Di beranda sebuah rumah kampung, diiringi alunan syair yang dibacakan saban minggu, Dr Sae’da Buang, mula mengenal dunia penceritaan sejak kecil.

Ketika itu, ibunya, Allahyarhamha Salbiah Kassim, kerap membacakan hikayat yang sarat dengan pengajaran dan emosi kepada kaum Hawa di kampung mereka.

Dalam suasana sederhana itulah, benih kecintaan terhadap bahasa dan sastera mula berakar dalam diri Dr Sae’da, sebagaimana yang diceritakannya kepada Berita Minggu (BM).

Selepas lebih dua dekad mencurah bakti dalam bidang pendidikan guru dan kesusasteraan Melayu, mantan Penolong Ketua (Bahasa Melayu) bagi Jabatan Bahasa dan Budaya Asia di Institut Pendidikan Nasional (NIE)-Universiti Teknologi Nanyang (NTU) itu menamatkan khidmatnya pada 1 Mei lalu.

Keputusan tersebut sebenarnya telah lama tertangguh sejak 2020, selepas Dr Sae’da, kini 69 tahun, beberapa kali diminta melanjutkan khidmatnya sebelum akhirnya memilih untuk bersara tahun ini (2026).

Tokoh yang turut dikenali sebagai penyair serta penulis cerpen dan sajak itu akan digantikan oleh Pensyarah Bahagian Bahasa dan Kebudayaan Melayu, Jabatan Bahasa dan Budaya Asia di NIE-NTU, Dr Roszalina Rawi.

Kini sekitar dua minggu selepas persaraan, Dr Sae’da, ibu tiga anak, berkata beliau melihat fasa baharu itu sebagai peluang kembali kepada karya yang sekian lama terbuku dalam fikirannya, iaitu cerita yang menyelami jiwa masyarakat dan menyingkap sisi kehidupan yang sering terlepas daripada perhatian umum.

“Saya rasa saya akhirnya akan ada lebih banyak ruang dan waktu untuk kembali menulis.

“Sebenarnya, sudah lama saya simpan pelbagai cerita dalam fikiran saya, termasuk pengalaman ketika berada di luar negara.

“Selama ini mungkin kekangan masa membataskan saya, tetapi semua pengalaman itu saya simpan dan insya-Allah saya berharap dapat mengolahnya menjadi karya nanti,” katanya, yang juga mempunyai dua cucu.

Selain peranan beliau di NTU, Dr Sa’eda juga pernah berkecimpung dalam pelbagai inisiatif kesusasteraan, akademik dan pembangunan bahasa Melayu, termasuk sebagai Ahli Lembaga Pengarang bagi Jurnal Kesusasteraan Melayu, Dewan Bahasa dan Pustaka, Malaysia serta Pengerusi Bersama Jawatankuasa Pemilihan Anugerah SEA Write di bawah Majlis Buku Singapura sejak 2010.

Menurut beliau, pengalaman mendengar syair dan hikayat sejak kecil bukan sahaja memperkenalkannya kepada keindahan bahasa Melayu, malah membentuk cara beliau memahami manusia dan masyarakat.

“Daripada amalan itu, saya mengenali tentang jiwa masyarakat Melayu… mengenai impian orang Melayu, dan juga kesabaran serta ketabahan mereka apabila menghadapi cabaran besar dalam masyarakat.

“Dari kecil, saya sudah tanamkan hasrat menulis cerita-cerita seperti itu, dengan bahasa yang indah, tetapi juga membawa makna kepada masyarakat,” tambah beliau.

Pengaruh tersebut telah mencorakkan kecenderungan penulisannya untuk mengangkat naratif yang berakar pada realiti, khususnya suara golongan yang sering terpinggir.

Ia termasuk dalam karya beliau seperti cerpen Razi, yang menelusuri pergolakan emosi seorang ibu yang membesarkan anak berkeperluan khas.

Demi memastikan kejujuran penceritaan, Dr Sae’da menjalankan pemerhatian mendalam selama hampir enam bulan melibatkan sebuah keluarga sebenar.

Mengimbau kembali proses tersebut, beliau menyelami rutin harian keluarga itu, dari waktu makan hingga kunjungan ke hospital dan sekolah, bagi memahami secara langsung pengalaman yang mereka lalui.

Lebih daripada sekadar wadah ekspresi kreatif, hasil karya itu adalah salah satu cara beliau melaksanakan amanah untuk mengetengahkan suara yang kurang didengari, kata beliau.

“Cerita itu berdasarkan kejadian nyata… saya bukan sekadar menulis, malah memerhati, mendengar dan cuba memahami kehidupan mereka supaya kejujuran itu dapat dirasakan oleh masyarakat.

“Saya terpanggil apabila sesuatu watak itu dirasakan terpinggir atau tidak dilayani secara adil oleh masyarakat.

“Saya rasa suara mereka perlu diketengahkan supaya dapat didengari,” katanya.

Pendekatan tersebut turut mencerminkan keyakinannya bahawa kesusasteraan mampu memupuk empati dan memperluas pemahaman masyarakat.

“Isu yang saya angkat mungkin berlaku dalam satu masyarakat, tetapi sebenarnya ia bukan unik, malah turut dialami oleh masyarakat lain.

“Yang berbeza hanyalah nama dan latarnya,” ujar beliau merujuk kepada cerpen Razi yang pernah digunakan dalam perbincangan merentas masyarakat.

Apabila ditanya tentang perkara yang memberinya keyakinan terhadap masa depan dunia penulisan tempatan, beliau berkata:

“Saya sangat gembira kerana dalam kalangan para pelajar saya, terdapat ramai yang sudah mula menulis… malah ada yang kini sudah menempa nama di Singapura.

“Mereka bukan sahaja menulis, bahkan menulis dengan kesedaran untuk membentuk masyarakat.

“Saya tidak takut kita tidak ada golongan penulis pelapis. Kita sebenarnya ada, dan ini sangat menggembirakan saya.”