Lebih ramai penduduk yang kurang berkemampuan di daerah barat laut akan menerima sokongan seperti barangan runcit dengan peluasan satu projek kemasyarakatan.
Ini berikutan pelancaran rasmi inisiatif Projek Sama Sama@North West oleh Majlis Pembangunan Masyarakat (CDC) North West di divisyen Limbang, setelah diperkenalkan di distrik lain – Divisyen Zhenghua, Woodgrove, Canberra dan Nee Soon South.
Sehingga 8,000 isi rumah dijangka meraih manfaat daripada projek hasil kerjasama antara CDC North West, SPH Media dan Auresys.
Bercakap semasa majlis pelancaran di Blok 537, Choa Chu Kang Street 51 pada 29 Jun, Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, berkata penduduk – termasuk 350 penduduk di Limbang – akan mendapat manfaat daripada projek itu, khususnya dalam menghadapi cabaran kos sara hidup yang semakin meningkat.
Encik Wong berkata: “CDC kami memainkan peranan penting dalam menghimpunkan rakan kongsi dan pihak berkepentingan dari setiap lapisan masyarakat untuk menyokong penduduk yang memerlukan dengan lebih berkesan.
“Inisiatif Projek Sama Sama oleh CDC North West, dengan kerjasama rakan kongsi korporat dan penajanya, adalah contoh yang baik tentang bagaimana kita dapat berganding bahu dalam mengukuhkan rangkaian masyarakat dan menawarkan sokongan yang lebih bermakna kepada golongan yang paling memerlukan.”
Di bawah Projek Sama Sama@North West, mesin layan diri akan menawarkan isi rumah yang layak dengan kredit bulanan bernilai $20, yang boleh digunakan untuk menebus barangan keperluan seperti roti, minuman, produk kebersihan dan surat khabar – semuanya boleh diakses sepanjang masa, 24 jam sehari.
Penduduk hanya perlu mengimbas kod QR menggunakan telefon bimbit untuk menebus barangan.
Bagi mereka yang kurang celik digital juga akan dibantu semasa pendaftaran dan boleh memilih alternatif berasaskan kertas.
Program tersebut dilancarkan secara rasmi seiring dengan Minggu Perkhidmatan North West inisiatif pengagihan barangan keperluan suku tahunan utama anjuran CDC.
Menyifatkan projek tersebut sebagai lonjakan besar ke hadapan, Mayor CDC North West, Encik Alex Yam, berkata:
“Dengan memanfaatkan penyelesaian digital dan mesin layan diri, CDC menyediakan cara yang lebih cekap untuk menyokong penduduk kami serta memberikan mereka akses langsung kepada barangan keperluan pada bila-bila masa yang sesuai bagi mereka.
“Pelaksanaan yang berjaya sebelum ini telah menunjukkan kesan positif program ini terhadap penduduk, di samping mewujudkan rangkaian komuniti yang menyokong – menghubungkan mereka yang ingin menyumbang dengan mereka yang memerlukan.”
Turut berbesar hati menjadi salah satu rakan kongsi utama, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) SPH Media, Encik Chan Yeng Kit, berkata:
“Melalui inisiatif ini, kami berharap dapat melakukan bahagian kami untuk menyokong keluarga yang kurang bernasib baik dengan menjadikan berita dan pandangan terkini lebih mudah diakses oleh mereka.”


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg