 2025 yang menyaksikan penghuni dan sukarelawan mengedarkan risalah serta menerima sumbangan barangan keperluan harian bernilai $13,000 daripada orang ramai.
Dengan Gaji Kelayakan Pekerja Tempatan dijangka meningkat pada 2026, pencapaian itu memberi petanda kestabilan ekonomi yang semakin kukuh bagi wanita yang membina semula kehidupan mereka, sambil menekankan betapa sokongan berterusan daripada masyarakat mampu menghasilkan kesan nyata dan bermakna, serta memperkukuh semangat perpaduan dalam masyarakat berbilang kaum.

