Dengan pelbagai lokasi di merata Singapura sibuk bersiap sedia untuk tayangan siaran langsung perlawanan akhir Piala Dunia 2026 antara Sepanyol dengan Argentina pada 3 pagi, 20 Julai (waktu Singapura), institusi ibadah turut memeriahkan suasana.

Namun, berbeza dengan tempat awam yang lain, tiga masjid di sini menampilkan kelainan tersendiri dengan menyuntik elemen rohani di samping siaran bola sepak tersebut.

Sebelum debaran perlawanan bermula, orang ramai berpeluang melakukan aktiviti seperti sesi qiyamullail, tazkirah, serta memperhalusi bacaan Surah Al-Fatihah.

Masjid Sultan dan Masjid Darul Makmur bakal menayangkan perlawanan akhir, manakala Masjid An-Nur pula perlawanan tempat ketiga antara England dan Perancis.

Dinamakan ‘Beyond the Final’, acara di Masjid Sultan akan bermula pada 2 pagi untuk sesi qiyamullail di dewan solat utama.

Hadirin kemudian berpeluang mengikuti sesi memperhalusi bacaan Surah Al-Fatihah, diikuti dengan segmen muhasabah diri di auditorium masjid sebelum menonton perlawanan pada 3 pagi melalui layar besar.

Masjid Sultan akan dibuka dari malam 19 Julai untuk mereka yang ingin iktikaf di masjid.

Mereka yang berminat untuk sertai program “Beyond the Final” boleh mendaftar di: bit.ly/BeyondTheFinal

Sebuah lagi masjid yang menyediakan tayangan siaran langsung bagi kedua-dua perlawanan tempat ketiga dan akhir ialah Masjid Darul Makmur, di Yishun Avenue 2.

Bagi perlawanan tempat ketiga pada dinihari 19 Julai, masjid tersebut akan mengadakan sesi qiyamullail dan tazkirah pada 4 pagi sebelum menyiarkan perlawanan pada 5 pagi di auditorium masjid.

Bagi perlawanan akhir pula, pintu akan dibuka pada 2.30 pagi. Mereka yang berminat boleh mendaftar di https://dmakmur.typeform.com/qiyam.

Hadirin di kedua-dua Masjid Sultan dan Darul Makmur akan menunaikan solat subuh berjemaah di dewan solat.

Sementara itu, Masjid An-Nur pula bakal menyediakan tayangan siaran langsung perlawanan tempat ketiga khas untuk golongan belia berusia antara 13 dengan 20 tahun.

Acara tersebut dijadualkan berlangsung pada dinihari 19 Julai, sekitar 5 pagi (waktu Singapura).

Program yang dinamakan ‘Beyond 90 Minutes’ itu turut merangkumi sesi qiyamullail pada 4 pagi sebelum tayangan bermula.

Acara kemudian diteruskan dengan sesi bola sepak santai bersama di Ark Sports Village pada 9 pagi.

Bagi kemudahan para peserta, pihak masjid akan menyediakan sarapan, makanan tengah hari, serta kemudahan pengangkutan.

Pendaftaran adalah percuma dan boleh dilakukan menerusi pautan: linktr.ee/annurmosque.