Encik Adi dan isterinya, Cik Syaakirah menginap di flat sewa HDB dua bilik bersama empat anak mereka.
Hanya Encik Adi yang bekerja, manakala isterinya seorang suri rumah.
Keluarga tersebut menghadapi kesempitan kewangan dan sukar memenuhi keperluan asas mereka.
Encik Adi dan Cik Syaakirah juga berdepan kesukaran memantau perkembangan akademik anak-anak mereka dan bimbang mereka akan ketinggalan di sekolah.
Kisah mereka disingkap di Parlimen pada 25 September oleh Encik Desmond Lee, Menteri Pendidikan merangkap Menteri Bertanggungjawab bagi Integrasi Khidmat Sosial.
Berikut sokongan yang diterima keluarga itu dalam pelbagai aspek kehidupan.
Jurulatih keluarga, Encik Ken, yang dihantar untuk mendamping keluarga Encik Adi oleh Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga (MSF) menyelaras bantuan barangan runcit seperti keperluan asas dan susu tepung bayi dengan pertubuhan masyarakat seperti Willing Hearts.
Encik Ken mendaftar Encik Adi dalam Pakej Kemajuan ComLink+ untuk Pekerjaan, di mana pemerintah menyediakan kewangan tambahan bagi warga S’pura yang menjawat pekerjaan dengan Simpanan Tabung Pekerja (CPF).
Encik Ken turut menempatkan Cik Syaakirah di perkhidmatan sokongan pekerjaan, disebabkan hasratnya untuk bekerja sepenuh masa.
Sebuah organisasi bukan meraih untung, Engineering Good, memberikan keluarga itu sebuah komputer riba diperbaharui, sekali gus membantu Cik Syaakirah mencari pekerjaan dan membolehkan anak-anak belajar dari rumah.
Anak-anak mereka yang lebih berusia didaftarkan dalam Program Bimbingan Akademik Mendaki, untuk memastikan mereka tetap cemerlang dari segi akademik.
Encik Ken mendapati anak bongsu keluarga itu, Akid, gemar bermain bola sepak, lantas mendaftarkannya dalam Program Futsal Masyarakat ComLink+ yang dijalankan oleh SportCares.
Semasa beliau sarat mengandung anak bongsunya, Sofea, Cik Syaakirah dihubungkan dengan KidSTART oleh Encik Ken.
Pegawai KidSTART melawat pasangan itu di rumah secara berkala untuk membimbing mereka sepanjang Sofea di peringkat usia bayi.
Keluarga muda itu turut diberikan panduan keibubapaan berkaitan kesihatan, pemakanan dan perkembangan anak.
Ini termasuk memupuk hubungan positif antara ibu bapa dengan anak, serta memantau Sofea dengan rapi untuk menjejak perkembangannya.
Sebagai contoh, apabila Cik Syaakirah menghadapi kesukaran memberi makan kepada Sofea, KidSTART menghubungkannya dengan seorang jururawat, yang memberi nasihat mengenai cara memberikannya makan dan jumlah susu.
KidSTART juga menyediakan buku dan mainan untuk Sofea dan adik-beradiknya, bagi menanam minat membaca sejak awal serta mengukuhkan ikatan antara ibu bapa dengan anak.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg