Topik diikuti
Pergi ke BHkuPresiden DPPMS: Usahawan Melayu harus jadi penyumbang utama ekon S’pura, usah jadi sekadar ‘perniagaan masyarakat’
Presiden DPPMS: Usahawan Melayu harus jadi penyumbang utama ekon S’pura, usah jadi sekadar ‘perniagaan masyarakat’
Sempena ulang tahun ke-70 Dewan Perniagaan dan Perusahaan Melayu Singapura (DPPMS) pada 2026, Berita Harian (BH) mengadakan wawancara khas bersama presidennya, Encik Abdul Malik Hassan. Beliau berkongsi tentang usaha DPPMS dalam membantu perniagaan Melayu sepanjang tujuh dekad lalu, keprihatinan dan cabaran yang perlu ditempuhi di tengah-tengah landskap yang semakin berubah dan gangguan kecerdasan buatan (AI), serta peluang masa depan. Berikut laporannya.
Presiden DPPMS: Usahawan Melayu harus jadi penyumbang utama ekon S’pura, usah jadi sekadar ‘perniagaan masyarakat’
Tatkala Dewan Perniagaan dan Perusahaan Melayu Singapura (DPPMS) diasaskan tujuh dekad lalu pada 1956, perjuangan bagi perniagaan Melayu tertumpu kepada usaha untuk bertapak dan mendapatkan peluang – untuk diterima, diberi kepercayaan, mendapatkan modal bagi memulakan perniagaan dan bertahan.
Dekad demi dekad, perusahaan milik orang Melayu lebih dikenali dengan label ‘perniagaan masyarakat’ – kebanyakannya tertumpu dalam sektor runcit serta makanan dan minuman (F&B), kraf warisan dan perkhidmatan khusus bagi masyarakat.
Hari ini, asas perniagaan Melayu jauh lebih kukuh, bahkan ada yang menembusi sektor pertumbuhan tinggi seperti teknologi, konsultasi, perkilangan dan perdagangan rentas sempadan.
Namun begitu, banyak perniagaan Melayu masih lagi bergelut dengan cabaran sama yang dialami generasi terdahulu tujuh dekad yang lalu, kata Presiden DPPMS, Encik Abdul Malik Hassan.
Dalam satu wawancara khas sempena ulang tahun ke-70 DPPMS bersama Berita Harian (BH), Encik Abdul Malik, menegaskan satu perkara secara nyata: keadaan mesti diubah.
“Hakikatnya, kita masih perlu mengejar kemajuan – khususnya dari segi perluasan perniagaan, akses kepada modal dan penggunaan teknologi.
“Jurangnya masih nyata,” kata beliau.
“Kita perlu memastikan perniagaan Melayu diiktiraf sepenuhnya sebagai penyumbang yang setara kepada ekonomi Singapura, bukan sekadar dilihat sebagai ‘perniagaan masyarakat’.”
SUDAH LANGKAH JAUH TAPI CABARAN LAMA MASIH WUJUD
Meniti perjalanan DPPMS sepanjang tujuh dekad yang lalu, Encik Abdul Malik berkata 70 tahun bukan sekadar satu angka, tetapi “melambangkan keyakinan, daya ketahanan dan kesinambungan”.
“Ketika ada yang mungkin meragui kemampuan kita, para pelopor kita telah membina wadah ini supaya kita mempunyai tempat untuk berdiri teguh, menimba ilmu, berniaga dan saling membantu untuk maju bersama.
“Bagi masyarakat perniagaan Melayu, DPPMS bukan sekadar sebuah dewan perniagaan – ia adalah tunggak kita,” kata beliau.
Daripada membantu membuka akses kepada modal, rangkaian dan ilmu sehinggalah menyediakan bimbingan, geran, latihan, mengadakan misi perniagaan dan kerjasama di Singapura serta Malaysia, DPPMS – yang kini mempunyai sekitar 338 anggota aktif – membina sebuah masyarakat merangkumi peniaga kecil hingga syarikat yang lebih mapan, supaya tiada siapa perlu bergerak sendirian untuk berkembang maju.
Ini di samping memperjuangkan usaha memelihara perusahaan warisan, baik dalam bidang F&B mahupun kraf tangan dan perdagangan, supaya budaya Melayu terus hidup dan berkembang melalui perniagaan.
Namun, di sebalik pencapaian tersebut, wujud satu penilaian jujur mengenai keadaan semasa.
Secara umumnya, perniagaan Melayu telah melangkah jauh, kata Encik Abdul Malik, yang juga pemilik rangkaian F&B, Selera Rasa Nasi Lemak dan Crave.
Ramai peniaga lebih berani berbanding dahulu, terutamanya dalam kalangan usahawan muda yang tidak takut memulakan perniagaan rangkaian F&B, produk mampan, jenama mewah, memasuki bidang teknologi dan perdagangan peringkat serantau.
Sebagai contoh, Encik Abdul Malik berkata beberapa anggota DPPMS kini sedang mengembangkan perniagaan mereka ke seberang Tambak, membangunkan platform digital dan membina jenama warisan yang sedia dieksport ke luar negara.
Namun, beliau menekankan bahawa lebih banyak perlu diusahakan – kerana “keberanian untuk berkembang boleh membuka lebih banyak peluang untuk membina kekayaan, dan ini membantu mengangkat kemajuan dan martabat masyarakat”.
Hakikatnya, banyak perniagaan masih berskala kecil dan dikendalikan keluarga, kata Encik Abdul Malik.
Sementara itu, tahap produktiviti serta penggunaan teknologi digital masih ketinggalan berbanding industri secara keseluruhan, tambahnya.
“Perniagaan lebih kecil sering menghadapi kesukaran mendapatkan pembiayaan untuk menaik taraf atau mengembangkan operasi.
“Dari segi kesediaan digital dan AI pula, ramai yang masih tidak pasti bagaimana hendak bermula, atau merasakan kos peralihan itu terlalu tinggi,” ujar beliau.
Keengganan sesetengah perniagaan untuk keluar dari ‘zon keselesaan’ serta kekurangan hubungan dengan syarikat besar dan rantaian bekalan korporat serta pemerintah menjadikan ia lebih sukar bagi perniagaan lebih kecil berkembang maju.
Bahkan, banyak pemilik perniagaan sekadar berpuas hati dengan tahap ‘cukup baik’ dan bukannya menyasarkan pencapaian yang lebih tinggi.
Terdapat juga cabaran jurang pemikiran antara generasi, kata Encik Abdul Malik, sambil berkata bahawa perniagaan bukan sekadar diwariskan kepada generasi seterusnya, tetapi juga perlu ada semangat dan keinginan untuk terus memgembangkannya.
“Kita memang berdaya tahan – tetapi daya tahan sahaja tidak mencukupi.
“Kita perlu berkembang pada skala yang lebih besar, menjadi lebih cekap dan lebih berani merebut peluang,” tegas beliau.
PERKEMBANGAN AI, PASARAN SERANTAU
Kini, DPPMS sedang mendorong anggotanya ke arah dua sempadan transformatif – penggunaan teknologi dan pengembangan serantau.
Dengan perkembangan pesat AI, dewan perniagaan itu sudah bertindak pantas membantu usahawan tempatan menyesuaikan diri.
Ini termasuk dengan mengadakan bengkel AI yang memberi tumpuan kepada penggunaan alat yang praktikal demi urusan perniagaan harian dan bukannya sekadar teori.
Antara lain, dewan tersebut menyediakan bimbingan digital dengan menghubungkan golongan muda yang celik teknologi dengan perniagaan yang lebih mapan.
Ia turut membina sebuah ekosistem sokongan di mana setiap perniagaan mempunyai akses kepada bantuan dan tidak perlu menghadapi perubahan teknologi itu secara bersendirian.
Dalam usaha membantu anggota mereka mendapatkan akses kepada alat digital pada kos yang lebih berpatutan, DPPMS melakukan pembelian secara berkumpulan.
Pada masa yang sama, Encik Abdul Malik menggesa usahawan setempat agar berpandangan luas - melampaui sempadan Singapura.
Dalam pasaran domestik yang kecil dan padat, beliau berkata pertumbuhan pesat memerlukan langkah merentasi seberang Tambak dan melangkah ke pasaran Asean yang lebih luas.
Tumpuan dewan perniagaan itu terletak pada pasaran Malaysia dan Indonesia, dengan hasrat membina satu ‘koridor perniagaan Melayu’.
Di Malaysia, misalnya, Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) menawarkan peluang besar untuk pengembangan perniagaan, kerjasama rentas sempadan dan akses kepada pasaran lebih luas.
Peniaga juga boleh merebut peluang di Indonesia – rumah kepada bilangan penduduk terbesar di Asean dengan sekitar 290 juta orang – yang mempunyai jumlah pengguna yang besar serta golongan kelas pertengahan yang semakin berkembang.
“Kita memahami bahasa, budaya dan cara menjalankan perniagaan di rantau ini, serta mempunyai hubungan dan kepercayaan dengan kedua-dua pihak.
“Kita boleh menjadi jambatan – menghubungkan piawaian, sistem dan modal dari Singapura dengan sumber, pasaran dan potensi yang ada di rantau ini.
“DPPMS akan terus memainkan peranan dalam usaha ini dengan memperkukuh hubungan perniagaan serantau dan membina satu koridor perniagaan Melayu yang dapat memberi manfaat kepada Singapura, Malaysia dan Indonesia,” kata beliau.
Sejak beberapa tahun lalu, DPPMS telah menganjurkan misi perniagaan, pemeteraian Memorandum Persefahaman (MOU), serta sesi rangkaian dengan dewan-dewan perniagaan di Johor, Kuala Lumpur dan Jakarta.
Ini selain membantu anggotanya mengenal pasti rakan perniagaan yang sesuai, memahami keperluan peraturan dan membina hubungan yang kukuh.
Saban tahun, ramai usahawan Melayu juga kini melihat Asean sebagai medan pertumbuhan seterusnya – bukan sekadar sebagai satu impian, tetapi satu langkah yang semakin penting untuk perkembangan perniagaan, tambah Encik Abdul Malik.
“DPPMS akan terus mewujudkan lawatan pasaran secara berkala, hab perdagangan bersama dan rangkaian rakan strategik bagi memudahkan perniagaan meneroka pasaran baharu dengan lebih yakin dan teratur,” kata beliau.
LEMBARAN SETERUSNYA BAGI PERNIAGAAN MELAYU
Anjakan momentum dalam kisah perniagaan Melayu yang seterusnya sudah mula dinyalakan oleh generasi usahawan baharu, yang kini berani tampil dalam arena perniagaan dengan cita-cita tinggi, kata Encik Abdul Malik.
Bagi menyokong perkembangan ini, DPPMS akan menumpukan strategi lima hingga 10 tahun seterusnya ke arah membina rangkaian bakat belia yang lebih kukuh, memastikan setiap anggotanya yakin menggunakan teknologi untuk kekal berdaya saing dan membantu lebih banyak perniagaan berkembang ke peringkat serantau.
Ia juga akan memastikan perniagaan kendalian keluarga terus berkembang seiring dengan kemunculan usaha niaga baru, selain memupuk pertumbuhan secara kolaboratif – sekali gus memastikan perniagaan bukan sekadar bersaing sesama sendiri, tetapi saling menyokong dan maju bersama.
Melangkah satu dekad dari sekarang, Encik Abdul Malik berharap masyarakat perniagaan Melayu di Singapura bukan sahaja menjadi perintis utama dalam pelbagai industri, malah mengilhamkan generasi muda untuk menceburi bidang keusahawanan.
“Kejayaan bagi saya adalah apabila…kita dikenali kerana inovasi dan kepimpinan, bukan hanya kerana sumbangan kepada masyarakat; dan kita mampu memberi kembali lebih banyak daripada apa yang kita terima – mewujudkan satu kitaran kemurahan hati, sokongan dan kemajuan.
“Dan apabila kita menyebut ‘perniagaan Melayu’, ia membawa satu makna yang jelas – iaitu kecemerlangan,” kata beliau.