Masyarakat
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Rumah terbuka Istana 3 Ogos raikan SG60

Jul 24, 2025 | 7:03 PM
Rumah terbuka Istana 2025 meraikan tema SG60, “Membina Singapura Kita Bersama”.
Rumah terbuka Istana 2025 meraikan tema SG60, “Membina Singapura Kita Bersama”. - Foto fail

Istana akan dibuka kepada orang ramai pada 3 Ogos, dari 8.30 pagi hingga 6 petang sempena Hari Kebangsaan.

Pengunjung boleh menantikan pelbagai aktiviti yang menyeronokkan untuk memperingati ulang tahun Singapura ke-60 (SG60) yang mencerminkan tema tahun ini, “Membina Singapura Kita Bersama”.

Ini termasuk peluang untuk mengambil bahagian dalam percubaan sukan seperti boccia, bola tampar duduk dan memanah maya – semuanya direka untuk melibatkan peserta dengan semua kebolehan.

Pengunjung juga boleh melangkah masuk ke dalam trak seni jelajah Galeri Nasional, mencipta karya seni bersama artis tempatan Heman Chong, dan mengubah sisa fabrik menjadi barang baru dalam Twine Together!, kerjasama antara Lembaga Warisan Negara (NHB) dengan Uniqlo.

Terdapat beberapa siri persembahan termasuk oleh penyanyi-penulis lagu tempatan LAYYI dan Sherman Zhuo, dari 10 pagi hingga 4.30 petang.

Penghibur pelajar juga akan naik ke pentas, termasuk kumpulan angklung dan kulintang dari Sekolah Rendah Bukit View, kumpulan loceng tangan dari Sekolah Rendah Woodlands, kumpulan nyanyian paduan suara dari Madrasah Alsagoff Al-Islamiah, dan kumpulan konsert Institusi Hwa Chong.

Makanan ringan boleh dibeli dari gerai makanan dan minuman di lokasi.

Gerai barangan akan menawarkan cenderahati Istana dan Cabaran Presiden edisi terhad, dan sehingga 10,000 beg cenderahati Hari Kebangsaan juga akan diagih.

Pintu masuk ke rumah terbuka itu hanya melalui pintu utama di Orchard Road dengan stesen MRT terdekat ialah Dhoby Ghaut.

Masuk adalah percuma untuk warga Singapura dan penduduk tetap, termasuk penjaga mereka.

Bayaran masuk bagi semua pelawat lain ialah $20 bagi setiap orang dewasa dan $10 bagi setiap kanak-kanak berusia antara empat dengan 12 tahun. Kanak-kanak di bawah empat tahun boleh masuk secara percuma.

Maklumat lanjut mengenai rumah terbuka boleh didapati di laman web istana, go.gov.sg/visitistana

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg