Masyarakat
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Serambi Kg Gelam dilancar, tampung pejabat Perikatan Kg Gelam, ruang acara budaya

Bangunan dua tingkat di 45 Sultan Gate bakal himpun pihak berkepentingan, perniagaan, penduduk lama dan baru demi warisan
Aug 8, 2025 | 6:14 PM
Serambi Kg Gelam, warisan Melayu, Faishal
Butiran lanjut tentang barangan dan arifak berkaitan Kampong Gelam yang dipamerkan di Serambi Kampong Gelam disampaikan kepada (dari kiri) Pengarah Perikatan Kampong Gelam (KGA), Encik Zaki Ma’arof, yang juga pengerusi One Kampong Gelam; Anggota Parlimen GRC Nee Soon, Dr Syed Harun Alhabsyi; Mayor Majlis Pembangunan Masyarakat (CDC) Central, Cik Denise Phua; dan Pemangku Menteri Bertanggungjawab Bagi Ehwal Masyarakat Islam, Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim. - Foto BH oleh SHAFIQ APANDI

Perikatan Kampong Gelam (KGA) – kumpulan sukarelawan terdiri daripada penduduk, institusi budaya, badan perniagaan, pemilik hartanah dan hotel di kawasan bersejarah itu – secara rasmi melancarkan ibu pejabat mereka di 45 Sultan Gate pada 8 Ogos.

Terletak di simpang Sultan Gate dan Baghdad Street, bangunan dua tingkat dengan keluasan lantai kasar (GFA) 231.85 meter persegi itu dinamakan, Serambi Kampong Gelam.

Selain menjadi lokasi ibu pejabat KGA, ia juga menyediakan ruang bagi pihak berkepentingan, perniagaan dan juga penduduk lama dan semasa di kawasan itu berkumpul dan bekerjasama dalam mengadakan kegiatan dan acara budaya dan warisan.

Majlis pelancaran bangunan itu dihadiri Pemangku Menteri Bertanggungjawab Bagi Ehwal Masyarakat Islam, Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim; dan Mayor Majlis Pembangunan Masyarakat (CDC) Central, Cik Denise Phua.

Ditemui Berita Harian (BH), Dr Faishal berkata bangunan tersebut telah lama menjadi sebahagian kisah Kampong Gelam, dan merupakan sebuah ruang yang mencerminkan kedua-dua warisan dan peluang masa depan untuk kawasan bersejarah itu.

“Masa depan Kampong Gelam terletak pada keupayaannya untuk kekal teguh pada nilai-nilainya sambil berkembang untuk memenuhi keperluan generasi akan datang.

“Apabila kita bercakap tentang masa depan Kampong Gelam, ia bukan dari segi rupanya sahaja, tetapi tentang bagaimana rasanya berada di sini, ia menyentuh tentang jiwanya.

“Nilai-nilai yang telah lama membentuk tempat ini – kepelbagian, perusahaan dan masyarakatnya – adalah nilai-nilai sama yang akan membawa kawasan ini ke hadapan,” kata beliau.

“Dengan adanya 45 Sultan Gate, ia akan mempertingkat perjalanan kita untuk menjadikan Kampong Gelam lebih maju dan bertenaga,” tambah Dr Faishal.

Aras satu bangunan itu menampilkan ruang acara, pameran barangan dan artifak yang berkaitan dengan Kampong Gelam, dan juga pejabat KGA, manakala seluruh aras dua adalah ruang bagi acara dan kegiatan diadakan.

Menurut laporan di laman web, Challenge, sebuah penerbitan dalam talian oleh Divisyen Perkhidmatan Awam, 45 Sultan Gate merupakan rumah kedai yang dibina pada era 1800-an, menjadi ‘rumah penjaga’ kepada Istana Kampong Gelam yang berhampiran.

Diwartakan bagi pemuliharaan pada 1989, bangunan tersebut kosong selama hampir 30 tahun sehingga kerja-kerja pemulihan selama 15 bulan dijalankan oleh Penguasa Tanah Singapura (SLA) pada Julai 2017.

Ia turut menampilkan ciri-ciri seperti paras bangunan yang rendah dan hiasan muka bangunan yang minimal – antara gaya rumah kedai terawal di Singapura.

Antara lain, bangunan tersebut telah menjadi tempat Anggota Parlimen (AP) bagi Kampong Gelam pada ketika itu, mendiang Encik S. Rajaratnam, mengadakan Sesi Bertemu Penduduk (MPS) pada 1970-an.

Pengarah tempat KGA, Syed Osman Alsagoff, berkata orang ramai boleh menjangkakan siri kegiatan budaya yang pertama diadakan pada Oktober 2025.

“Ideanya adalah untuk mempunyai sebuah kawasan pusat di tengah-tengah Kampong Gelam – dari tingkat dua, saya boleh lihat kawasan Bussorah, Haji Lane dan sebagainya.

“45 Sultan Gate bertujuan menyediakan ruang acara bagi kerjasama daripada pihak berkepentingan, perniagaan dan juga penduduk lama dan semasa. Ia bukan hanya mengenai komersial, bahkan juga tentang warisan kawasan ini,” kata beliau.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg