Hiburan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Taufik Batisah ukir kenangan terindah di pentas ‘One Last Dance’

Konsert pertama dan mungkin terakhir dengan sentuhan peribadi petanda cinta pada muzik tidak mati
Jul 13, 2025 | 5:30 AM
Taufik Batisah, konsert, One Last Dance
Setelah mencapai dua dekad dalam industri hiburan Singapura, Taufik atau nama sebenar, Muhammad Taufik Batisah, akhirnya mengumumkan konsert sulung ‘One Last Dance’ pada 25 Oktober, di The Star Theatre, anjuran SAH Entertainment. - Foto BM oleh NUR DIYANA TAHA

Tidak dinafikan bahawa untuk kekal bertahan lama dalam industri muzik tempatan yang kecil, seseorang artis perlu berhadapan dengan pelbagai cabaran dan risiko.

Namun begitu, semangat juang dan pantang menyerah yang dimiliki juara Singapore Idol (Musim Pertama), Taufik Batisah, berjaya menjadikannya antara penyanyi yang cukup disegani di rantau ini.

Sepanjang dua dekad dalam industri hiburan Singapura, Taufik, atau nama sebenarnya, Muhammad Taufik Batisah, 43 tahun, telah berpeluang bekerjasama dengan ramai artis ternama di rantau ini seperti Rossa, Afgan, Jaclyn Victor, Datuk Seri Siti Nurhaliza dan ramai lagi.

Meskipun namanya bersinar di persada seni, jalan yang dilalui Taufik ternyata penuh ranjau dan cabaran yang mendewasakan.

“Dalam tempoh 21 tahun ini, cabaran sebagai anak seni Singapura datang bertali arus. 

“Antara cabaran paling besar ialah bagaimana untuk terus kekal relevan.

“Kita harus mengikut peredaran masa dan buang ego untuk mendengar nasihat orang lain tentang perkembangan muzik. 

“Apa yang dilalui oleh artis generasi baru kini sangat berbeza berbanding apa yang saya lalui sebelum ini.

“Dari situ, saya menyedari bahawa kita harus saling belajar daripada satu sama lain,” kata Taufik apabila ditemui Berita Minggu (BM) pada 7 Julai di sidang media konsert One Last Dance di cawangan Chix Hot Chicken miliknya di Prinsep Street.

Kesedaran untuk kekal bertahan dalam dunia muzik mendorong beliau mula menulis lagu sendiri, lantas meninggalkan zon selesa sebagai penyanyi.

Dalam proses itu, Taufik juga sedar bahawa kebanyakan peminat setianya hadir daripada masyarakat Melayu.

Maka, dalam album kedua berjudul, All Because of You, beliau mencabar diri untuk menulis lagu dalam bahasa Melayu sebagai usaha mendekati golongan peminat ini.

Selain menyanyi, anak bongsu dalam keluarga tiga beradik itu juga mencuba bidang lakonan dalam beberapa drama tempatan seperti Demi Adriana (2014), Tanglin (dari 2016 hingga 2018) dan Gunting (2018).

Beliau juga membintangi filem Soulmate Hingga Jannah (2017).

Konsert One Last Dance pada 25 Oktober di The Star Theatre, malahan, adalah konsert pertama dan mungkin terakhir buatnya, sebagai penawar rindu peminat.

Konsert ini menjadi lambang penghargaan terhadap sokongan peminat sejak awal, selain menghidupkan semula nostalgia untaian lagu yang pernah mengiringi perjalanan seninya.

Berkongsi kepada BM, Taufik mengakui bahawa dalam beberapa tahun kebelakangan ini, fokusnya lebih tertumpu kepada bidang hartanah dan syarikat reka bentuk dalaman miliknya, Ivory Cove. 

Bagaimanapun, minat terhadap muzik tidak pernah padam dan beliau masih aktif membuat persembahan di kaca televisyen.

Menurut Taufik, ilham untuk mengadakan konsert solo sebenarnya timbul sejak 2018. 

Namun, jadual kerja yang padat serta keinginan untuk menyampaikan sebuah persembahan yang benar-benar bermutu tinggi telah menjadi faktor yang membataskan pelaksanaan konsert tersebut.

Ketika ditanya jika konsert ini merupakan penutup tirai buat kerjaya seninya, Taufik berkata: 

“Sebenarnya, tajuk One Last Dance adalah petikan lirik daripada lagu dalam album pertama saya, iaitu Blessings (2005).

“Sebaik melangkah ke dunia hartanah pada 2019, saya membuat keputusan untuk memperlahankan penglibatan dalam arena muzik.

“Dalam fikiran saya, konsert ini adalah yang pertama dan mungkin yang terakhir. 

“Saya ingin memberikan yang terbaik kepada peminat melalui konsert ini sebelum memberi tumpuan penuh kepada kerjaya saya yang lain,” jelas Taufik.

Perancangan konsert ini mula dirangka pada awal 2025, selepas perbincangan bersama penyanyi tempatan, Sufi Rashid, yang kini bertindak sebagai pengasas SAH Entertainment.

Sebelum ini, SAH Entertainment pernah mengendalikan konsert mega membabitkan nama-nama besar seperti Biduanita Negara Malaysia, Datuk Seri Siti Nurhaliza dan artis R&B antarabangsa, Ne-Yo.

Namun begitu, sumber kekuatan dan dorongan utama bagi Taufik lahir daripada isteri tercinta, Sheena Akbal, 40 tahun, yang telah menjadi peneman hidupnya sejak 2015.

“Sheena selalu ingatkan saya untuk terus komited dalam bidang muzik.

“Katanya, buatlah konsert ini demi peminat yang sekian lama menanti, baik karya terbaru mahupun persembahan saya,” kongsi Taufik, sambil mengakui isterinya adalah pembakar semangat terbesar dalam hidup.

Dek pengalaman pahit sewaktu kecil membabitkan perpisahan kedua ibu bapanya, Taufik akur telah membina tembok emosi sebagai pelindung diri dan berusaha berdikari sejak itu.

Namun, selepas mendirikan rumah tangga, beliau sedar bahawa kekuatan sebenar di sebalik kejayaannya hari ini adalah hasil doa dan sokongan tidak berbelah bahagi daripada isterinya, Sheena.

Berhubung dengan lagu yang ‘wajib dinyanyikan’ semasa konsert nanti, penyanyi lagu Usah Lepaskan itu berkongsi bahawa lagu Khayalan daripada album Suria Hatiku (2008) belum pernah dipersembahkan secara langsung sebelum ini.

“Setiap kali saya nyanyikan lagu ini dalam kereta, saya akan menangis. 

“Lagu ini saya tulis khas untuk ibu saya, dan ia benar-benar mencerminkan perasaan saya ketika berjauhan dengannya,” kata Taufik sambil menahan sebak.

Lebih daripada itu, beliau turut berhasrat untuk menampilkan gabungan lagu rancak dan yang menyentuh jiwa supaya peminat bukan sahaja terhibur, malah turut menghayati makna mendalam, khususnya tentang menghargai ibu bapa.

Hal ini turut memberi isyarat bahawa konsert tersebut bakal membuka ruang untuk para peminat menyelami sisi peribadinya yang jarang dikongsi sebelum ini.

Setakat ini, Taufik telah menyenaraikan 31 buah lagu yang akan dipersembahkan bersama iringan orkestra, dengan pengarah muzik terkenal Malaysia, Aubrey Suwito, sebagai pengarah muzik konsert One Last Dance.

Namun, menyedari kekangan masa selama satu setengah jam, Taufik mempertimbangkan untuk menyusun sebahagian lagu dalam bentuk medley agar lebih banyak karya dapat dipersembahkan kepada peminat.

Berkongsi pesanan bagi anak seni tempatan yang ingin terus bertahan dalam industri muzik, Taufik menekankan pentingnya berpegang kepada tiga asas utama dalam kehidupan iaitu doa, usaha gigih dan tawakal.

“Jika sesuatu tidak menjadi seperti yang diharapkan, pasti ada hikmah tersembunyi di sebaliknya,” ujarnya penuh yakin.

Beliau turut menasihati agar tidak meletakkan seluruh harapan pada satu laluan kerjaya semata-mata. 

Sebaliknya, seniman muda digalakkan untuk mempelbagaikan langkah, membina masyarakat seni yang saling menyokong dan bersikap terbuka terhadap kerjasama dengan matlamat dan minat sama.

Tiket untuk konsert One Last Dance yang dijual pada harga antara $78 dengan $228 telah laris dijual pada 9 Julai.

Namun begitu, jualan tiket di Circle 2 dengan harga antara $78 dengan $128 dibuka pada 3 petang, 11 Julai, melalui laman Sistic di https://sistic.com.sg/events/taufik1025

Maklumat lanjut akan dikemas kini di laman Instagram SAH Entertainment sehingga artikel ini diterbitkan.

“Sebaik melangkah ke dunia hartanah pada 2019, saya membuat keputusan untuk memperlahankan penglibatan dalam arena muzik. Dalam fikiran saya, konsert ini adalah yang pertama dan mungkin yang terakhir.  Saya ingin memberikan yang terbaik kepada peminat melalui konsert ini sebelum memberi tumpuan penuh kepada kerjaya saya yang lain.”
Taufik Batisah.
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg