Masjid Darul Aman perkukuh khidmat kepada jemaah, perluas dakwah rentas digital

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Masjid Darul Aman perkukuh khidmat kepada jemaah, perluas dakwah rentas digital

Sesuaikan latihan pertingkat kecemerlangan khidmat; tubuh pasukan media urus penstriman langsung, kandungan digital
Feb 7, 2026 | 5:30 AM

Masjid Darul Aman perkukuh khidmat kepada jemaah, perluas dakwah rentas digital

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula
Singapore, Masjid Darul Aman, mosque, SalamSG
Pengerusi Masjid Darul Aman, Encik Mohamad Firdhaus Abdul Jaber (dua dari kanan), memantau persiapan penstriman langsung oleh kakitangan masjid, terdiri (dari kanan) Ustaz Muhammad Asadullah Zulkiflee; Ustaz Muhammad Hazim Mohd Isa; dan Ustaz Harun Omar, bagi sebuah program masjid, iaitu siri ‘Kuliah Harian’. - Foto BH oleh NUR DIYANA TAHA

Bukan sekadar memberi perkhidmatan lebih baik kepada jemaah, bahkan mendekati masyarakat lebih luas melalui dunia digital.

Itulah yang dilakukan Masjid Darul Aman, yang mengambil pendekatan dua hala bagi menyuntik nafas baru dalam program-program masjidnya di bawah Gerakan SalamSG (SSGM) sejak ia dilancarkan pada April 2022.

Ini khususnya dengan memperkukuh budaya perkhidmatan dalam kalangan kakitangan dan sukarelawan masjid, serta memperluas jangkauan digital untuk berhubung dengan masyarakat dengan lebih berkesan.

SSGM adalah sebuah inisiatif yang diterajui masjid dan Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) untuk menyegarkan program masjid serta memperkukuh amalan keagamaan melalui kedua-dua kaedah iaitu secara fizikal dan dalam talian.

Dalam usaha melakukan demikian, masjid yang terletak di 1 Jalan Eunos itu telah memperkenalkan satu inisiatif utama di bawah gerakan itu untuk menyesuaikan latihan bagi mempertingkatkan kecemerlangan perkhidmatan sebelum Ramadan bagi kakitangan dan sukarelawan masjidnya.

Ketika dihubungi Berita Harian (BH), Pengerusi Masjid Darul Aman, Encik Mohamad Firdhaus Abdul Jaber, berkata walaupun program latihan tersebut lazimnya dihadiri oleh pemimpin tertentu, pihak masjid telah mewujudkan sesi usrah sendiri bagi memastikan pengajaran dan ilmu daripada latihan itu dapat disampaikan kepada seluruh pasukan.

“Setiap tahun, latihan ini memberi kesan yang baik kepada pasukan kami. Namun, memandangkan tidak semua dapat menyertainya, lazimnya hanya ketua-ketua yang hadir.

“Setelah itu, mereka akan berkongsi apa yang dipelajari semasa latihan itu kepada pasukan masing-masing.

“Oleh itu, kami mewujudkan sesi usrah sebelum Ramadan untuk kakitangan dan sukarelawan di peringkat masjid bagi melengkapkan mereka dengan kemahiran perkhidmatan, di samping memberi pengukuhan rohani.

“Kami sedar bahawa kakitangan masjid juga memerlukan kekuatan rohani supaya niat sentiasa terpelihara dan Insya-Allah, kami dapat memberikan perkhidmatan serta pengalaman yang lebih baik kepada jemaah,” ujar beliau.

Sesi usrah itu diadakan setiap suku tahun bagi kakitangan dan dua kali setahun untuk sukarelawan masjid.

Ia memberi tumpuan kepada cara menangani jemaah dengan penuh kesabaran dan sikap positif, khususnya apabila berhadapan dengan keadaan mencabar.

Ini seperti menekankan pemahaman lebih mendalam terhadap psikologi perkhidmatan, supaya dapat memahami latar belakang serta keadaan jemaah dengan lebih baik.

“Kakitangan dan sukarelawan masjid diajar cara meredakan situasi, khususnya apabila keadaan tegang.

“Ini misalnya dengan mengalihkan perhatian dan merendahkan nada suara bagi memberi ruang dan masa agar keadaan kembali tenang,” ujar Encik Firdhaus.

Dengan sebahagian besar jemaah Masjid Darul Aman merupakan warga emas yang tinggal di kawasan Eunos dan sekitarnya, kakitangan dan sukarelawan masjid turut dilatih agar lebih peka terhadap keperluan mereka.

Contohnya, lebih prihatin terhadap jemaah yang menggunakan Alat Mobiliti Peribadi (PMD) serta membantu menempatkan mereka di ruang yang memudahkan pergerakan keluar masuk.

“Setiap masjid melayani segmen masyarakat yang berbeza dan adalah bermanfaat apabila kandungan latihan kecemerlangan perkhidmatan disesuaikan mengikut konteks setempat bagi membantu kakitangan dan sukarelawan memberikan perkhidmatan yang lebih berkesan,” tambah beliau.

Sejak sesi usrah itu diadakan, Encik Firdhaus berkata pihak masjid telah menerima maklum balas positif daripada jemaah tentang perkhidmatan dan layanan yang disediakan kakitangan masjid.

Beliau memerhatikan kakitangan dan sukarelawan masjid kini lebih sabar dan prihatin dalam memenuhi keperluan jemaah.

“Maklum balas yang diterima daripada sukarelawan masjid juga adalah positif, bahkan mereka turut bertanya bila sesi usrah seterusnya akan diadakan,” ujar beliau.

Di samping itu, Masjid Darul Aman juga telah menyahut penekanan SSGM supaya memperkukuh amalan keagamaan bukan hanya secara fizikal di masjid, bahkan di dalam talian juga.

Ini seperti penstriman langsung kelas-kelas agama, pembelajaran Al-Quran secara dalam talian, serta penglibatan aktif di wadah media sosial seperti Facebook, Instagram dan TikTok.

“Apabila SSGM mula dilancarkan, khususnya semasa tempoh Covid-19, kebanyakan pihak beralih ke ruang maya dan platform dalam talian.

“Sejak itu, Masjid Darul Aman terus mengekalkan penstriman langsung bagi program-programnya, selain menganjurkan lebih banyak inisiatif secara maya, termasuk melalui media sosial,” ujar Encik Firdhaus.

Bahkan, masjid itu telah menubuhkan sebuah pasukan media kecil untuk menguruskan penstriman langsung dan kandungan digital.

Antaranya, mereka telah mencipta kandungan seperti, Sunnah Bite, sebuah siri perkongsian agama ringkas yang membincangkan trend kontemporari dalam talian, di samping mengetengahkan amalan sunah sebagai sebahagian daripada pembelajaran.

Mengambil kira demografi berbeza untuk setiap wadah media sosial, kandungan dan pendekatan komunikasi turut disesuaikan bagi memastikan mesej dan program yang dikongsi dapat menjangkau pelbagai lapisan masyarakat.

Menyentuh tentang hala tuju usaha masjid dalam lima tahun akan datang bagi mempertingkat kakitangan dan sukarelawannya, Encik Firdhaus berkata:

“Bagi membentuk budaya dan tabiat yang baik dalam kalangan kakitangan serta sukarelawan, ketekalan adalah penting.

“Oleh itu, kami akan terus mengekalkan pendekatan ini menerusi perancangan program dan usaha penglibatan secara berterusan.”

View post on Instagram
 

“Apabila SSGM (Gerakan SalamSG) mula dilancarkan, khususnya semasa tempoh Covid-19, kebanyakan pihak beralih ke ruang maya dan platform dalam talian. Sejak itu, Masjid Darul Aman terus mengekalkan penstriman langsung bagi program-programnya, selain menganjurkan lebih banyak inisiatif secara maya, termasuk melalui media sosial.”
Encik Mohamad Firdhaus Abdul Jaber, Pengerusi Masjid Darul Aman.
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg