Topik diikuti
Pergi ke BHkuProgram ‘Jalinan Kasih’ 4PM beri tanda positif buat keluarga buka lembaran baharu
Bakal diteruskan bagi sekurang-kurangnya 10 lagi keluarga pendapatan rendah
Menguruskan isi rumah sembilan beranak dengan hanya satu sumber pendapatan pernah meletakkan Cik Norshimah Yusof, 34 tahun, dan suaminya dalam belenggu kewangan.
Di kediaman sewa satu bilik mereka di Chai Chee, isu bil utiliti yang tertunggak serta cabaran mendidik tujuh orang anak yang sedang membesar kerap mencetuskan cabaran.
Namun, menerusi program rintis Jalinan Kasih anjuran Persatuan Pemuda Pemudi Melayu (4PM) dari Mac hingga Ogos, kehidupan keluarga tersebut mula berubah secara menyeluruh.
Selain menerima sokongan kewangan untuk melunaskan tunggakan bil, Cik Norshimah berkata beliau dan suaminya, Encik Mohamad Rohaizad Ramlee, 37 tahun, yang bertugas sebagai pekerja pembersihan, kini berdisiplin mengetepikan sekurang-kurangnya 25 peratus daripada pendapatan pekerjaan dan bantuan yang diterima sebagai dana kecemasan.
Mengenang kembali perubahan tersebut, suri rumah kepada tujuh orang anak berusia antara dua dengan 17 tahun itu, berkata:
“Program Jalinan Kasih banyak membantu kami kerana sebelum ini kami memang dalam kesusahan.
“Namun, selepas menyertai sesi celik kewangan dan keibubapaan, banyak perubahan positif yang berlaku.
“Kami kini lebih bijak menguruskan perbelanjaan rumah, anak-anak belajar imbangi bajet, dan kami suami isteri lebih faham cara mengendalikan emosi anak apabila mereka meragam.”
Cik Norshimah merupakan antara 10 keluarga berpendapatan rendah yang menginap di kawasan Bedok yang telah menerima bantuan 4PM itu.
Satu majlis penutup bagi program itu telah diadakan di Kelab Masyarakat (CC) Fengshan pada 20 Ogos, yang turut dihadiri Anggota Parlimen (AP) GRC East Coast, Cik Hazlina Abdul Halim, bersama sekitar 40 benefisiari.
Berkongsi lanjut kepada Berita Harian (BH), Cik Norshimah berkata 4PM bukan sahaja menyediakan bantuan kewangan, malah cara untuk memperkukuh kehidupan berkeluarga mereka terutama dalam menguruskan anak mereka yang berusia tujuh dan sembilan tahun yang kerap meragam.
“Sebelum ini, kami kerap marah anak-anak dengan nada suara tinggi hingga membuatkan mereka rasa tersisih dan kecil hati.
“Namun selepas menyertai program ini, kami mengubah pendekatan keibubapaan dengan beri mereka masa 5 hingga 10 minit untuk bertenang sebelum mula berbual dan mendengar emosi yang terpendam.
“Bagi anak-anak remaja pula, kami sedar kami perlu lebih memahami mereka – kami sebagai ibu bapa perlu menjadi ‘air’,” tambahnya.
Dilancar pada 8 Mac – juga di Fengshan CC – projek rintis itu merupakan sebahagian daripada usaha 4PM dalam memperkukuh rangka kerja Pembangunan Keluarga bagi menangani keperluan masyarakat yang kian meningkat.
Ia merangkumi perjalanan tersusun selama enam bulan yang menggabungkan penglibatan kes, bantuan praktikal, dan program pembangunan.
Dipilih menerusi penilaian menyeluruh oleh pekerja sosial 4PM, setiap keluarga – yang mempunyai anak bersekolah atau belia – telah menerima pengurusan kes individu, penyelarasan jagaan perkhidmatan sosial, serta bantuan kewangan sampingan sebanyak $4,000.
Modul pembangunan bulanan turut disediakan bagi memperkukuh pengurusan kewangan, ketahanan emosi, keibubapaan, dan kemahiran menetapkan matlamat demi menyokong kehidupan berdikari jangka panjang.
Bercakap kepada wartawan selepas majlis itu, Cik Hazlina, berkata pendekatan menyeluruh yang melebihi bantuan kewangan akan menjadikan keluarga lebih kukuh.
“Ia bermula daripada asasnya iaitu saling memahami, serta memastikan wujudnya aspirasi yang sehaluan.
“Maka, program seperti Jalinan Kasih, yang mengambil pendekatan menyeluruh, dapat memperkukuh kemahiran yang ada di dalam keluarga peserta,” kongsinya.
Setakat Ogos, 4PM mencatatkan jumlah penerima manfaat – iaitu mereka yang mempunyai Pendapatan Per Kapita (PCI) $650 dan ke bawah – tertinggi dalam sejarah organisasi itu dengan $308,300 diagihkan kepada 906 individu.
Daripada jumlah penerima manfaat tersebut, 10 daripada mereka merupakan benefisiari Jalinan Kasih.
Angka itu menunjukkan peningkatan ketara berbanding $201,250 bagi 580 penerima pada 2024, serta $275,000 bagi 860 penerima pada 2025.
Mengulas mengenai program itu semasa ucaptamanya, Presiden 4PM, Encik Nassar Mohamad Zain, turut berkongsi 90 peratus daripada benefisiari mempunyai kehadiran penuh bagi program tersebut.
Menurutnya, ia sekali gus membuktikan komitmen tinggi mereka untuk hadir, meluangkan masa, dan berusaha meningkatkan kesejahteraan hidup keluarga masing-masing.
“Matlamat jangka panjang kami bukan sekadar membantu keluarga mengharungi bulan yang sukar tetapi membimbing mereka membina keyakinan, keupayaan, dan ketahanan untuk merancang masa depan.
“Tanda positif daripada projek rintis Jalinan Kasih memberi kita harapan.
“Keluarga tersebut menunjukkan kesedaran yang lebih tinggi terhadap emosi, komunikasi, serta dinamik keluarga, di samping membina strategi daya tindakan yang lebih sihat dan memperkukuh rangkaian sokongan mereka,” katanya.
Sementara itu, berkongsi kepada BH, Pengarah Eksekutif, 4PM, Encik Didicazli Ismail, berkata bahawa 4PM akan meneruskan program Jalinan Kasih kepada sekurang-kurangnya 10 keluarga berpendapatan rendah yang lain pada 2027.
Namun, tempat dan jumlah benefisiari akan ditetapkan pada masa hadapan, kongsinya.
Mengenai benefisiari yang telah meraih manfaat daripada program rintis Jalinan Kasih kali ini, Encik Didicazli berkata walaupun program berstruktur selama enam bulan itu telah selesai, sokongan kepada keluarga tidak akan terhenti begitu sahaja.
“4PM akan terus membuat langkah susulan berdasarkan keperluan setiap keluarga, termasuk menghubungkan mereka dengan agensi dan rakan masyarakat yang dapat memberikan bantuan bersesuaian.
“Matlamat kami adalah supaya keluarga terus mempunyai rangkaian sokongan dan tidak berasa bahawa mereka perlu menghadapi cabaran bersendirian selepas program ini berakhir,” katanya.
