Pemerintah sedang meninjau cara untuk menjadikan kawasan sekitar Boat Quay dan Clarke Quay lebih bertenaga melalui usaha berterusan yang menawarkan peluang perniagaan dalam kawasan bandar itu.
Antara lain kawasan Circular Road tidak lama lagi akan disambung semula menjadi zon bebas kenderaan bagi acara dan kegiatan mesra pejalan kaki pada hujung minggu sebelah malam serta sehari sebelum cuti umum.
Menyatakan demikian kepada para pemberita pada 7 Ogos, Menteri Penyelaras bagi Keselamatan Negara merangkap Menteri Ehwal Dalam Negeri, Encik K. Shanmugam berkata, pemerintah telah mengadakan perbincangan dengan Persatuan Perniagaan Hiburan Malam Singapura dan River One Singapura (SRO) tentang cara menghidupkan semula Boat Quay dan Clarke Quay.
“Kami telah meninjau tentang bagaimana menjadikan tempat ini bertenaga – ia sebahagian daripada tarikan Singapura secara keseluruhannya,” kata beliau.
SRO merupakan kerjasama pimpinan sektor privet yang ditugaskan menambah baik kawasan Sungai Singapura menerusi pelbagai kegiatan di kawasan Boat Quay, Clarke Quay dan Robertson Quay.
Bagi zon bebas kenderaan di Circular Road, jalan raya itu akan ditutup pada sebelah malam Jumaat, Sabtu dan sehari sebelum cuti umum pada tarikh yang akan diumumkan.
Inisiatif zon bebas kenderaan itu kali pertama diperkenalkan pada 2013.
Ia merupakan sebahagian daripada usaha menyuntik semangat pada kawasan awam tersebut.
Lorong seperti Haji Lane, Club Street dan Ann Siang Hill, Circular Road dan Liang Seah Street sebelum ini pernah bebas kenderaan pada hujung minggu.
Penutupan jalan raya itu digantung semasa pandemik Covid-19, tapi disambung semula pada Julai 2022 di Kampong Gelam dan Liang Seah Street.
Pelbagai agensi akan menyelaras saranan SRO bagi menyambung penutupan kerap Circular Road, kata pihak berkuasa.
Pada 2009 pelbagai langkah telah diperkenalkan dalam kawasan tersebut bagi menangani kebimbangan berkaitan undang-undang dan peraturan seperti kelakuan tidak senonoh.
“Situasi undang-undang dan peraturan di Boat Quay kekal stabil sejak beberapa tahun lalu,” kata Kementerian Ehwal Dalam Negeri (MHA), Kementerian Perdagangan dan Perusahaan (MTI), dan Kementerian Pembangunan Negara (MND) dalam satu kenyataan bersama.
Pemerintah, menurut laporan The Straits Times (ST), akan bekerjasama dengan perniagaan setempat untuk memastikan mereka lebih bertanggungjawab dalam aspek undang-undang dan peraturan di kawasan itu.
Ia termasuk meningkatkan kerahan keselamatan privet serta langkah keselamatan prasarana.
“Agensi terbabit juga akan bekerjasama dengan pihak berkepentingan setempat bagi memastikan pengurusan yang bertanggungjawab bagi ruang hiburan malam serta kawasan awam di lokasi-lokasi itu,” tambah kenyataan tersebut.
Turut hadir dalam sesi bertemu media ialah Menteri Negara (Perdagangan dan Perusahaan merangkap Pembangunan Negara), Encik Alvin Tan, yang juga Anggota Parlimen (AP) GRC Tanjong Pagar.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg