Topik diikuti
Pergi ke BHkuSekolah anjur acara tonton final Piala Dunia, beri kelonggaran waktu masuk kelas
Sekolah anjur acara tonton final Piala Dunia, beri kelonggaran waktu masuk kelas
Ikut langkah restoran, ruang masyarakat bersiap bagi perlawanan akhir antara Sepanyol, Argentina pada 20 Jul
Sekolah anjur acara tonton final Piala Dunia, beri kelonggaran waktu masuk kelas
Restoran, ruang masyarakat dan beberapa sekolah di Singapura sedang bersiap sedia bagi acara tonton perlawanan akhir Piala Dunia antara Sepanyol dengan juara bertahan, Argentina, pada 20 Julai, 3 pagi (waktu Singapura).
Sekurang-kurangnya empat sekolah akan mengadakan acara tonton bersama atau membenarkan pelajar melaporkan diri lebih lewat pada 20 Julai.
Contohnya, pelajar Institusi St. Joseph (SJI) akan dibenarkan melapor diri ke sekolah sejam lebih lewat, iaitu pada 8.30 pagi pada 20 Julai.
Demikian menurut satu surat yang ditujukan kepada ibu bapa, penjaga dan pelajar, yang dilihat The Straits Times (ST).
Pelajaran sejam yang dijadualkan bermula pada 7.50 pagi akan ditangguhkan ke 22 Julai.
Dalam surat sama, SJI menyatakan bahawa langkah tersebut diambil kerana ramai pelajar dijangka berjaga sehingga awal pagi untuk menonton perlawanan akhir itu.
Ini juga memastikan mereka mempunyai lebih masa untuk berehat.
Secara berasingan, Sekolah Victoria (VS) mengadakan acara tonton bersama untuk 350 pelajar, namun hari persekolahan pada 20 Julai tetap bermula seperti biasa pada 7.30 pagi.
Pelajar yang mendaftar bagi acara itu perlu hadir pada 9.30 malam, 19 Julai, bagi urusan pendaftaran.
Mereka kemudian akan diberikan waktu berehat sebelum perlawanan bola sepak itu bermula.
Perlawanan akhir itu dianggarkan berakhir pada 5 pagi, selepas itu mereka akan diberikan masa untuk berehat, sebelum melapor diri ke kelas pada 7.30 pagi.
Lebih 10 guru akan hadir sepanjang acara itu, lapor Lianhe Zaobao.
Pengetua VS, Encik Low Chun Meng, berkata kegiatan itu dicadangkan oleh beberapa pemimpin pelajar Menengah 4.
Sekolah itu memutuskan untuk melaksanakan idea tersebut kerana ia dianggap sebagai peluang baik untuk pelajar mengeratkan hubungan menerusi minat terhadap bola sepak, sekali gus mengukuhkan perpaduan sekolah.
Bagi Sekolah Anglo-Chinese (Antarabangsa) pula, sambutan akan bermula pada 17 Julai dengan pelajar dibenarkan memakai jersi bola sepak pasukan kebangsaan mana-mana negara, termasuk negara yang tidak menyertai kejohanan itu.
Pelajar masih perlu memakai seluar atau skirt uniform mereka, dan jersi kelab bola sepak tidak dibenarkan.
ST turut difahamkan bahawa Institusi Hwa Chong membenarkan pelajar melapor diri lebih lewat pada 9.30 pagi, 20 Julai.
Juara bertahan Argentina, diketuai oleh pemain bintang mereka, Lionel Messi, berhasrat menjadi pasukan ketiga dalam sejarah yang berjaya mempertahankan gelaran juara, apabila mereka menentang Sepanyol dalam perlawanan akhir di New Jersey, Amerika Syarikat.
Hanya Italy (1934 dan 1938) dan Brazil (1958 dan 1962) pernah meraih pencapaian tersebut.
Sepanyol, yang menjuarai kejohanan itu pada 2010, akan bermain dalam perlawanan akhir buat kali pertama, sejak kemenangan mereka di Afrika Selatan pada tahun itu.
