SPH Logo mobile
Langgan|
success-icon

Topic followed successfully

Go to BHku

Seni awam satukan bapa, anak autisme dalam misi galak bantu golongan memerlukan

Seni awam satukan bapa, anak autisme dalam misi galak bantu golongan memerlukan

Kempen GiraffeSG@Central ketengah arca bangku pupuk keterangkuman
Apr 9, 2026 | 8:00 PM

Seni awam satukan bapa, anak autisme dalam misi galak bantu golongan memerlukan

kamal dollah, kamal arts, keterangkuman, bangku, seni awam, autisme, golongan memerlukan
Bangku seni awam berbentuk zirafah yang dipasang di VivoCity sempena GiraffeSG@Central anjuran Majlis Pembangunan Masyarakat (CDC) Central Singapura, menjadi peluang kali pertama artis veteran, Kamal Dollah, berkarya bersama anaknya, Mohammed Budiman Kamal, yang berada dalam spektrum autisme dan memiliki komunikasi lisan terbatas. - Foto BH oleh NUR DIYANA TAHA

Berita Harian (BH) mengetengahkan dua karya seni awam sempena Kempen GiraffeSG@Central, anjuran Majlis Pembangunan Masyarakat (CDC) Central Singapore, oleh artis daripada latar belakang berbeza. Kerja seni itu mengajak masyarakat agar lebih prihatin, bersifat terangkum dan berani tampil membantu orang lain dalam kehidupan seharian.

Bagi artis veteran dan pengasas syarikat kesenian, Kamal Arts Limited, Kamal Dollah, sebuah bangku seni awam berbentuk zirafah yang dihasilkan di pusat membeli-belah VivoCity, menjadi peluang pertama beliau berkarya bersama anak istimewanya, Mohammed Budiman Kamal.

Budiman, 18 tahun, mempunyai gangguan spektrum autisme dan memiliki komunikasi lisan terbatas.

Sebagai antara tokoh seni yang memperjuangkan kerja seni masyarakat dalam kalangan penduduk, Kamal, 59 tahun, yang pernah menjadi Presiden Angkatan Pelukis Aneka Daya (Apad), menjelaskan beliau tidak pernah melibatkan anaknya dalam sebarang projek seni secara rasmi.

“Selama ini saya hanya melakukan kegiatan seni bersama Budiman sekadar sebagai permainan di rumah, tapi saya tidak pernah anggap itu sebagai satu proses berkarya bersama secara serius.

“Projek ini yang benar-benar membuka ruang untuk kami menghasilkan sesuatu sebagai memperkukuh jalinan seorang bapa dengan anaknya,” katanya.

Bangku itu adalah sebahagian kerja seni bagi Kempen GiraffeSG@Central, anjuran Majlis Pembangunan Masyarakat (CDC) Central Singapura, yang menampilkan enam bangku, hasil kerjasama alumni Akademi Seni Halus Nanyang (Nafa) di beberapa lokasi tumpuan orang ramai di Singapura bagi tempoh enam bulan sejak 27 Januari.

Direka berlandaskan tema keterangkuman, keprihatinan dan tindakan bersama, bangku zirafah itu bertujuan mengajak orang ramai merenung bagaimana mereka boleh menyumbang kepada masyarakat demi membantu golongan lebih memerlukan.

Dilancarkan pada 27 Januari, Mayor CDC Central, Cik Denise Phua, berkata kerja seni berupa bangku itu menggalakkan orang ramai berhenti sejenak, duduk, dan berhubung dengan masyarakat sekeliling dengan cara baru.

“Enam arca bangku yang indah ini melambangkan lebih daripada sekadar seni awam, namun mencerminkan komitmen kami untuk membawa penglibatan masyarakat bermakna terus ke ruang masyarakat.

“Sebagai karya yang berfungsi, bangku-bangku ini mengajak orang ramai berhenti sejenak, duduk, dan berhubung dengan masyarakat sekeliling,” kata beliau.

Selain Kamal, artis lain seperti Nur Iman Sumani, dan Diamond Nabilah Misson, turut terlibat dalam kempen ini.

Ketika dihubungi Berita Harian (BH), Kamal menjelaskan corak tompok-tompok pada badan zirafah tersebut merupakan hasil kerja Budiman sendiri.

“Budiman sendiri menyembur warna asas, memilih fabrik, dan menampalnya secara rawak pada permukaan bangku itu.

Mohammed Budiman Kamal, menyiapkan corak tompok pada bangku zirafah dengan menggunakan potongan fabrik pelbagai warna sebagai sebahagian projek seni awam GiraffeSG@Central yang dipamerkan di VivoCity.
Mohammed Budiman Kamal, menyiapkan corak tompok pada bangku zirafah dengan menggunakan potongan fabrik pelbagai warna sebagai sebahagian projek seni awam GiraffeSG@Central yang dipamerkan di VivoCity. - Foto ihsan KAMAL DOLLAH

“Di mana dia tampal, di situlah saya reka bentuk sekelilingnya. Saya memberi peluang untuknya meluahkan perasaannya sendiri dan ikut rentaknya,” ujar Kamal.

Menurut Kamal, pemilihan fabrik pelbagai jenis itu melambangkan kepelbagaian latar belakang masyarakat.

Beliau juga ingin menggalakkan orang ramai agar mengambil berat tentang orang lain, lebih-lebih lagi terhadap golongan istimewa.

“Kadang-kadang membantu itu perkara kecil.

“Saya ingin mengalakkan orang ramai untuk lebih prihatin dengan langkah kecil seperti menunjukkan arah kepada orang yang tersesat jalan dan memberi ruang kepada yang memerlukan. Itu pun sudah memadai,” katanya.

Ketika mengimbau kembali pengalamannya menghasilkan bangku itu, beliau berkata ia telah membuka matanya terhadap potensi anaknya.

“Saya sedar mungkin selama ini saya sendiri meremehkan keupayaan Budiman.

“Rupa-rupanya, ada perkara yang boleh saya usahakan bersamanya, malah mungkin bidang seni boleh jadi peluang pekerjaan untuknya kelak,” tambah Kamal.

Sebagai seorang pendidik seni dan aktivis kerja kemasyarakatan, Kamal menganggap seni sebagai ruang ekspresi berkesan buat mereka yang sukar meluahkan dengan kata-kata.

“Bagi remaja istimewa seperti Budiman, seni mungkin menjadi bahasa yang murni untuknya meluahkan apa yang terbuka dalam jiwa,” jelasnya lagi.

“Di mana dia (Budiman) tampal, di situlah saya reka bentuk sekelilingnya. Saya memberi peluang untuknya meluahkan perasaannya sendiri dan ikut rentaknya... Saya sedar mungkin selama ini saya sendiri meremehkan keupayaan Budiman. Rupa-rupanya, ada perkara yang boleh saya usahakan bersamanya, malah mungkin bidang seni boleh jadi peluang pekerjaan untuknya kelak... Bagi remaja istimewa seperti Budiman, seni mungkin menjadi bahasa yang murni untuknya meluahkan apa yang terbuka dalam jiwa.”
Kamal Dollah, pengasas syarikat kesenian, Kamal Arts Limited, yang terlibat dalam Kempen GiraffeSG@Central bersama anak istimewanya, Budiman.
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg