Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Raya ‘lain macam’: Tradisi lama, yang baru dan yang hilang

Saji kuih Raya, beri duit Raya antara tradisi dikekal, kini joget TikTok raya pula..
Apr 13, 2025 | 5:30 AM
(Dari kiri) Hilya Dahlia Mohd Haarifan bersama sepupunya, Hanis Arianna Mohd Suhaidi dan adiknya Hifza Dalilah Mohd Haarifan teruja dapat melawat saudara mara dan kumpul duit Raya setiap tahun.
(Dari kiri) Hilya Dahlia Mohd Haarifan bersama sepupunya, Hanis Arianna Mohd Suhaidi dan adiknya Hifza Dalilah Mohd Haarifan teruja dapat melawat saudara mara dan kumpul duit Raya setiap tahun. - Foto BM oleh NUR DIYANA TAHA

Tradisi lama dan baru bertembung setiap kali Hari Raya tiba.

Sajian kuih Raya, pemberian duit Raya dan amalan ziarah-menziarahi antara tradisi dikekal.

Tetapi kini, muncul trend baru – rakam ‘TikTok’ semasa beraya pula.

Berita Minggu (BM) kali ini mengupas tradisi ‘Yang Kekal, Yang Hilang dan Yang Baru’ berkaitan sambutan perayaan yang dinanti-nantikan setiap tahun.

Pemberian sampul ‘hijau’ atau duit Raya kini dianggap secara meluas sebagai tradisi lama.

Ia mencetuskan perdebatan dalam talian baru-baru ini apabila seorang wanita mengaku beliau sudah tidak lagi memberi duit Raya sejak lima tahun lalu, berikutan kejadian kurang menyenangkan melibatkan kanak-kanak yang mengeluh apabila menerima $4.

Tinjauan Berita Minggu (BM) ke atas 56 responden menunjukkan 89.3 peratus tidak rasa ‘tertekan’ dan memberi duit Raya mengikut kemampuan.

Tinjauan itu turut menunjukkan sekitar 69 peratus atau tujuh dalam 10 responden memberi sekurang-kurangnya $4 atau $5.

Sementara tradisi duit Raya masih dikekalkan, ada juga budaya yang hampir ‘hilang’ dan jarang didengar.

Mungkin ada segelintir yang masih ingat, kanak-kanak kecil mengetuk pintu untuk beraya – mereka bukanlah saudara atau kenalan, malah kanak-kanak dari kejiranan yang datang berkunjung untuk mendapatkan duit Raya.

Buat kali pertama, Cik Ana Mardhiah Rahim, 46 tahun, menerima tetamu sebegitu pada 2023 apabila beliau berpindah ke kawasan Bedok.

“Seumur hidup saya, tak pernah mengalami tetamu seperti ini – lucu kerana saya sama sekali tidak mengenali mereka tetapi suami saya tetap berikan duit Raya dan suruh mereka pulang saja, tak perlu datang rumah,” kata Cik Ana.

Sementara itu, pencuci mulut sajian Raya berkembang mengikut peredaran zaman – daripada kuih Melayu tradisional seperti tart nanas dan kuih makmur kepada ciptaan lebih baru – seperti hidangan coklat pistasio yang mendapat cetusan inspirasi daripada perisa Timur Tengah.

Pengarah Urusan Siti’s Delights, Cef Siti Mastura Alwi, berpendapat tiada salahnya mengikut peredaran masa tetapi berharap masyarakat dapat mengekalkan beberapa kuih tradisional juga.

“Setidak-tidaknya, boleh saja ubah suaikan bentuk kuih, tapi kekalkan rasa dan intinya,” kata Cef Siti Mastura yang juga dikenali sebagai pejuang juadah tradisional.

Sementara tradisi lama dipelihara, ada pula trend baru yang timbul dan memenuhi ruang media sosial, terutama pada musim perayaan ini.

Hantaran video bertubi-tubi menunjukkan keluarga, sahabat handai dan teman sekerja cuba menari mengikut trend TikTok terkini, mencetuskan budaya baru yang ‘mesti buat’ pada musim Raya.

Cik Nadhirah Alin, 33 tahun, yang berkongsi video TikTok sejak 2022 bersama keluarganya berkata ia mengeratkan silaturahim antara keluarga dan menyeronokkan.

“Sebenarnya, pak cik dan mak cik saya yang lebih teruja.

“Mereka sentiasa terbuka untuk melakukan trend TikTok apabila kami berkumpul.

“Untuk menyenangkan mereka, kami memilih gerakan yang mudah diikuti, dan merakamnya dalam lima hingga 10 minit saja,” katanya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg