Inisiatif ‘Listening Points’ (LP) atau Titik Mendengar bergerak anjuran unit maklum balas pemerintah, Reach. - Foto ZAOBAO
Berikut adalah urutan peristiwa penting sejak penubuhan unit maklum balas pemerintah Reach:
Awal 1985: Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan, Encik Goh Chok Tong, mempunyai wawasan bagi sebuah pemerintah bersifat lebih terbuka. Ini dipersetujui barisan kepimpinan, yang iktiraf keinginan rakyat terhadap gaya pemerintahan yang lebih disertai ramai.
15 April 1985: Menteri Pembangunan Masyarakat, Encik S. Dhanabalan, umumkan penubuhan Unit Maklum Balas. Unit itu sediakan saluran komunikasi baru antara pemerintah dan rakyat.
Jun 1985: Unit itu menerima hampir 230 surat dalam dua bulan pertama penubuhannya. Kebanyakan surat yang diterima adalah berkaitan isu dan dasar negara – antara kebimbangan utama adalah hal sosial dan masyarakat, diikuti pengangkutan darat dan buruh.
1997: Laman web Unit Maklum Balas dilancarkan.
2000: Lebih 6,000 orang mengongsi pandangan mereka bersama Unit Maklum Balas pada 2000, berbanding hanya 880 respons 10 tahun sebelumnya.
2006: Unit Maklum Balas menjadi agensi pemerintah pertama melancarkan saluran maklum balas melalui khidmat pesanan ringkas. Unit ini disusun semula menjadi Reach (Reaching Everyone for Active Citizenry @ Home).
2014: Inisiatif ‘Listening Points’ (LP), atau Titik Mendengar, diperkenalkan, dengan reruai ditempatkan di lokasi boleh diakses, seperti pusat beli-belah dan hab pengangkutan. Ini dilakukan agar orang ramai dapat beri maklum balas dan dapatkan maklumat tentang dasar sedia ada.
Dari 2020: Penggunaan wadah digital menjadi keutamaan segera bagi mengurangkan interaksi fizikal disebabkan Covid-19. Saluran LP dan dialog diadakan secara maya. Ia bekerjasama dengan platform seperti Grab dan Foodpanda bagi anjurkan tinjauan di platform masing-masing.
2025: Unit maklum balas pemerintah Reach menyambut ulang tahun ke-40.