Dikenali dengan pemikirannya yang luas di dalam dan luar rantau, mantan Mufti, Allahyarham Ustaz Syed Isa Semait, telah memberikan sumbangan dengan cara yang amat penting kepada pembangunan Singapura, kata Presiden Tharman Shanmugaratnam.
Allahyarham bukan sahaja dihormati kerana bimbingannya yang tenang terhadap masyarakat Islam, bahkan gigih berusaha menggalak persefahaman antara agama, sepanjang hampir empat dekad sebagai Mufti, kata Tuan Presiden.
Menerusi hantaran di Facebook pada 8 Julai bagi memberi penghormatan atas pemergian tokoh ulama terbilang dan pemimpin agama yang dihormati itu, Tuan Presiden berkata:
“Warisan beliau akan terus hidup untuk kita semua, rakyat daripada semua agama dan kaum, dalam Singapura yang harmoni secara sosial.”
Allahyarham Ustaz Syed Isa meninggal dunia pada 7 Julai di usia 87 tahun, meninggalkan legasi besar dalam pembangunan keagamaan dan sosial masyarakat.
Beliau menjadi Mufti pada 1972 ketika berusia 33 tahun dan menggalas peranan itu sehingga 2010 – menjadikannya Mufti paling lama berkhidmat di Singapura.
Allahyarham meninggalkan seorang balu, empat anak perempuan dan 13 cucu.
Berita Harian (BH) sebelum ini melaporkan bahawa menantu Allahyarham, Ustaz Syed Mustafa Alsagoff, 50 tahun, menyatakan bapa mentuanya itu meninggal dunia di rumah akibat sakit tua.
Menurut Tuan Presiden, keluasan pemikiran Allahyarham adalah kerana ilmunya dan mungkin juga tahun-tahun awal beliau dewasa.
Membesar di rumah anak yatim, Allahyarham melanjutkan pengajian di Universiti Al-Azhar di Kahirah, Mesir.
Semasa menuntut di sana, beliau menambah ilmunya itu dengan bekerja sebagai jurutaip, penterjemah, penjual buku, pendaftar perkahwinan, bahkan sebagai pengimpal, tulis Tuan Presiden.
Allahyarham juga pernah bekerja di Eropah semasa musim cuti dan tinggal di dormitori.
“Semuanya (pengalaman yang dilalui) memberikan pendedahan kepada orang yang berbeza latar belakang,” kata Tuan Presiden.
Sebagai Mufti dan Pengerusi Jawatankuasa Fatwa, Allahyarham telah memainkan peranan penting dalam mengeluarkan beberapa fatwa penting yang memberi konteks pada prinsip Islam untuk masyarakat moden dan berbilang agama, tambah Tuan Presiden.
Ini termasuk membolehkan masyarakat Islam Singapura mendermakan organ mereka.
Bersama dengan pemimpin Islam lain, Tuan Presiden berkata Allahyarham Ustaz Syed Isa bekerjasama dengan pemerintah untuk merancang pembinaan sebuah masjid di setiap estet perumahan baru.
Beliau turut berusaha membangunkan dan mempertingkat profesionalisme golongan asatizah.
Di samping itu, beliau setia berkhidmat dalam kedua-dua Majlis Presiden bagi Keharmonian Agama dan Majlis Presiden bagi Hak Kaum Minoriti.
“Kerendahan hati dan kebijaksanaan Shaikh Syed Isa sebagai pemimpin akan kekal bersama kita,” kata Tuan Presiden.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg