Pengimport etomidate boleh dihukum penjara sehingga maksimum 20 tahun dan 15 sebatan mulai 1 September.
Penyalahguna etomidate kali pertama berusia bawah 18 tahun pula akan didenda $500, sementara yang lebih dewasa akan didenda $700. Mereka juga perlu melalui program pemulihan mandatori sehingga enam bulan.
Ini sedang Singapura memperketatkan undang-undang dan penguatkuasaan bagi membendung penyalahgunaan vape dan etomidate daripada berleluasa di sini.
Langkah-langkah ini diumumkan di sidang media khas yang diterajui tiga menteri iaitu Menteri Ehwal Dalam Negeri, Encik K. Shanmugam; Menteri Kesihatan, Encik Ong Ye Kung; dan Menteri Pendidikan, Encik Desmond Lee, di Pusat Akhbar Nasional (NPC) pada 28 Ogos.
Menteri Negara (Tenaga Manusia), Encik Dinesh Vasu Dash, dan Setiausaha Parlimen Kanan (Pembangunan Sosial dan Keluarga), Encik Eric Chua, turut hadir.
MOH akan mengusul undang-undang baru untuk menggantikan langkah sementara tersebut dalam tempoh enam bulan.
Encik Shanmugam, yang juga Menteri Penyelaras bagi Keselamatan Negara, berkata penyalahgunaan vape dan etomidate di Singapura terkawal pada masa ini, tetapi pemerintah harus bertindak segera sebelum ia menjadi tidak terkawal.
Etomidate digunakan untuk menidurkan pesakit sebelum prosedur perubatan di hospital, tetapi ia didapati terkandung dalam isi alat rokok elektronik atau vape. Vape mengandungi etomidate juga dikenali sebagai Kpod.
Apabila dihisap, etomidate boleh menyebabkan seseorang hilang kawalan otot, sukar bernafas dan sawan.
Penggunaan vape dilarang di sini sejak 2018, tetapi penularan Kpod telah mendorong pihak berkuasa untuk mengambil tindakan lebih ketat.
Mulai 1 September, etomidate akan disifatkan sebagai Dadah Kelas C di bawah Akta Penyalahgunaan Dadah (MDA) selama enam bulan.
Dadah Kelas C merujuk kepada bahan-bahan yang mempunyai potensi kemudaratan lebih rendah berbanding dadah Kelas A dan Kelas B, tetapi masih cukup berbahaya untuk memerlukan kawalan ketat.
Menjawab pertanyaan di sidang media di Pusat Akhbar Nasional (NPC) pada 28 Ogos, Encik Shanmugam berkata tempoh enam bulan itu penting untuk menyelidik bagaimana etomidate atau bahan berbahaya lain boleh digunakan menerusi vape.
“Kami kini mengambil pendirian agak berbeza kerana ia (etomidate dan vape) bukanlah sesuatu masalah yang di luar kawalan.
“Namun, kami melihat ia menjadi isu yang kian bertambah dan kami tidak ingin tunggu sehingga ia berada di luar kawalan. Oleh itu, kami campur tangan (lebih) awal.”
Hukuman baru yang diumum itu satu langkah penting sedang landskap penggunaan bahan berbahaya dan terlarang berubah, kata Encik Ong, yang juga Menteri Penyelaras bagi Dasar Sosial.
Encik Ong berkata vape kini digunakan sebagai alat untuk menggunakan bahan terlarang, khususnya dalam kalangan golongan muda.
“Landskap yang berubah ini bermakna kami perlu menyesuaikan pendekatan semasa terhadap penyalahgunaan bahan.
“Ia perlu menjadi usaha seluruh pemerintah dan tidak terhad kepada MHA semata-mata,” tambah beliau.
Menurut kenyataan bersama Kementerian Kesihatan (MOH) dan Kementerian Ehwal Dalam Negeri (MHA) pada 28 Ogos, hukuman baru di bawah MDA memperuntuk supaya pengimport etomidate dikenakan hukuman penjara minimum tiga tahun dan lima sebatan, dengan maksimum penjara 20 tahun dan 15 sebatan.
Pengedar atau penjual pula boleh dikenakan hukuman penjara minimum dua tahun serta minimum dua sebatan, dengan penjara maksimum 10 tahun dan lima sebatan.
Hukuman itu lebih berat berbanding yang diperuntuk bagi etomidate di bawah Akta Racun (PA) dan Akta Tembakau (Kawalan Iklan dan Penjualan) (TCASA).
Di bawah hukuman PA dan TCASA, pengimport dan pengedar etomidate tidak dikenakan apa-apa hukuman sebatan.
Encik Shanmugam berkata hukuman lebih berat wajar diberikan kepada pengimport dan pengedar etomidate kerana individu atau kumpulan ini “meraih pendapatan hasil daripada kesengsaraan orang lain”.
“Mereka tahu ia satu kesalahan, mereka membuat perkiraan jumlah wang yang dapat dijana dan sebagai balasan, apakah risiko yang mereka tanggung? (Inilah sebabnya) mereka perlu ditangani secara tegas,” tambah beliau.
Pendekatan ini, tambah beliau, sejajar dengan hukuman pengedaran dadah di sini, dengan pengedar yang membawa dadah terlarang melebihi had tertentu boleh dikenakan hukuman mati.
Di samping hukuman lebih ketat bagi pengimport dan pengedar etomidate, pengguna vape dan etomidate bakal berdepan denda dan rejim pemulihan lebih ketat agar mereka dapat membuang tabiat sedemikian, kata MOH dan MHA.
Encik Ong berkata sepertiga pengguna vape di Singapura berusia bawah 18 tahun, sementara lebih separuh lagi berusia bawah 30 tahun.
Secara purata, sekitar 3,100 pelajar dari sekolah rendah, menengah, maktab rendah dan Institut Millenia ditangkap menggunakan vape setiap tahun dari 2022 hingga 2024.
Dalam tempoh sama, sekitar 800 pelajar dari institut pengajian tinggi (IHL) ditangkap setiap tahun.
Sementara itu, pas bekerja warga asing yang ditangkap menggunakan vape boleh ditarik balik dan mereka boleh dihalau dari sini dan dilarang memasuki Singapura mulai 1 September.
Pesalah berulang juga boleh dikenakan hukuman lebih serius, kata MHA dan MOH.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg