Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

S’pura-Mesir teruskan misi kemanusiaan, bantuan perubatan ke Gaza

Zaqy ucap terima kasih kepada Persatuan Bulan Sabit Merah Mesir kerana mudahkan kiriman bantuan
Feb 17, 2025 | 7:23 PM
Menteri Negara Kanan (Pertahanan merangkap Tenaga Manusia), Encik Zaqy Mohamad (kiri), bertemu Timbalan Perdana Menteri Mesir bagi Hal Ehwal Pembangunan Manusia merangkap Menteri Kesihatan dan Penduduk, Dr Khaled Abdelghaffar, ketika melawat Mesir.
Menteri Negara Kanan (Pertahanan merangkap Tenaga Manusia), Encik Zaqy Mohamad (kiri), bertemu Timbalan Perdana Menteri Mesir bagi Hal Ehwal Pembangunan Manusia merangkap Menteri Kesihatan dan Penduduk, Dr Khaled Abdelghaffar, ketika melawat Mesir. - Foto MINDEF

Singapura akan terus meneroka dan mengusahakan kerja kemanusiaan bagi golongan memerlukan di Gaza, khususnya dalam menghulur bantuan perubatan menerusi jalinan kerjasama dengan Mesir.

Dalam lawatannya ke Mesir pada 15 dan 16 Februari, Menteri Negara Kanan (Pertahanan merangkap Tenaga Manusia), Encik Zaqy Mohamad, akur pada kesepakatan itu dan telah membincangkan mengenai keselamatan serantau serta kerjasama lanjutan antara kededua negara.

Ini dijelaskan dalam kenyataan Kementerian Pertahanan (Mindef) pada 16 Februari.

Menurut kenyataan itu, Encik Zaqy telah mengadakan pertemuan dengan Timbalan Perdana Menteri Mesir bagi Hal Ehwal Pembangunan Manusia merangkap Menteri Kesihatan dan Penduduk, Dr Khaled Abdelghaffar, serta Penolong Menteri Pertahanan Mesir bagi Hal Ehwal Luar Negara, Jeneral Walaa Adel Bibers.

Beliau berterima kasih kepada Mesir kerana menyokong pengerahan Pengangkutan Tangki Pelbagai Peranan (MRTT) Angkatan Udara Republik Singapura (RSAF) yang mengirimkan bantuan kemanusiaan kepada Gaza.

Pasukan perubatan turut dikerahkan ke kapal hospital, FS Dixmude, pada Januari bagi merawat penduduk Gaza yang cedera di Pelabuhan El-Arish di Mesir.

Keadaan keselamatan serantau turut dibincangkan di samping usaha meninjau bidang bagi kerjasama lanjutan antara Singapura dengan Mesir, khususnya dalam memberi bantuan perubatan untuk menyokong misi kemanusiaan ke Gaza.

Mengulas lanjut mengenai pertemuannya bersama Dr Khaled menerusi Facebook pada 17 Februari, Encik Zaqy berkata pertemuan itu membincangkan kemungkinan kerjasama, antaranya peluang bagi Singapura menempatkan pasukan perubatan bagi menyokong usaha berterusan Mesir dalam menyediakan bantuan perubatan untuk Gaza.

“Bagi pihak pemerintah Singapura, saya mengucapkan terima kasih kepada beliau (Dr Khaled) atas peranannya dalam memudahkan penghantaran pakej bantuan kemanusiaan Singapura untuk Gaza pada November 2023,” ujarnya.

Pada hujung November 2024, Singapura telah menghantar bekalan tambahan melalui pengerahan pesawat MRTT ke El-Arish.

Encik Zaqy turut menyampaikan penghargaan Singapura kepada Persatuan Bulan Sabit Merah Mesir (ERC) dalam memudahkan penghantaran bantuan kemanusiaan Singapura pada November 2023.

Beliau bertemu Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif ERC, Dr Amal Emam, dan melawat pusat operasi mereka.

Antara perkara yang dibincangkan ialah peluang kerjasama antara Singapura dengan ERC dalam menyalurkan lebih banyak bantuan kemanusiaan ke Gaza.

Encik Zaqy turut diberi taklimat mengenai usaha bantuan perubatan dan kemanusiaan ERC untuk Gaza serta cabaran yang dihadapi dalam melaksanakan operasi di sana.

Dalam pada itu, Encik Zaqy juga bertemu dengan Pengarah Umum, Dr Ramzy Monir Abdelazim Mostafa, yang berkongsi mengenai usaha hospital di Mesir dalam menyediakan rawatan dan penjagaan perubatan kepada pesakit dari Gaza.

Lawatan yang diadakan di Hospital Insurans Ibu Kota Pentadbiran Baru itu juga memberi Encik Zaqy peluang untuk berinteraksi dengan pesakit yang sedang menerima rawatan di hospital tersebut akibat kecederaan yang dialami semasa berada di Gaza.

Lawatan Encik Zaqy ke Mesir menggariskan hubungan pertahanan yang erat dan mesra antara Singapura dengan Mesir.

Sebelum lawatannya ke Mesir, Encik Zaqy, telah melawat Amman, Jordan, pada 12 Februari, bagi menghulurkan bantuan kemanusiaan Singapura yang ketujuh bagi Gaza.

Sebanyak sembilan tan – merangkumi bekalan perubatan, makanan dan produk keperluan wanita – dikirimkan kepada Pertubuhan Amal Jordan Hashemite (JHCO) sebelum ia kemudian disalurkan ke Gaza.

Encik Zaqy juga mengadakan pertemuan bersama Ketua Staf Bersama Angkatan Bersenjata Jordan (JAF), Mejar Jeneral Yousef Al-Huneiti, pada 13 Februari.

Mereka membincangkan peluasan sokongan penjagaan kesihatan bagi pesakit Gaza yang terjejas dek konflik Israel-Hamas.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg