Mulai 2026, pengguna Internet di Singapura tidak lagi hanya bergantung kepada platform seperti Instagram, TikTok atau Facebook untuk menangani gangguan dan penyalahgunaan dalam talian.
Undang-undang baru – Akta Keselamatan Dalam Talian (Bantuan dan Kebertanggungjawaban) atau Osra – memberi kuasa langsung kepada mangsa untuk meminta kandungan memudaratkan diturunkan dengan lebih cepat – satu perubahan besar dalam perlindungan keselamatan digital negara.
Menurut Menteri Negara (Penerangan dan Pembangunan Digital merangkap Kesihatan), Cik Rahayu Mahzam, berkata sebelum ini mangsa tidak mempunyai pilihan selain membuat laporan kepada platform tertentu dan berharap langkah segera diambil.
Namun, pengalaman dan data menunjukkan proses itu sering mengambil masa sehingga beberapa hari – tempoh yang dianggap ‘terlalu lama’ bagi mereka yang sedang terdedah kepada penghinaan, doxing (maklumat peribadi didedahkan), ancaman atau penyebaran imej peribadi.
Cik Rahayu berkata demikian dalam rakaman podcast BHerbual, Berita Harian (BH), bersama Editor Berita, Encik Hadi Saparin, dan Koresponden, Encik Anwar Saleh.
“Selama ini kalau kita diganggu… pilihan kita cuma lapor pada platform itu dan harap ia bertindak.
“Dengan undang-undang ini, mangsa ada kuasa untuk bertindak sendiri... dan memperkasa mangsa seperti ini adalah sesuatu yang amat penting,” kata beliau.
Walaupun terdapat undang-undang sedia ada untuk menangani bahaya dalam talian seperti Akta Perlindungan daripada Gangguan (2014), Pindaan Kanun Keseksaan (2019) dan Akta Bahaya Jenayah Dalam Talian (2023), terdapat jurang dalam penyelesaian untuk individu.
Osra, yang diluluskan Parlimen pada 5 November, menyediakan penyelesaian kepada mangsa yang tampil melaporkan kemudaratan yang mereka alami.
Menurut Kajian Persepsi Pendigitalan Kementerian Penerangan dan Pembangunan Digital (MDDI) 2025, lebih empat daripada lima (84 peratus) responden di Singapura mengalami kandungan dalam talian yang berbahaya.
Satu pertiga (33 peratus) mengalami tingkah laku dalam talian yang berbahaya pada 2024, dengan jenis kandungan berbahaya yang paling kerap ditemui ialah kandungan seksual, ganas dan buli siber.
Di bawah rang itu, sebuah agensi baru yang dipanggil Suruhanjaya Keselamatan Dalam Talian (OSC), akan ditubuhkan untuk mentadbir mekanisme pelaporan berkanun yang membolehkan mangsa mendapatkan penyelesaian tepat pada masanya daripada bahaya dalam talian tertentu.
“
“Sekarang, dengan Osra, kes seperti ini ada laluan jelas. Mangsa boleh minta platform diturunkan, dan jika gagal, OSC boleh keluarkan arahan... walaupun undang-undang ini boleh dilihat sebagai langkah tegas, namun matlamat akhirnya bukan sekadar hukuman tetapi mewujudkan ruang digital yang lebih selamat, matang dan beradab. Ini tentang isyarat yang jelas – kita mahu ruang digital yang selamat untuk berbincang, bukan tempat untuk memalukan atau memburukkan individu.”Sehubungan dengan itu, Osra memperkenalkan satu struktur jelas.
Langkah pertama masih melibatkan platform – namun jika tiada tindakan bermakna dalam tempoh 24 jam, mangsa boleh terus membawa kes ke OSC untuk mengeluarkan arahan rasmi penurunan kandungan.
Cik Rahayu menjelaskan bahawa akta ini bersifat victim-led atau ‘diterajui mangsa’ – iaitu tindakan dimulakan oleh mangsa, bukan agensi yang memantau kandungan secara aktif.
“OSC tidak akan memantau atau menjadi polis media sosial. Mangsa yang menggerakkan tindakan berdasarkan garis panduan yang jelas,” tegas beliau.
Dalam podcast BHerbual itu, beliau turut berkongsi situasi sebenar: seorang wanita yang gambarnya dimuat naik berkali-kali oleh jirannya sehingga menimbulkan tekanan emosi dan aib dalam kalangan keluarga serta kenalan.
“Sekarang, dengan Osra, kes seperti ini ada laluan jelas. Mangsa boleh minta platform turunkan, dan jika gagal, OSC boleh keluarkan arahan,” katanya.
Walaupun undang-undang itu dilihat sebagai langkah tegas, Cik Rahayu menekankan matlamat akhirnya bukan sekadar hukuman – tetapi mewujudkan ruang digital yang lebih selamat, matang dan beradab.
Beliau menambah: “Ini tentang isyarat yang jelas: kita mahu ruang digital yang selamat untuk berbincang, bukan tempat untuk memalukan atau memburu individu.”
Osra, katanya, “bukan hanya undang-undang – ia permulaan budaya digital yang lebih bertanggungjawab”.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg