Bagi seorang ibu tunggal, Cik Murni Arsahat, 42 tahun, kehidupan hariannya tersusun rapi – menjalani rawatan dialisis tiga kali seminggu, mengurus kewangan dengan teliti dan memastikan perhatian keempat-empat anaknya tertumpu kepada pelajaran, walaupun berdepan pelbagai cabaran.
Dalam kesibukan tersebut, program mingguan ComLink anjuran Glyph Community bukan sekadar kegiatan rutin dalam kalendar, malah menjadi ruang yang selamat dan menyokong, di mana anak-anaknya boleh belajar, berkembang serta berasa dihargai.
Pada 27 Julai, kalendar beliau mencatat jadual yang sedikit berbeza.
Cik Murni telah membawa anak-anaknya ke sebuah arked, Cow Play Cow Moo, di Suntec City, bagi acara yang turut disertai Menteri Negara (Pembangunan Sosial dan Keluarga merangkap Ehwal Dalam Negeri), Encik Goh Pei Ming, dan 35 keluarga memerlukan di bawah ComLink Boon Lay dan Marsiling, sempena sambutan ulang tahun kelapan Glyph Community.
Ditemui Berita Harian (BH) di Cow Play Cow Moo, Cik Murni berkata:
“Saya menghidap penyakit buah pinggang dan tidak boleh bekerja. Dengan ComLink, saya tahu anak-anak saya masih ada peluang kalau ada sokongan macam ini.
“Tanpa program dan aktiviti seperti ini, mereka akan hanya terperap di rumah.”
Suasana di arked itu pada 27 Julai lalu begitu meriah, diselubungi gelak tawa dan keriangan lebih 80 kanak-kanak, ibu bapa dan sukarelawan.
Dua anak Cik Murni – Fadzhlyn Ashryn, 10 tahun, dan Shaqueena Shazfa, lapan tahun – telah mendapat bantuan dan menyertai program ComLink Boon Lay selama lebih empat tahun sekarang.
Di samping kegiatan dan program sedemikian, mereka turut menerima bimbingan akademik dalam mata pelajaran Bahasa Inggeris, Matematik dan Sains beberapa kali seminggu.
Mereka juga menerima bantuan barangan keperluan sekolah pada hujung tahun, serta bekalan makanan segar seperti sayur-sayuran dan buah-buahan setiap minggu.
Sempena sambutan ulang tahun itu, Encik Goh turut menyampaikan anugerah kepada pelajar-pelajar yang menunjukkan peningkatan ketara dalam kehadiran, disiplin dan sahsiah di sekolah, setelah dicalonkan oleh guru-guru mereka sendiri.
Sukarelawan dan pendidik terlatih daripada Institut Pendidikan Nasional (NIE) turut dihargai atas sumbangan mereka merancang dan menjalankan bengkel mingguan untuk kanak-kanak.
Pada acara 27 Julai lalu itu, setiap keluarga turut menerima beg hadiah yang mengandungi barangan keperluan rumah seperti berus gigi dan sabun buku, sementara setiap anggota keluarga diberikan token bernilai $20 untuk bermain di arked tersebut.
Sejak ditubuhkan, Glyph telah menyokong lebih 2,000 penerima manfaat, dengan program mingguan yang dijalankan secara konsisten di Marsiling dan Boon Lay.
Bagi Cik Murni, program sedemikian sangat beliau hargai kerana ia membuatnya tidak rasa keseorangan.
Seorang lagi ibu tunggal, Cik Suryanti Sopyan, 43 tahun, turut berkongsi sentimen serupa.
Bekerja sepenuh masa dalam khidmat pelanggan untuk menyara diri dan anak lelakinya, beliau berkata: “Setiap minggu ada program dan tempat yang selamat untuk anak-anak belajar serta bermain. Kami sebagai ibu bapa pun turut rasa disokong.”
Acara tersebut merupakan sesi ketiga daripada empat sesi – dua pada 26 Julai dan dua lagi pada 27 Julai – melibatkan lebih 200 penerima manfaat ComLink Boon Lay dan Marsiling, serta keluarga mereka.
Pengarah Glyph, Cik Maisie Chong, berkata: “Kami mahu terus meluaskan usaha kami dengan sokongan daripada keluarga-keluarga. Buat masa ini, kami sedang mengadakan perbincangan aktif dengan pelbagai kementerian dan agensi.
“Kami juga sedang dalam perbincangan untuk membuka sebuah pusat baru di kawasan tengah Singapura, khusus bagi keluarga yang memerlukan lebih sokongan.”
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg