Sekitar 260 keluarga berpendapatan rendah yang menyertai program KidSTART akan menerima bantuan untuk meringankan beban kewangan mereka dalam membeli barangan pembangunan kanak-kanak dan peralatan rumah tangga.
Di bawah program baru KidSTART Sparkle Homes, setiap keluarga akan menerima kredit sehingga $1,500 untuk membeli barangan rumah untuk kanak-kanak seperti meja belajar, ruang bermain, dan peti sejuk.
Keluarga tersebut harus menyertai program KidSTART sekurang-kurangnya lapan bulan dan mempunyai seorang anak yang berdaftar di Prasekolah Yayasan Masyarakat PAP (PCF) Sparkletots.
Kriteria tersebut memastikan bantuan diberikan kepada keluarga yang terlibat, komited, dan bersedia mengekalkan penambahbaikan yang dibuat melalui program ini.
Daya utama itu yang bertujuan mewujudkan persekitaran rumah lebih selamat dan sesuai bagi kanak-kanak belajar dan membesar dengan baik, dilancarkan bersama oleh KidSTART dan PCF di kedai Mothercare, Habourfront Centre, dan turut disertai lebih daripada 60 keluarga.
Bercakap semasa acara itu, Menteri Penerangan dan Pembangunan Digital merangkap Menteri Bertanggungjawab bagi Negara Bijak dan Keselamatan Siber, Cik Josephine Teo, berkata, program yang dijalankan PCF bukan sahaja untuk menyokong perkembangan kanak-kanak di sekolah, tetapi juga untuk membantu keluarga mereka.
Berbeza keadaan di sekolah di mana mereka boleh menjalankan program berkala untuk menaik taraf kemudahan, persekitaran di rumah merupakan sesuatu yang sukar untuk mereka kawal.
Maka, Sparkle Homes dihasilkan untuk mengatasi kesukaran tersebut, katanya yang juga merupakan Pengerusi Majlis Pengurusan PCF.
“Daripada kajian, kita tahu bahawa persekitaran kanak-kanak ketika membesar, sama ada di sekolah atau di rumah, memberi kesan yang besar.
“Lantas, daya utama Sparkle Homes direka untuk menyokong keluarga dalam membuat penambahbaikan di rumah mereka supaya persekitaran bagi kanak-kanak menjadi lebih baik.
“Ini agar setiap kanak-kanak di Singapura berpeluang membesar dalam rumah yang lebih selesa dan mendapat sokongan yang lebih baik, serta membolehkan mereka berkembang dengan optimum.”
Di bawah program KidSTART, pengamal organisasi tersebut akan melawat rumah keluarga untuk memeriksa pencapaian perkembangan kanak-kanak dari sebelum lahir hingga umur enam tahun, serta menilai kesihatan mental ibu.
Kerjasama KidSTART dengan PCF, yang dimeterai pada Julai 2025 melalui Memorandum Persefahaman (MOU), menyaksikan sehingga $412,000 akan diperuntukkan dan diberikan secara berperingkat selama tiga tahun, sehingga 2027 kepada 260 keluarga itu, dan bergantung kepada pencapaian hasil tertentu.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) KidSTART, Encik Joel Tan, kejayaan Sparkle Homes akan dinilai berdasarkan bilangan keluarga yang dibantu, jenis barangan diberikan serta maklum balas ibu bapa tentang bagaimana suasana rumah bertambah baik.
Antaranya, tahap tekanan yang berkurangan, rehat lebih baik, dan interaksi ibu bapa-anak yang lebih bermakna.
“Kejayaan bermakna kanak-kanak yang berkembang dengan baik dalam rumah yang penuh kestabilan dan penjagaan,” ujarnya.
Menurutnya, barangan yang dipilih bertujuan untuk meningkatkan keselamatan, keselesaan, dan persekitaran pembelajaran kanak-kanak. Pemilihan barangan juga berdasarkan maklum balas pengamal dan ibu bapa mengenai keperluan keluarga semasa lawatan ke rumah.
“Melalui lawatan ke rumah, pengamal KidSTART sering melihat bagaimana perkembangan kanak-kanak dibentuk oleh persekitaran mereka.
“Sesetengah keluarga mempunyai kekurangan perabot atau peralatan asas, yang boleh menjadikan rutin harian lebih sukar.
“Penambahbaikan kecil seperti meja belajar, kipas siling, atau peti sejuk, boleh membawa perubahan yang besar. Sparkle Homes lahir daripada mendengar keperluan keluarga-keluarga kami,” katanya.
Salah seorang penerima Sparkle Homes, Cik Dewiayuni Edi Rianto, bersyukur atas pemberian tersebut dan berkata ia dapat membantu anak-anaknya untuk lebih berdikari.
Ibu kepada tiga anak lelaki berusia dua, empat dan tujuh tahun itu memilih untuk menerima meja belajar, peti sejuk, dan almari untuk menyimpan baju anak-anaknya.
“Saya pilih tiga barangan ini untuk anak-anak saya... saya mahu mereka belajar berdikari, tahu di mana untuk meletak dan menyimpan barang.
“Mereka juga dapat sebuah meja untuk melukis. Ini semua agar mereka belajar disiplin dan lebih beradab,” ujar beliau kepada BH.
Setiap keluarga yang hadir menerima tambahan $300 untuk membeli keperluan pembangunan kanak-kanak, termasuk perabot nurseri, bahan pembelajaran, serta barangan keperluan rumah di kedai tersebut.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) PCF, Encik Victor Bay, menambah dengan adanya akses kepada sekitar 40,000 kanak-kanak yang bersekolah di PCF, mereka mengalu-alukan lebih banyak sokongan daripada rakan kongsi seperti KidSTART untuk membantu keluarga yang memerlukan.
“Sebuah meja yang teguh, katil yang selesa, atau peti sejuk yang berfungsi mungkin nampak ringan, tetapi bagi ibu bapa, itulah perkara yang memberikan ketenangan fikiran dan kebanggaan.
“Bagi kanak-kanak pula, ia mewujudkan ruang untuk belajar, bermain, dan bercita-cita dengan bebas.
“Melalui kerjasama dengan KidSTART ini, kami berharap dapat mengharungi perjalanan bersama anak-anak dan keluarga mereka, meringankan beban dan membantu mereka membina rumah yang dipenuhi kemesraan, kestabilan, dan harapan untuk masa depan,” katanya.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg