Tinjauan: Lebih 90% belia, dewasa sokong dasar tegas S’pura terhadap dadah
Tinjauan: Lebih 90% belia, dewasa sokong dasar tegas S’pura terhadap dadah
Shanmugam: Undang-undang jelas, program jangkauan masyarakat dan pendidikan awam berkesan
Sokongan rakyat terhadap dasar tegas berkaitan dadah di Singapura, kekal kukuh hasil dasar pemerintah yang jelas, disusuli dengan program jangkauan masyarakat dan pendidikan awam yang berkesan, kata Menteri Penyelaras bagi Keselamatan Negara merangkap Menteri Ehwal Dalam Negeri, Encik K. Shanmugam.
Beliau menukil dapatan Tinjauan Persepsi Dadah Kebangsaan 2025, yang menyatakan bahawa hampir 93 peratus responden belia dan lebih 96 peratus orang dewasa menyokong agar undang-undang tegas Singapura terhadap dadah diteruskan, bagi memastikan negara bebas dadah.
Menyifatkan data tersebut sebagai “amat menggalakkan,” Encik Shanmugam berkata:
“Hasilnya kelihatan apabila sesebuah pemerintah mengambil peranan kepimpinan, mempunyai dasar yang jelas, menyatakannya secara tegas, serta mendapat sokongan masyarakat.
“Anda semua merupakan faktor utama dalam hal ini kerana anda turun ke lapangan... anda menerima pendekatan ini, menyokongnya, dan kemudian menyampaikannya kepada rangkaian anda sendiri.
“Pendidikan awam yang berkesan dapat menyampaikan kepada masyarakat kita tentang bahaya dadah, sekali gus menjadikan mereka bersedia menyokong dasar tegas kami terhadap dadah.”
Menukil Laporan Dadah Sedunia 2025, beliau berkongsi bahawa sekitar 316 juta orang di seluruh dunia telah menyalahgunakan dadah pada 2023, meningkat daripada 292 juta orang pada 2022.
Perkongsian itu dibuat beliau semasa acara Meja Bundar Daya Ketahanan Masyarakat Terhadap Penyalahgunaan Dadah (CRADA) 2026, di Hotel Furama RiverFront pada 12 Mac.
Acara itu dianjurkan Divisyen Psikologi Home Team (HTPD) Kementerian Ehwal Dalam Negeri (MHA), bersama pakar psikologi Biro Narkotik Pusat (CNB) dan Perkhidmatan Penjara Singapura (SPS).
Encik Shanmugam hadir selaku tetamu kehormat dalam acara melibatkan sekitar 250 tetamu yang terdiri daripada pegawai pemerintah, rakan masyarakat, serta ahli akademik daripada institusi pengajian tinggi tempatan.
MHA dalam satu kenyataan media pada 12 Mac berkata, acara meja bundar itu bertujuan, antara lain, untuk memperkukuh rangkaian dan sinergi antara rakan masyarakat bagi memupuk kerjasama dalam usaha mencegah penyalahgunaan dadah dan menyokong pemulihan berterusan.
Ia termasuk mereka bentuk secara bersama Model Daya Ketahanan Masyarakat Terhadap Penyalahgunaan Dadah dengan rakan masyarakat yang terlibat dalam pencegahan dadah dan pemulihan.
Semasa berucap, beliau turut berkata meskipun banyak negara di seluruh dunia menyerah kalah dalam memerangi dadah atau memilih untuk membenarkan penggunaannya, mungkin bagi menjana cukai, namun kos sosial dan kesihatan awam yang tersembunyi selalunya jauh melebihi manfaat kewangan itu.
“Mereka tidak menyedari walaupun dengan memperoleh sedikit wang melalui cukai, kajian menunjukkan kos yang perlu dibayar dari segi kesihatan awam adalah jauh lebih tinggi, justeru akhirnya mereka mengalami kerugian.
“(Ini) selain daripada hakikat bahawa tiada pemerintah yang secara moral patut melakukan perkara itu hanya kerana ingin meraih keuntungan, apatah lagi jika keuntungan itu diperoleh daripada kesengsaraan orang lain.
“Kami telah menentang arus sejagat dan sejajar dengan usaha kami, sokongan rakyat terhadap dasar tegas ini terus meningkat, termasuk dalam kalangan generasi muda,” ujar Encik Shanmugam.
Menyentuh isu pengesahan penggunaan ganja di beberapa negeri di Amerika Syarikat, beliau menyorot kesan buruknya – penggunaan ganja didapati meningkat dan menimbulkan kebimbangan kesihatan awam.
Menurut beliau, hampir 2.8 juta orang di Amerika dilaporkan mengalami sindrom cannabinoid hyperemesis (CHS) setiap tahun.
CHS ialah keadaan yang menyebabkan muntah-muntah berulang akibat penggunaan ganja berpanjangan.
Beliau turut memetik dapatan Institut Kesihatan Mental (IMH), yang mengaitkan penggunaan tetrahydrocannobinol (THC) – sebatian psikoaktif dalam ganja – dengan prestasi psikomotor terjejas.
“Dapatan ini menunjukkan dan menyokong pendirian kami untuk mengekalkan ganja sebagai dadah terkawal Kelas A, walaupun di seluruh dunia terdapat usaha ke arah pengesahan penggunaannya,” ujar Encik Shanmugam.
Menyentuh dasar hukuman mati bagi kesalahan dadah, beliau menjelaskan bahawa sokongan rakyat Singapura bukanlah secara membuta tuli.
Encik Shanmugam merujuk kepada seorang peguam Australia, Encik Lex Lasry, yang pernah mengkritik pelaksanaan hukuman mati di negara ini, ketika cuba mewakili penyeludup dadah di Singapura.
“Rakyat Singapura berpendidikan dan maklum tentang perkara semasa.
“Kita dapat melihat apa yang berlaku di seluruh dunia (disebabkan dadah) serta kesannya di negara lain.
“Rakyat Singapura tahu apa yang menjadi kepentingan mereka, serta kepentingan anak-anak mereka.
“Mereka dapat melihat apa yang berlaku di negara lain,” tambahnya.
Beliau turut menegaskan bahawa pendirian pemerintah mengenai hukuman mati, seperti dasar-dasar lain, adalah berasaskan bukti yang nyata.
Encik Shanmugam menjelaskan bahawa mereka tidak terikat pada mana-mana dasar tertentu atas dasar ideologi.
Sebaliknya, mereka bersedia mengubah pendirian sekiranya terdapat bukti kukuh yang mencadangkan sebaliknya.
“Jika kami berpendapat bahawa pemansuhan hukuman mati akan memberi manfaat, atau sekurang-kurangnya hukuman mati tidak membantu, kami akan memansuhkannya.
“Namun sehingga itu berlaku, kami akan terus meneruskan dasar sedia ada,” kata beliau.
Dalam perkembangan yang sama, Encik Shanmugam merasmikan pelancaran buku berjudul, Pulau Harapan: Perspektif Psikologi dalam Pencegahan Bahaya Dadah.
Buku itu merupakan hasil penulisan pakar psikologi Home Team dan pakar pemulihan berdasarkan pengalaman mereka dalam penyelidikan dan bertugas dalam mengurus penagih dadah di Singapura.
Kandungan buku itu menyingkap bagaimana ilmu psikologi menyokong model pencegahan bahaya dadah yang didukung Singapura.
“Mereka telah meluangkan masa bertahun-tahun untuk meneliti dan memahami apakah yang mendorong penagih kepada dadah, apakah yang membantu mereka bebas daripadanya, dan bagaimanakah masyarakat boleh memainkan peranan menyokong mereka.
“Buku ini merupakan buku pertama yang menghimpunkan penyelidikan psikologi tempatan yang menjadi asas kepada usaha pencegahan dadah kita, termasuk alat penilaian dan strategi pemulihan.
“Saya percaya ia akan menjadi panduan yang bernilai dalam usaha kita membanteras dadah,” kongsi beliau.
“
“Hasilnya kelihatan apabila sesebuah pemerintah mengambil peranan kepimpinan, mempunyai dasar yang jelas, menyatakannya secara tegas, serta mendapat sokongan masyarakat... Pendidikan awam yang berkesan dapat menyampaikan kepada masyarakat kita tentang bahaya dadah.”
