Di era di mana kebanyakan pintu rumah hanya dibuka kepada tetamu yang dikenali, siapa sangka masih wujud kumpulan kanak-kanak yang mengetuk pintu rumah orang yang mereka tidak kenali semata-mata untuk mengucapkan salam Lebaran, di samping collect duit Raya.
Fenomena ini adalah perkara biasa pada suatu ketika dahulu, terutamanya dalam suasana kampung.
Kini, amalan itu semakin jarang kelihatan, lebih-lebih lagi di kawasan perumahan yang mengutamakan privasi.
Namun, bagi segelintir keluarga seperti keluarga Cik Ana Mardhiah Rahim, mereka masih sempat merasai nikmat dan nostalgia tradisi itu.
“Assalamualaikum cik, boleh kami beraya?”
Laungan suara kanak-kanak yang riang itu kedengaran dari luar pintu rumah Cik Ana, 46 tahun, pada pagi Syawal 2023.
Berkongsi dengan Berita Minggu (BM), Cik Ana berkata keluarganya baru sahaja pulang dari solat Aidilfitri dan beliau sedang bersiap-siap di dapur ketika mereka dikejutkan dengan kehadiran empat tetamu kecil yang tidak dikenali.
“Mereka comel sangat, suara pun nyaring! Mereka pakai baju Raya warna-warni berbeza, jadi saya rasa mereka bukan adik-beradik, tapi kawan-kawan sekolah,” kongsi Cik Ana sambil ketawa kecil.
Berpindah ke sebuah flat tiga bilik di Bedok yang baru dihuninya beberapa bulan sebelum itu, Cik Ana tidak menyangka pintu rumahnya yang terbuka menjadi ‘sasaran’ kumpulan kanak-kanak tersebut.
Tambahnya, itu mungkin kerana pintu unitnya satu-satunya pintu yang terbuka dari enam unit di tingkat itu. Lima unit diduduki keluarga Melayu manakala satu lagi diduduki keluarga Cina.
“Ia sekitar 9.30 pagi, saya tengah masak lagi masa tu, jadi kami cuma beri kanak-kanak itu duit Raya, tak sempat jemput masuk pun. Tapi hati rasa seronok sangat tengok gelagat mereka,” katanya.
Tahun berikutnya, pada 2024, keempat-empat kanak-kanak itu muncul lagi.
Menurut Cik Ana, mereka sekali lagi tiba di luar rumahnya pada awal pagi, lengkap berbaju Raya, dengan senyuman lebar terukir di wajah mereka. Sekali lagi, keluarganya tidak sempat mengajak mereka masuk.
“Tahun ni (2025), suami saya dan saya siap-siap awal sebab saya yakin mereka akan datang lagi. Tapi sayangnya, mereka tak muncul. Rasa hampa juga,” luahnya.
Namun bagi Cik Ana, pengalaman itu cukup bermakna. Ia menghidupkan kembali kenangan silam, khususnya cerita-cerita yang pernah dikongsi oleh arwah neneknya tentang suasana di Kampung Engku Aman yang tiada lagi sekarang.
“Arwah nenek saya pernah kata, lepas makan pada pagi Raya, ramai kanak-kanak akan berkumpul dan pergi beraya dari rumah ke rumah.
“Mereka makan kuih sikit, ambil duit Raya, dan terus ke rumah seterusnya. Waktu itu tak kenal pun tak apa, semua pintu terbuka,” ujarnya.
Fenomena beraya di rumah orang yang tidak dikenali mungkin nampak luar biasa di zaman moden.
Namun, ia satu tradisi yang menyemai semangat kejiranan dan perpaduan, kata Cik Ana, ibu kepada dua anak lelaki berusia 22 dan 21 tahun. Beliau percaya budaya itu wajar diteruskan.
“Kalau anak-anak saya masih kecil, dan mereka minta izin nak beraya macam tu, saya pasti benarkan. Ini cara mereka belajar berinteraksi dan mengenali jiran,” tambahnya.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg