Setiap kali menjelang Tahun Baru Islam, umat Islam diingatkan akan kemuliaan Muharam – bulan pertama dalam takwim Hijrah yang sarat dengan sejarah dan pengajaran.
Ketibaan Muharam sering menjadi detik bermakna untuk kita bermuhasabah, memperbaharui azam dan menelusuri makna sebenar hijrah dalam kehidupan.
Dalam menelusuri semangat hijrah, salah satu langkah penting yang diambil Rasulullah saw ialah pembinaan masjid pertama, Masjid Quba, semasa perjalanan hijrah dan disusuli dengan pembangunan masjid kedua, Masjid Nabawi, sebagai pusat ibadah dan penyatuan umat di Madinah.
Langkah strategik itu mencerminkan visi kepimpinan Rasulullah saw dalam meletakkan masjid sebagai asas pembinaan masyarakat Islam yang kukuh – bukan sahaja daripada aspek fizikal, malah, daripada sudut rohani, sosial dan kebersamaan ummah.
Mesej hijrah itu turut dikongsi dalam majlis, Fi Rihabi Rahmah (Dalam Tautan Rahmah), anjuran Masjid An-Nur dan Pejabat Mufti (OOM) sempena Awal Muharam 1447 Hijrah baru-baru ini.
Ia turut dihadiri oleh Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim; Mufti Dr Nazirudin Mohd Nasir, asatizah mapan dan lebih 600 anggota jemaah.
Dalam perkongsian khasnya, Dr Nazirudin mengingatkan umat Islam tentang makna hijrah dalam dunia penuh ujian – menyemai rahmah dalam perhubungan, membina keampunan dan menanam nilai kasih sayang serta perpaduan dalam masyarakat.
Beliau menekankan bahawa hijrah adalah proses memperbaiki diri sesama masyarakat, dalam berusaha mengatasi godaan hawa nafsu serta ujian dunia.
Dr Nazirudin turut menyentuh empat fasa peristiwa hijrah Rasulullah saw yang menonjolkan nilai keadilan, ketenteraman, kasih sayang dan pemaafan – ciri yang patut diteladani dalam membina masyarakat berasaskan rahmah.
Di peringkat sejagat, khususnya di Singapura, masjid kekal memainkan peranan besar dalam mengembangkan peranannya sepertimana yang diajarkan Rasulullah saw.
Masjid berperanan menyantuni masyarakat daripada pelbagai latar belakang dan keperluan, sambil kekal sebagai pusat ibadah yang relevan dan berfungsi dalam kehidupan umat sejagat.
Berlandaskan visi bersatu, terhubung dan berkesan di bawah Sektor Satu Masjid (OMS) yang diperkenalkan Majlis Ugama Islam Singapura (Muis), sektor masjid turut memberi tumpuan pada tiga teras strategik untuk membina masyarakat Islam yang yakin, berdaya tahan dan diperkasa.
Kepimpinan Masjid An-Nur turut menyokong dan seiring dengan usaha dakwah Muis dan OMS dalam merealisasikan matlamat #MASJIDKita, yang berteraskan semangat kesepaduan antara sektor masjid.
Teras utama nilai OMS berpaksikan pada akronim ‘Kita’ – iaitu Khidmah (Bakti), Itqan (Cemerlang), Ta’awun (Kerjasama) dan Amanah (Tanggungjawab).
Masjid An-Nur, yang merupakan masjid terawal dibina dalam kawasan Marsiling dan Woodlands, tidak terkecuali dalam memainkan peranan aktif dalam ketiga-tiga teras tersebut.
Dengan ketibaan Tahun Baru 1447, Masjid An-Nur turut mengorak langkah mengimbas semula peranan dan khidmatnya selama lebih 45 tahun.
Masjid An-Nur merupakan antara masjid di Singapura yang teguh dengan iltizamnya dalam menyantuni masyarakat menerusi pelbagai inisiatif pendidikan, sokongan kekeluargaan dan pemerkasaan sosial.
Sepanjang tahun, pelbagai program dianjurkan demi membentuk masyarakat yang bukan sahaja celik agama, bahkan juga memiliki jati diri yang kukuh dan nilai keinsanan serta akhlak yang tinggi.
Dalam Islam, ilmu dan amal menjadi tonggak utama pembinaan diri dan masyarakat.
Rasulullah saw mengingatkan bahawa menuntut ilmu menjadi kewajipan bagi setiap Muslim, kerana dengan ilmu terbentuklah keyakinan dan kefahaman agama yang benar.
Begitu juga matlamat Masjid An-Nur, yang beriltizam mendidik dan membentuk masyarakat celik agama dan berkeyakinan.
Melalui program seperti Iqta (Ilmu Al-Quran dan Tajwid), kelas Fardu Ain, tadarus Al-Quran, program aLIVE dan lain-lain, kanak-kanak, belia, dewasa dan warga emas berpeluang meningkatkan ilmu dan kemahiran mereka.
Golongan berkeperluan seperti penerima zakat turut diberi sokongan agar kewangan tidak menjadi halangan dalam membina keyakinan rohani dan keperibadian diri.
Keluarga adalah unit asas dalam pembinaan masyarakat Islam.
Nasihat dan sokongan awal dalam perkahwinan, keibubapaan serta penjagaan kesihatan mental penting bagi memastikan keluarga mampu menghadapi cabaran dunia moden.
Pelbagai program konsultasi, ceramah dan bengkel yang dianjurkan oleh pihak masjid dan agensi agama bertujuan membantu masyarakat memperkukuh institusi kekeluargaan.
Sebagai contoh, Masjid An-Nur berperanan sebagai pusat sumber Projek Arif – hasil kerjasama antara Yayasan Temasek, Hospital Wanita dan Kanak-Kanak KK (KKH), Muis dan AMP Singapura – yang menyediakan khidmat konsultasi awal perkahwinan, keibubapaan, dan sokongan kesihatan mental kepada masyarakat.
Selain itu, masjid turut mengadakan program Bersamamu, inisiatif Pejabat Pendaftar Pernikahan Orang Islam (ROMM) di bawah rangka kerja M Kuasa Tiga (M³), yang menawarkan sokongan berterusan melalui naib kadi berpengalaman.
Pelbagai ceramah dan bengkel berkaitan keluarga turut dianjurkan secara berkala, melibatkan pakar kaunseling dan doktor untuk memenuhi keperluan masyarakat.
Di samping itu, Majlis Hari Usrah Saeedah (Hari Keluarga Bahagia) menjadi ruang istimewa yang menghimpunkan keluarga daripada pelbagai latar belakang melalui kegiatan khatam Al-Quran, bengkel ilmu dan perkongsian bersama asatizah.
Kesemua program itu mencerminkan iltizam Masjid An-Nur dalam memperkukuh institusi kekeluargaan serta membina masyarakat Islam yang yakin dan berdaya tahan.
Masjid An-Nur melaksanakan pelbagai program yang menyentuh seluruh lapisan masyarakat, khususnya golongan warga emas dan mereka yang memerlukan perhatian khusus.
Program seperti Keluarga Syifa’ (PKS) bukan sekadar memberi sokongan dari segi kesihatan fizikal, mental dan sosial, bahkan juga mengingatkan kita tentang amanah menjaga sesama insan sebagai sebahagian daripada ibadah.
Usaha menjalin kerjasama dengan pelbagai pihak, termasuk dalam menyebarkan ilmu tentang kesihatan, keselamatan dan kemahiran digital, mencerminkan pentingnya membina masyarakat yang seimbang, baik daripada aspek rohani mahupun duniawi.
Dalam setiap langkah ini, terbitlah semangat untuk menghidupkan nilai-nilai Islam dalam masyarakat, menguatkan ikatan ukhuwah dan membina keluarga yang tabah serta masyarakat yang harmoni.
Sebagaimana hijrah Rasulullah saw membawa perubahan besar berasaskan hikmah dan rahmah, begitu juga setiap usaha di masjid adalah manifestasi komitmen membina ummah yang bersatu dan berilmu.
Pada tahun baru 1447 yang penuh barakah ini, ayuh kita terus memperbaharui azam untuk berhijrah ke arah yang lebih baik – dalam diri, keluarga dan masyarakat.
Semoga Allah swt mengurniakan kekuatan untuk menegakkan nilai kasih sayang, keadilan, dan perpaduan demi kesejahteraan bersama di dunia dan akhirat.
Penulis ialah Pegawai Pembangunan Sosial Jabatan Kekeluargaan dan Penglibatan Masyarakat Masjid An-Nur. Beliau memiliki ijazah sarjana muda dalam bidang Usuluddin daripada Universiti Jordan.
“
“Di peringkat sejagat, khususnya di Singapura, masjid kekal memainkan peranan besar dalam mengembangkan peranannya sepertimana yang diajarkan Rasulullah saw. Masjid berperanan menyantuni masyarakat daripada pelbagai latar belakang dan keperluan, sambil kekal sebagai pusat ibadah yang relevan dan berfungsi dalam kehidupan umat sejagat.”Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg