Dalam pernyataan tuntutan yang difailkan di Mahkamah Tinggi, Menteri Ehwal Dalam Negeri merangkap Undang-Undang, Encik K. Shanmugam, dan Menteri Tenaga Manusia, Dr Tan See Leng, berkata beberapa bahagian daripada satu artikel Bloomberg yang diterbitkan pada 2024 adalah palsu.
Ia juga tidak berasas dan sengaja dibuat untuk memperlekehkan dan menuduh mereka.
Kededua menteri itu, yang memfailkan saman fitnah berasingan terhadap pertubuhan media itu dan wartawannya, Encik Low De Wei, menyatakan tuntutan mereka dalam dokumen yang setiap satu sepanjang 49 muka surat.
Dalam hujah mereka, Bloomberg dan Encik Low menafikan bahawa kata-kata yang diadukan dalam artikel itu, “Singapore mansion deals are increasingly shrouded in secrecy” (Urusan rumah agam Singapura semakin diselubungi kerahsiaan), adalah fitnah atau mampu memfitnah Encik Shanmugam dan Dr Tan, lapor The Straits Times (ST).
Artikel yang diterbitkan pada 12 Disember 2024 adalah mengenai urus niaga banglo kelas baik (GCB) di Singapura. Ia merujuk kepada pembelian tidak berkaveat bagi hartanah tersebut.
Pembeli hartanah membuat kaveat iaitu dokumen undang-undang yang diserahkan kepada Penguasa Tanah Singapura (SLA), untuk mendaftarkan minat dalam sesuatu hartanah dan menghalang individu lain daripada membelinya.
Dalam artikel itu, penulis menyatakan tentang penggunaan struktur amanah oleh Encik Shanmugam untuk menjual banglo di kawasan Queen Astrid Park dan pembelian GCB yang tidak dikaveat oleh Dr Tan di Brizay Park.
Para menteri itu berkata kenyataan dalam artikel itu difahamkan untuk secara palsu, membawa maksud bahawa mereka “telah mengambil kesempatan daripada ketiadaan semakan dan imbangan atau keperluan pendedahan” dalam penjualan dan pembelian hartanah masing-masing dengan “cara tidak telus”.
Mereka menambah bahawa kenyataan itu juga difahamkan bermaksud bahawa mereka mahu menyembunyikan urus niaga itu dan mengelakkan penelitian, termasuk “mengenai kemungkinan pengubahan wang haram”.
Menteri-menteri itu berkata dakwaan itu adalah palsu dan tidak berasas, dan “sengaja dibuat untuk memperlekehkan dan menghina” mereka serta jawatan masing-masing sebagai Menteri Undang-undang dan Ehwal Dalam Negeri di pihak Encik Shanmugam, dan Menteri Tenaga Manusia merangkap Menteri Kedua Perdagangan dan Perusahaan di pihak Dr Tan.
Mereka menyatakan bahawa pada tarikh pernyataan tuntutan itu, artikel itu masih boleh diakses oleh orang awam di Singapura secara amnya.
Mereka menambah bahawa Bloomberg ialah syarikat media dan berita yang terkenal di seluruh dunia dan, pada atau sekitar 16 Ogos 2024, mempunyai lebih 600,000 pelanggan untuk cabang medianya.
Encik Shanmugam dan Dr Tan diwakili oleh sepasukan peguam daripada Davinder Singh Chambers termasuk Encik Davinder Singh, Encik David Fong dan Encik Bryan Wong.
Encik Remy Choo Zheng Xi, Encik Chua Shi Jie dan Encik Donaven Foo dari RCL Chambers Law mewakili Bloomberg dan Encik Low.
Dalam hujahan mahkamah, Bloomberg berkata sebagai wadah berita yang tertumpu kepada pelaporan berkaitan kewangan, pasaran dan ekonomi, ia tidak mempunyai kepentingan atau alasan untuk, dan sebenarnya tidak mencemarkan nama baik menteri-menteri itu.
Ia mengatakan bahawa fokus pertama artikel itu adalah untuk melaporkan bahawa pembelian GCB yang tidak dikaveatkan membawa beberapa faedah privasi dan biasanya berurus niaga pada harga lebih tinggi.
Dan kedua, bahawa pembeli GCB yang tidak mahu identiti mereka boleh ditemui secara umum menggunakan struktur amanah untuk membelinya.
Bloomberg berkata bahawa pada masa penerbitan artikel itu, penjualan GCB Encik Shanmugam telah diketahui umum.
Ia menambah bahawa sebarang rujukan kepada penjual GCB adalah bersampingan dengan fokus artikel itu dan oleh itu tidak boleh difahami sebagai ditujukan kepada beliau atau membuat sebarang rujukan berunsur fitnah kepadanya.
“Transaksi GCB (Encik Shanmugam) disebut dalam artikel itu kerana GCB pihak yang menuntut itu telah dibeli melalui satu struktur amanah.
“Ia hanyalah satu contoh pembelian GCB menggunakan struktur amanah,” kata Bloomberg.
Pertubuhan media itu menambah bahawa pembelian tanpa kaveat Dr Tan hanyalah satu daripada empat contoh pembelian sedemikian yang digunakan dalam artikel itu.
Ia berkata sudah diketahui umum di Singapura bahawa Dr Tan merupakan individu kaya dan merupakan ketua pegawai eksekutif sebuah konglomerat penjagaan kesihatan yang disenaraikan secara terbuka, sebelum beliau menyertai politik.
Artikel itu menyatakan beliau kini berkhidmat sebagai menteri.
“Sebarang cadangan bahawa pihak yang menuntut membeli hartanya secara tidak telus untuk menyembunyikan urus niaganya dan mengelakkan penelitian tentang kemungkinan pengubahan wang haram tidak akan masuk akal,” kata Bloomberg.
Ia menambah bahawa Encik Low berhati-hati untuk memastikan bahawa rujukan kepada penjualan Encik Shanmugam dan pembelian Dr Tan adalah tepat fakta, sangat singkat dan dibentangkan dalam bentuk neutral.
Bloomberg telah dikeluarkan dengan satu arahan pembetulan Akta Perlindungan daripada Kepalsuan dan Manipulasi Dalam Talian (Pofma) pada 23 Disember 2024.
Pertubuhan media itu menyiarkan notis pembetulan pada artikelnya dan hantaran media sosialnya tetapi menambah bahawa ia “secara hormat tidak bersetuju” dengannya dan berhak untuk merayu dan mencabarnya.
Bloomberg menambah bahawa ia tetap dengan laporannya.
Perintah pembetulan juga telah diberi kepada laman The Edge Singapore, The Independent Singapore dan The Online Citizen.
Kededua menteri itu sedang menuntut ganti rugi dan kos yang tidak dinyatakan, dan injunksi supaya Bloomberg dan Encik Low dihalang daripada menerbitkan atau menyebarkan dakwaan palsu dan fitnah tersebut atau apa-apa perkataan yang mempunyai kesan yang sama dengan apa cara sekalipun.
Saman itu ditetapkan untuk persidangan kes pada 11 Mac.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg