Slanga dan istilah baharu bukan ancaman kepada bahasa Melayu, sebaliknya sebahagian daripada evolusinya.

Demikian pandangan lima pelajar Institusi Raffles (RI), meskipun akur kemunculan pelbagai istilah baharu dalam era digital telah meluaskan jurang penggunaan bahasa antara generasi muda dengan generasi lebih berusia.

Malah, mereka berpendapat bahasa Melayu perlu terus berkembang mengikut peredaran zaman agar kekal relevan, tanpa mengorbankan warisan, nilai dan kebijaksanaan yang membentuk identitinya.

Hasil mengutarakan pandangan itu, kumpulan tersebut muncul juara pertandingan, Piala Podcast, yang julung-julung kali dianjurkan.

Ia diusahakan bersama Berita Harian (BH) dan Institut Millennia (MI) pada 4 Julai.

Pasukan juara itu terdiri daripada pelajar RI tahun kelima, Ariana Atiqah Ramdzan, Kelly Michelle Wang, Marsha Shakirah Muchamed Sha’ari, Siti Maisara Muhammad Rashik dan Andi’ Syafiah Andi’ Khalid, kesemuanya 17 tahun.

Seramai 36 pelajar prauniversiti daripada sembilan institusi pengajian tinggi menyertai pertandingan itu, yang menyediakan wadah kepada pelajar menghasilkan podcast dan mengetengahkan idea mereka, sekali gus menggalakkan penggunaan bahasa Melayu dalam komunikasi digital.

“Penggunaan bahasa Melayu semakin berkurangan dalam kalangan pelajar, terutama apabila ramai kini lebih selesa bertutur dalam bahasa Inggeris, termasuk di rumah.

“Pada masa yang sama, kemunculan slanga di media sosial turut menjejas cara kita menggunakan bahasa Melayu dalam kehidupan harian.

“Kami rasa isu ini penting kerana penguasaan bahasa berkait rapat dengan budaya dan akar umbi kita,” kata Ariana, sebagai wakil kumpulan ketika ditemui BH.

Menerusi rakaman podcast sepanjang 15 minit itu, kumpulan RI membentangkan beberapa keadaan yang menunjukkan bagaimana penggunaan slanga secara tidak terkawal boleh mencetus salah faham dalam kehidupan harian.

Perdebatan itu digerakkan menerusi watak cereka, Budi Yasa, seorang pempengaruh media sosial yang ‘didakwa’ memperkenalkan pelbagai istilah baharu menerusi wadah digital.

Menerusi watak tersebut, kesan penggunaan slanga terhadap generasi muda dikupas, termasuk dalam konteks akademik dan hubungan antara generasi.

“Penggunaan istilah baharu yang dicipta atau diubah suai oleh generasi muda boleh mewujudkan jurang pemahaman apabila generasi lebih berusia tidak lagi memahami makna atau konteks penggunaannya.

“Jika bahasa percakapan, singkatan dan slanga digunakan secara keterlaluan sehingga menjadi tabiat, remaja akan lebih cenderung menggunakannya dalam setiap aspek kehidupan.

“Perkara ini semakin ketara dalam penulisan dan perbincangan mereka,” katanya.

Bagaimanapun, perkembangan itu tidak seharusnya ditolak sepenuhnya, ujar Ariana.

Sebaliknya, bahasa Melayu perlu terus berkembang mengikut peredaran zaman, namun perubahan itu perlu berlaku secara seimbang supaya warisan bahasa tidak terpinggir.

Malah, slanga mempunyai tempat dalam perbualan harian, tetapi penggunaannya perlu mengambil kira konteks.

“Keseimbangan ialah kuncinya.

“Slanga moden boleh digunakan dalam perbualan harian golongan belia supaya bahasa Melayu terus kedengaran segar dan dekat dengan mereka.

“Namun, bahasa baku serta adab dan nilai yang menjadi tunjang budaya kita tidak boleh sesekali diketepikan.

“Kita perlu tahu membezakan keadaan yang sesuai untuk menggunakan bahasa yang lebih santai dengan slanga moden, dan bila kita perlu menjaga martabat serta ketulenan bahasa ibunda.

“Cabaran melestarikan bahasa Melayu dalam era penyejagatan tidak bermakna kita perlu mengorbankan keaslian dan jati diri bahasa itu,” ujarnya.

Penyertaan dalam pertandingan itu turut mengubah tanggapan mereka terhadap podcast.

Jika sebelum ini mereka menganggap penerbitan podcast memerlukan latihan dan kemahiran profesional, pengalaman menghasilkan karya sendiri membuktikan medium itu mudah diakses dan mampu menjadi wadah berkesan untuk membincangkan isu bahasa dan budaya.

“Sebelum ini saya ingat menghasilkan podcast itu sukar dan memerlukan latihan khas.

“Tetapi selepas menyertai program ini, saya sedar dengan satu topik yang baik dan rakan-rakan yang serasi, perbualan biasa pun boleh menjadi sebuah podcast.

“Saya harap lebih ramai belia berani meneroka medium baharu dan menggunakan bahasa Melayu dalam kehidupan harian,” katanya.