Pilihan Raya Umum 2025 (GE2025), yang diadakan pada tahun ke-60 kemerdekaan Singapura, adalah satu “detik penting bagi generasi”, yang memberikan Singapura sebuah pemerintah yang kuat dan berkebolehan, kata Presiden Tharman Shanmugaratnam.
Dalam ucapannya pada Upacara Angkat Sumpah Kabinet di Istana pada 23 Mei, Tuan Presiden berkata rakyat telah memilih pasukan terkuat untuk mentadbir Singapura, walaupun mereka memilih untuk mengekalkan suara alternatif di Parlimen.
Beliau menambah keputusan pilihan raya itu adalah undi kepercayaan dan keyakinan yang kuat buat Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong.
Justeru, Encik Wong dan pasukannya kini mesti terus mendengar, berunding secara meluas dan bekerjasama dengan rakyat Singapura dari semua lapisan masyarakat bagi menangani isu yang dihadapi Singapura hari ini dan cabaran jangka panjang untuk mencipta harapan dan peluang untuk setiap generasi.
“Dalam pilihan raya ini, rakyat Singapura memilih bukan sahaja wakil mereka di Parlimen atau anggota Majlis Bandaran yang akan menjaga kawasan kejiranan mereka, tetapi juga kepimpinan politik yang akan menulis bab seterusnya Kisah Singapura bersama mereka.
“Saya berbesar hati, melalui semua itu, proses demokrasi kita kekal sopan dan hormat... Rakyat Singapura menunjukkan walaupun kita mungkin mempunyai pandangan yang berbeza, kita semua adalah rakyat yang mahukan yang terbaik untuk negara kita,” kata Tuan Presiden.
Dalam ucapannya juga, beliau memuji rakyat Singapura kerana berdiri teguh menegakkan autonomi, berbilang kaum, dan perpaduan sambil menentang campur tangan asing dalam hal ehwal dalam negeri Singapura, dan sebarang usaha untuk mempolitikkan kaum dan agama.
Tuan Presiden turut memuji semua parti politik dan calon yang telah melangkah ke hadapan untuk berkhidmat - memberikan masa, tenaga, dan idea mereka; dan berani membuka diri mereka kepada penelitian awam.
“Akhirnya, Singapura dan rakyat Singapura adalah pemenang dalam pilihan raya ini. Bersama-sama, kita telah menetapkan haluan untuk fasa pembinaan negara kita yang seterusnya.
“Kita juga telah menghantar isyarat kuat kepada dunia, tentang perpaduan dan keazaman kolektif kita dalam membentuk masa depan kita sendiri,” kata Tuan Presiden.
Semasa ucapannya, Tuan Presiden juga membincangkan cabaran masa hadapan, yang ditakrifkan oleh ketidakpastian global, ketegangan geopolitik, dan peralihan demografi domestik.
Ini termasuk persaingan antara kuasa besar yang semakin mendalam, pemecahan ekonomi global, dan multilateralisme yang semakin terhakis, ditambah pula dengan pendekatan perdagangan dan diplomasi yang lebih sempit dan, lebih nasionalistik.
Berbanding dengan kebanyakan negara, negeri kecil seperti Singapura akan merasakan bebanan arus rentas geopolitik ini, dan beliau menekankan keperluan mendesak untuk berpandangan jauh dan bersatu.
“Ini bukan sekadar cabaran untuk pemerintah. Ia adalah cabaran untuk kita semua sebagai rakyat Singapura. Harapan terbaik kita untuk mengatasinya terletak pada kesatuan dan perpaduan.
“Kita mesti terus berdiri bersama, tanpa mengira kaum atau agama, supaya kepelbagaian kita terus menjadi kekuatan kita, bukan kelemahan,” kata Tuan Presiden.
Tuan Presiden juga menyeru semua Anggota Parlimen (AP) untuk menegakkan kepercayaan awam dengan integriti dan sentiasa berdebat “dengan penuh keyakinan, tetapi sentiasa dengan rasa hormat.”
Lebih dari itu, beliau mengingatkan semua AP, sama ada dari kalangan pemerintah atau pembangkang, bahawa setiap AP mempunyai matlamat yang sama - untuk membina masa depan yang bermakna dan bersatu untuk rakyat Singapura.
Mengakhiri ucapannya, Tuan Presiden menyatakan keyakinan yang kuat terhadap PM Wong dan Kabinetnya, yang disifatkannya sebagai “keseimbangan yang baik antara pemimpin berpengalaman dan anggota baru.”
Beliau memuji prestasi pemerintah melalui krisis lalu dan menggesa mereka untuk terus membina kepercayaan dan perkongsian merentasi semua sektor masyarakat. Bercakap terus kepada PM Wong, Tuan Presiden berkata:
“Rakyat Singapura telah meletakkan kepercayaan mereka kepada anda dan pasukan anda. Saya mendoakan yang terbaik untuk anda dan pemerintah anda sambil anda bekerjasama dengan rakyat Singapura untuk membawa negara kita ke hadapan dalam masa bergolak ini.”
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg