Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pesuruhjaya agensi pemerintah baru diberi kuasa keluarkan arahan hadkan bahaya dalam talian

Akta Keselamatan Dalam Talian (Bantuan dan Kebertanggungjawaban) diluluskan di Parlimen
Nov 5, 2025 | 10:23 PM
Josephine Teo, MDDI, Osra
Menteri Penerangan dan Pembangunan Digital, Cik Josephine Teo, berkata Pesuruhjaya bagi Suruhanjaya Keselamatan Dalam Talian (OSC) yang baru akan diberi kuasa mengeluarkan arahan bagi mengehadkan bahaya dalam talian, termasuk bahan bahaya lazim dan yang keterlaluan. - Foto MDDI

Pesuruhjaya bagi Suruhanjaya Keselamatan Dalam Talian (OSC) yang baru akan diberi kuasa mengeluarkan arahan bagi mengehadkan bahaya dalam talian, bermula dengan bahan bahaya lazim dan yang keterlaluan, demikian menurut Menteri Penerangan dan Pembangunan Digital, Cik Josephine Teo.

Ini setelah OSC akan dikuatkuasakan di bawah Akta Keselamatan Dalam Talian (Bantuan dan Kebertanggungjawaban) atau Osra yang baru diluluskan Parlimen pada 5 November.

Cik Teo berkata Osra merupakan undang-undang penting yang dapat memberikan mangsa bahan bahaya dalam talian “wadah pembetulan semula secara tepat, berkesan dan boleh diakses”.

“OSC akan ditubuhkan untuk menangani jenis bahaya dalam talian yang paling lazim dan apa yang warga Singapura anggap sebagai paling berbahaya. Jenis bahaya lain akan ditangani secara progresif,” ujar Cik Teo.

Akta tersebut diluluskan selepas perbahasan yang berlangsung selama hampir lapan jam, dengan 23 Anggota Parlimen (AP) membentangkan usulan dan kebimbangan masing-masing, sebelum ia diluluskan sekitar 9 malam.

Ini termasuk perbincangan terhadap beberapa pindaan kepada Osra seperti yang diusulkan AP Parti Pekerja (WP), Cik He Ting Ru (GRC Sengkang), yang kesemuanya ditolak oleh Dewan.

Cik Teo berkata penubuhan OSC sejajar dengan hasil dapatan kajian yang mendapati keinginan mangsa bahaya dalam talian terhadap penghapusan kandungan dalam talian yang bahaya dengan pantas.

Ini di samping wujudnya kegelisahan dalam kalangan mangsa untuk mendapatkan penyelesaian daripada saluran bantuan sedia ada dan kesukaran mengenal pasti pelaku bahaya dalam talian, tambahnya.

Justeru, Cik Teo berkata Osra memperkenalkan asas perundangan bagi mangsa mendapatkan pembelaan menerusi Tort Berkanun – iaitu salah laku yang boleh dikenakan tindakan sivil, seperti ganti rugi.

Ia membolehkan mangsa memulakan prosiding undang-undang terhadap mereka yang bertanggungjawab ke atas kandungan bahaya atau terus-menerus menyebabkan kemudaratan dalam talian, katanya lagi.

“Kajian menunjukkan rakyat Singapura menilai keselamatan dalam talian sebagai tanggungjawab bersama antara syarikat teknologi, individu, pemerintah, ibu bapa dengan pihak sekolah.

“Tort Berkanun yang diusulkan (di bawah Osra) menjelaskan tanggungjawab yang digalas oleh pengguna, pentadbir kumpulan dan platform antara satu sama lain,” katanya.

Langkah sedemikian dipersetujui beberapa AP termasuk Cik Mariam Jaafar (GRC Sembawang) yang berkata buat kali pertamanya mangsa bahaya dalam talian mempunyai saluran bagi pembetulan semula.

Namun, beliau menimbulkan kebimbangan bersangkutan faktor-faktor yang akan dipertimbangkan pihak mahkamah berkenaan Tort Berkanun ini.

Memberikan cadangannya, beliau berkata: “Notis amalan ringkas dapat memberi panduan kepada platform (dalam talian), pentadbir dan pengguna untuk bertindak dengan betul dan pantas.”

Encik Sharael Taha (GRC Pasir Ris-Changi) turut menyentuh tentang pentingnya mengambil kira kesan yang tidak dijangka akibat Tort Berkanun.

“Hak undang-undang yang lebih jelas boleh menyebabkan litigasi lebih kerap atau pramatang kerana mangsa, perantara, atau platform menggunakan mahkamah sebagai tindak balas pertama berbanding tindak balas terakhir.

“Kita mesti berwaspada agar kita tidak mewujudkan masyarakat yang memberatkan litigasi, dengan sesuatu pertikaian dengan mudah dibawa ke mahkamah,” ujarnya.

Sebagai respons kepada Cik Mariam dan beberapa AP yang menimbulkan kebimbangan serupa, Menteri Negara (Penerangan dan Pembangunan Digital merangkap Kesihatan), Cik Rahayu Mahzam, berkata pemerintah akan mempergiatkan usaha dengan pihak platform dalam talian utama bagi memastikan platform sedemikian “memperkukuhkan langkah keselamatan dalam talian”.

Cik Rahayu juga berkata OSC akan bekerjasama dengan badan masyarakat dan agensi pemerintah yang lain bagi memastikan mangsa dapat mengakses mekanisme pelaporan OSC, sebagai menjawab Encik Sharael dan AP lain yang menimbulkan kebimbangan serupa.

Cik Rahayu berkata demikian sebagai salah satu kenyataan penggulungan bagi perbahasan Osra.

Cik Teo dalam ucapan penggulungannya berkata pemerintah tidak berhasrat mengeluarkan arahan bagi mengganggu kerja harian pesuruhjaya OSC.

Beliau berkata demikian sebagai respons kepada soalan Ketua Pembangkang, Encik Pritam Singh, mengenai penggunaan arahan seseorang menteri di bawah undang-undang baru itu.

Menteri Undang-Undang, Encik Edwin Tong, dalam kenyataan penggulungannya pula menggesa agar OSC, bersama-sama Osra, harus diberi masa untuk benar-benar dilihat kesannya kelak terhadap warga Singapura.

OSC merupakan agensi pemerintah sehenti yang bakal mula beroperasi pada 2026 untuk membantu mangsa bahaya dalam talian antaranya seperti penghinaan, fitnah dan pemalsuan.

“Fasal 5(6) Rang Undang-Undang membenarkan Menteri memberi arahan kepada Pesuruhjaya yang bersifat umum atau khas yang tidak bercanggah dengan peruntukan Akta tersebut. Pernyataan penjelasan tidak menjelaskan tentang apakah skop atau bidang kuasa kedua-dua jenis arahan ini.”
Ketua Pembangkang, Encik Pritam Singh.

“Notis amalan ringkas dapat memberi panduan kepada platform (dalam talian), pentadbir dan pengguna untuk bertindak dengan betul dan pantas.”
Anggota Parlimen (AP) GRC Sembawang, Cik Mariam Jaafar.

“Kita mesti berwaspada agar kita tidak mewujudkan masyarakat yang memberatkan litigasi, dengan sesuatu pertikaian dengan mudah dibawa ke mahkamah.”
Anggota Parlimen (AP) GRC Pasir Ris-Changi, Encik Sharael Taha.
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg