Dua pertubuhan – Eyeyah! dan Meta – bekerjasama menggunakan wadah kreatif untuk membantu masyarakat mengenal pasti bentuk penipuan.
Mereka akan menggunakan seni visual agar masyarakat, khususnya para pelajar, lebih mudah memahami bentuk penipuan.
Ini penting terutama dengan kehidupan serba pantas di Singapura, agar masyarakat tidak terburu-buru sehingga mengabaikan langkah berjaga-jaga dalam menghadapi bahaya yang wujud di sekeliling mereka.
Eyeyah! dan Meta menyertai Raikan Ilmu@Heartlands 2025 agar dapat meluaskan lagi jangkauan mereka dalam membantu masyarakat dalam melindungi diri daripada penipuan.
Demikian dikongsi Pegawai Perhubungan Pendidikan, Eyeyah!, Cik Isabella Andrews, kepada Berita Harian (BH) dalam satu wawancara baru-baru ini.
Beliau berkata reruai mereka bertujuan mendidik peserta agar lebih berwaspada terhadap penipuan dalam talian.
“Inisiatif ini amat relevan bagi semua lapisan masyarakat di Singapura memandangkan negara ini merupakan antara yang paling terdedah kepada penipuan di dunia.
“Matlamat kami adalah menggalakkan pemikiran kritis dan memperkasa individu daripada semua peringkat usia agar dapat melindungi diri dan keluarga mereka dengan lebih baik dalam talian,” katanya.
Eyeyah!, yang ditubuhkan pada 2017, ialah sebuah wadah pendidikan yang menggunakan seni dan literasi visual untuk mengajar golongan muda tentang isu sosial yang penting seperti penipuan, keresahan, kesejahteraan siber dan kelestarian.
Selain penerbitan, mereka juga mengadakan program pendidikan di sekolah serta melatih guru untuk menggunakan pemikiran kreatif dan reka bentuk bersama pelajar.
Kedua-dua Eyeyah! dan Meta merupakan antara 60 rakan Yayasan Mendaki yang akan mengadakan reruai di Raikan Ilmu@Heartlands 2025.
Lebih 100 kegiatan akan disediakan di acara tersebut yang akan diadakan di tiga lokasi – Our Tampines Hub, Safra Choa Chu Kang, dan Northpoint City.
Namun, Eyeyah! dan Meta hanya akan mengadakan reruai di Safra Choa Chu Kang pada 19 Julai; dan di Northpoint City pada 26 Julai.
Di reruai tersebut, mereka akan mengadakan permainan interaktif yang menggunakan pemerhatian untuk mengajar pemain cara mengenal pasti taktik penipuan dan tanda-tanda amaran.
Selain itu, buku aktiviti ‘Scam’ – bernilai $10 – yang dibangunkan bersama Eyeyah! dan Meta akan diberikan secara percuma di hari acara.
Ia mengandungi beberapa kandungan termasuk penyamaran secara fizikal dan dalam talian, perisian hasad, penipuan pancingan data, deepfake.
“Buku ini menggunakan ilustrasi untuk menggambarkan pelbagai taktik penipuan dan melibatkan pembaca dalam aktiviti serta teka-teki,” tambah Cik Isabella.
Menurutnya, mereka menggunakan alat kreatif seperti ilustrasi dan permainan interaktif untuk memudahkan pemahaman dan menimbulkan kesedaran tentang penipuan lebih menarik bagi masyarakat Melayu.
“Jika anda perhatikan dalam penerbitan kami, terdapat pelbagai ilustrasi dengan unsur-unsur yang berbeza yang secara tidak langsung menerangkan bagaimana penipu menggunakan taktik psikologi untuk memperdaya mangsa.
“Oleh itu, kami banyak menggunakan elemen visual supaya orang ramai dapat mengenal pasti dan memahami mesej yang disampaikan melalui literasi visual,” ujar Cik Isabella.
Ini merupakan kali pertama kedua-dua Eyeyah! dan Meta turut serta dalam Raikan Ilmu@Heartlands.
Sesuai dengan itu, Meta berhasrat menimbulkan kesedaran mengenai penipuan kepada lebih ramai anggota masyarakat di Singapura.
Dalam kenyataan Meta kepada BH, ia berkata:
“Penipuan merupakan isu yang telah lama wujud dan boleh menimpa sesiapa sahaja, di mana-mana wadah – termasuk panggilan telefon, e-mel, wadah pesanan, dan SMS.
“Penipu akan mencari mangsa di mana orang ramai berada, dan dalam menangani cabaran bersama ini, syarikat teknologi, pemerintah, masyarakat sivil serta pengguna sendiri masing-masing memainkan peranan penting.”
Ketua Dasar Awam, Singapura dan Asean, Meta, Cik Clara Koh, pula berkata kerjasama mereka di Raikan Ilmu turut melibatkan Pasukan Polis Singapura (SPF), Majlis Pencegahan Jenayah Kebangsaan (NCPC) serta Agensi Keselamatan Siber (CSA).
“Melalui kerjasama ini, kami berusaha untuk menggabungkan kepakaran kami sebagai wadah media sosial dengan pihak penguat kuasa undang-undang, NCPC dan CSA, serta kepakaran EYEYAH! dalam menggunakan imej-imej yang menarik untuk mendorong orang ramai berfikir secara kritikal,” ujarnya.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg