Projek 4PM sokong 10 keluarga berpendapatan rendah selama 6 bulan
Projek 4PM sokong 10 keluarga berpendapatan rendah selama 6 bulan
Seramai 10 keluarga berpendapatan rendah yang tinggal di kawasan Bedok akan meraih manfaat daripada projek sokongan Persatuan Persuratan Pemuda Pemudi Melayu (4PM) selama enam bulan dari Mac hingga Ogos ini.
Digelar Jalinan Kasih 4PM, para benefisiari bakal menerima sokongan kewangan tambahan sehingga $4,000; pendampingan bulanan pekerja sosial untuk menilai keperluan dan memantau kemajuan; serta rujukan dan penyelarasan penjagaan dengan agensi berkaitan.
Selain itu, benefisiari juga berpeluang mengikuti program pembangunan kumpulan bulanan yang menumpukan pada celik kewangan, daya tahan sosioemosi, sokongan keibubapaan, dan penetapan matlamat yang selaras dengan aspirasi keluarga.
Projek tersebut dilancarkan pada 8 Mac di Kelab Masyarakat Fengshan dan turut dihadiri oleh Anggota Parlimen (AP) GRC East Coast, Cik Hazlina Abdul Halim sebagai tetamu terhormat.
Mengumumkan projek itu, Presiden 4PM, Encik Nassar Mohamad Zain, berkata program itu bertujuan menyediakan sokongan yang tepat pada masanya, tertumpu dan berterusan kepada keluarga memerlukan melalui intervensi berstruktur.
Ia akan diterajui oleh pekerja sosial dan pegawai program 4PM.
Bantuan itu mencerminkan kepercayaan 4PM bahawa perubahan yang mampan terhasil apabila penjagaan diberikan secara konsisten, bersepadu, dan penuh ihsan, kata Encik Nassar.
“Sambil kami meraikan 25 tahun perkhidmatan (4PM), kami juga bertanya bagaimana kami boleh memperkukuh impak kami.
“Hari ini, kami mengorak langkah berani ke hadapan dengan pelancaran Jalinan Kasih 4PM.
“Ini merupakan program intervensi awal khas selama enam bulan untuk keluarga yang dinilai memerlukan sokongan jangka panjang dan lebih terlaras. Ia diterajui oleh pekerja sosial kami dan berpandukan Rangka Kerja Pembangunan Keluarga 4PM,” katanya.
Encik Nassar berkongsi bahawa projek itu akan bermula dengan 10 keluarga yang mempunyai anak kecil atau anak yang masih bersekolah.
Menurutnya, tujuh daripada 10 keluarga tersebut terdiri daripada ibu bapa muda, yang berumur 35 tahun dan ke bawah.
“Dalam tempoh enam bulan, di samping program yang telah disusun, keluarga ini boleh menerima bantuan kewangan tambahan sehingga $4,000, berdasarkan penilaian keperluan mereka serta penyertaan dan komitmen dalam program tersebut,” ujarnya.
Majlis pelancaran itu juga menyaksikan keluarga tersebut menerima bantuan kewangan sekali beri sebanyak $1,000.
Encik Nassar juga menambah, pemenang Anugerah Bestari dan pelajar cemerlang 4PM juga akan turut serta dalam program Jalinan Kasih 4PM sebagai 10 sukarelawan belia.
Ini sekali gus memberi mereka peluang untuk menyumbang bakti kepada masyarakat untuk membalas sokongan pendidikan yang pernah mereka terima, katanya.
Selain itu, Encik Nassar mengumumkan bahawa pada 2026, 4PM mencatatkan jumlah benefisiari tertinggi untuk bantuan Ramadan – lebih 900 benefisiari – satu peningkatan daripada 860 pada 2025 dan 575 pada 2024.
4PM akan mengagihkan bantuan berjumlah $300,000, di mana setiap keluarga benefisiari akan menerima bantuan tunai sebanyak $300 pada Ramadan ini.
“Sebanyak 70 peratus daripada benefisiari kami merupakan keluarga dengan anak yang masih bersekolah, manakala selebihnya adalah golongan berpendapatan rendah dan warga emas,” tambahnya.
Menurut Encik Nassar, bantuan berbentuk wang itu memberikan fleksibiliti kepada keluarga berpendapatan rendah untuk menyelesaikan keperluan mendesak seperti tunggakan bil yang tidak dapat ditangani melalui bantuan makanan atau baucar.
“Selama 25 tahun sejak 2001, kami telah menganjurkan pengagihan bantuan pada Ramadan.
“Apa yang bermula sebagai inisiatif kecil untuk menyampaikan bekalan makanan dan baucar, kini telah berkembang menjadi usaha kemasyarakatan yang teguh – hasil daripada sokongan luar biasa para rakan kongsi, penderma, dan sukarelawan kami,” ujar beliau.

